Menulis adalah mencatat kata-kata dengan huruf dan memakai pena (kalam,
pensel, kapur), boleh juga membawa erti melahirkan perasaan (fikiran) dengan
catatan yang memakai huruf, membuat surat dan mengarang. Nama adalah panggilan
atau sebutan bagi orang (barang, tempat, pertubuhan) juga boleh digunakan untuk
gelaran dan juga sebutan. Setiap yang kita fahami jika ingin disampaikan tidak
cukup dengan hanya secara lisan tetapi perlu disampaikan dalam bentuk tulisan.
Ini adalah inisiatif atau usaha yang baik/berfaedah untuk mengembangkan ilmu
yang kita telah terima pada masa ini. Begitulah penulisan yang kita fahami.
Sesaorang hanya dikatakan dapat mengembangkan pengetahuan jika mampu menulis.
Ada juga yang menyatakan penulisan adalah setajam mata pedang kerana dengan
penulisan dapat merubah dunia dan dapat memporak perandakan negara. Penulisan
juga dapat membina dunia yang lebih baik pada masa hadapan.
Sesuatu yang kita fahami walau dalam apa pun pengetahuan perlu disampaikan
kepada orang lain. Ada juga ilmu yang kita rasakan tidak berapa penting kepada
kita tetapi mungkin menjadi penting kepada orang lain. Semua ilmu amat penting
untuk disampaikan kepada khalayak untuk digunakan, dimanfaatkan atau menjadi
sumber pengetahuan baru masyarakat. Banyak orang mengatakan mereka memahami
sesuatu perkara atau ada yang mengatakan mereka sangat pakar didalam sesuatu
kepakaran tetapi jika tidak disalurkan melalui penulisan, kepakaran sesaorang
perlu disangsikan/diragui. Berceramah sahaja tanpa menulis juga sesuatu yang
tidak dapat membuktikan kepakaranya. Banyak orang yang boleh bercakap tetapi
tidak mampu menulis. Ada juga yang mampu menulis tetapi tidak minat untuk
menulis. Ada juga yang minat menulis tetapi tidak mempunyai masa kerna asyek
bercakap sepanjang masa. Menulis memerlukan sedikit motivasi, keinginan,
pengetahuan, pengorbanan dan memahami kepentingan penulisan. Kebolehan menulis
adalah kebolehan yang hanya dimiliki oleh sesaorang yang meminati bidang ini.
Kita harus menerima hakikat tidak semua orang boleh menulis dan diterbitkan.
Penulisan sangat penting jika mahu berkhidmat di institisi pengajaran dan
penyelidikan sebagai pensyarah atau kakitangan akademik. Kebolehan mengajar
sahaja tidak dinilai untuk kenaikan pangkat. Kerana ini adalah tugas hakiki
yang perlu dilaksanakan oleh setiap orang tenaga pengajar. Kebolehan menulis
adalah menentukan seorang itu berkebolehan atau tidak. Ini amalan biasa semua
universiti didunia untuk urusan kenaikan pangkat. Setiap kali penilaian
kenaikan pangkat, kebolehan penulisan akan diambil kira dan memberi sumbangan
yang besar. Penulisan juga dinilai samaada dalam bentuk buku, kertas kerja
seminar (kebangsaan atau antarabangsa), penulisan jurnal (kebangsaan atau
antarabangsa) atau penulisan dalam mass media. Penulisan dalam akhbar juga sangat
dituntut kerana ini adalah kaedah terbaik dan terpantas untuk memindahkan
pengetahuan kepada orang ramai. Penulisan dalam akhbar kerap mendapat
maklumbalas yang cepat dan kerap menjadi tumpuan pembaca. Mereka yang mempunyai
kepakaran tertentu adalah digalakan menulis dalam akhbar harian supaya ilmu
atau pendapat mereka dapat diketahui oleh orang ramai yang mungkin amat
berguna.
Sebahagian besar masyarakat masih lagi menjadikan surat khabar sebagai
bahan pembacaan utama setiap hari. Akbar adalah sumber berita dan juga
merupakan bahan bacaan ringan yang sangat penting. Ada yang mengatakan gulungan
muda tidak suka membaca surat kabar kerana mereka lebih suka menggunakan media
baru sebagai sumber pengetahuan. Walau pun begitu banyak yang ingin mendapat
ilmu keugamaan melalui surat khabar. Para ilmuan dalam bidang ugama harus terus
menulis hal-hak keugamaan didalam surat kabar. Ceramah ugama yang kerap
dianjurkan setaip pelusuk negara perlu juga ditulis dalam bahasa yang mudah
dalam akhbar atau buku-buku bacaan umum. Penulisan berkenaan ugama dalam bentuk
mudah untuk difahami sangat diminati oleh pembaca dalam media massa. Kita lihat
sahaja dalam halaman soal jawap ugama dalam semua akhbar. Pertanyaan berkenaan
hal ugama tidaklah sesuatu yang amat mendalam. Hal-hal yang ditanya adalah
urusan harian yang ingin terus diterangkan untuk difahami. Tugas ini perlu
disahut oleh pakar-pakar ugama yang mempunyai kebolehan menulis. Tidak semua
yang ingin mempelajari ugama mampu membaca kitab atau mampu menghadiri kelas
fardu ain yang banyak dianjurkan dimasjid atau disurau setiap hari. Banyak yang
mendapat pengetahuan ugama dari ruang ugama yang ditulis dalam akhbar
harian. Mereka yang pakar dalam bidang
tertentu perlu kerap menulis walaupun sesuatu bahan itu seolah-olah mudah
tetapi amat diperlukan oleh segulungan pembaca. Apa yang penting adalah ilmu
yang disampaikan bukan apa yang kita dapat dari penulisan.
Rungutan berkenaan ekonomi juga selalu kita dengari dari masyarakat umum.
Kerap apa yang diperkatakan itu sesuatu yang mereka tidak fahami dan terus
membuat tuduhan yang melulu. Sebenarnya mereka tidak faham (walaupun tidak
berapa sukar). Mereka yang pakar dalam bidang ekonomi harus menulis kepakaran
mereka dalam bidang ekonomi yang mudah difahami. Sekarang ini banyak yang merungut tentang kenaikan harga barang.
Jika ada penulisan segera berkenaan mengapa harga barangan perlu dinaikan dan
mengapa subsidi perlu dikurangkan untuk menjaga kestabilan ekonomi dalam jangka
masa panjang akan meningkatkan kefahaman rakyat. Penulisan yang sukar difahami
yang mengunakan istilah ekonomi perlu dielakkan. Pembaca hanya untuk memahami
sesuatu situasi bukan untuk mengambil peperiksaan. Kenaikan harga barang dan
sebab kenaikan perlu diperjelaskan dalam bahasa yang mudah. Ini memerlukan
kepakaran penulisan dari pakar ekonomi. Sangat berfaedah jika ini dapat dibuat
dalam tempoh terdekat supaya rakyat memahami mengapa kita perlu membayar
sedikit lebih untuk menfaat masa hadapan.
Kepakaran memasak juga sangat penting, pada masa sekarang banyak anak muda
yang ingin belajar memasak terutama wanita muda yang terlalu sibuk untuk
menghadiri kelas memasak. Kita banyak mengenali pakar masakan tetapi kepakaran
mereka tidak ditulis dengan baik. Banyak buku resepi yang terdapat dipasaran
dalam Bahasa Inggeris, itu pun hanya dalam bentuk resepi bukan dalam bentuk
kefahaman untuk memasak. Pakar memasak harus banyak menulis perihal masakan
supaya kaedah memasak lebih difahami oleh masyarakat. Penulisan buku resepi
masakan yang mudah difahami dan dipraktikan amat penting untuk masyarakat. Kepada
pakar masakan penulisan dalam bidang masakan perlu diberi perhatian yang diberi
keutamaan./
Sebenarnya dalam dunia penulisan bukan penulis yang sangat penting tetapi
maklumat yang ingin disampaikan. Maklumat atau pendapat jika tidak ditulis
tidak dapat memperkayakan ilmu pengetahuan. Bukan semua penulis mengharapkan
imbuhan tetapi banyak penulis ingin menulis apa yang mereka pelajari dan apa
yang mereka fahami. Mungkin apa yang mereka tulis hanyalah sesuatu kesalahan
atau kesilapan yang telah mereka lakukan tetapi ini perlu ditulis supaya mereka
yang terkemudian tidak mengulangi kesalahan yang sama. Itu sebabnya penulisan
kajian sangat penting. Bukan semua kajian akan memperolehi kejayaan atau dapat
membuktikan sesuatu teori tetapi setiap prosedur kerja perlu ditulis dengan
sempurna. Jika prosedur yeng telah ditetapkan tidak berjaya memperolehi
sesuatu, prosedur yang telah dilakukan perlu juga ditulis supaya pengkaji pada
masa hadapan tidak mengulangi prosedur yang sama lagi.
Menjalankan kajian adalah tugas utama kakitangan akademik. Apa yang kita
fahami berkenaan kajian adalah sesuatu yang dicari belum pasti kebenaranya (tidak
pasti) atau boleh dibuktikan. Itu sebab dikatakan kajian (bukan proses
pembuatan yang mana semua telah pasti). Untuk itu setiap kajian perlu ditulis
dengan sempurna supaya dapat diketahui oleh khalayak. Paling tidak melalui
penulisan sesuatu bidang kajian dapat didalami oleh penyelidik kemudian atau
dapat di perbesarkan lagi skop kajian pada masa hadapan. Dalam kajian tidak ada
salah atau betul, semua kajian adalah
betul. Hasil kajian sahaja perlu ditulis untuk maklumat orang ramai atau bidang
kepakaran yang lain untuk dijadikan bahan kajian yang lain.
Penghidupan menggunakan pendekatan
sains dan teknologi perlu benar-benar difahami sejak bangku sekolah lagi.
Kaedah pengajaran juga perlu berubah. Pendekatan saintif semasa mengajar dengan
peralatan mengajar yang berdasarkan lihat, teliti, cuba dan lakukan perlu
diamalkan. Bahan pengajaran perlu menunjukan ujikaji yang sebenarnya melalui
model yang bercirikan saintifik. Lawatan sambil belajar sangat dan perlu
digalakan. Tidak semestinya lawatan perlu tempat yang agak jauh. Lawatan perlu
dilakukan di lokasi berdekatan tetapi setiap pemerhatian perlu dihubungkaitkan
dengan pemahaman sains dan teknologi. Jika perlu setiap hasil lawatan perlu
diteliti kefahaman pelajar melalui aktiviti penulisan dan pembentangan. Kita
harus membiarkan pelajar membuat pembentangan apa yang telah mereka lihat dan
fikirkan. Kita patut juga memberi peluang kepada pelajar membuat cadangan dalam
bentuk penulisan jika mereka dalam keadaan begitu dan begini. Ini dapat melatih
anak-anak menulis sesuatu yang benar-benar mereka lihat. Pandangan dalam bentuk
percakapan dengan tidak ada penulisan adalah sesuatu yang tidak member banyak
menfaat.
Kepuasan dan keseronokan menulis adalah apabila ada pembacanya dan dapat
mengembangkan ilmu pengetahuan. Lebih menyeronokan lagi, jika mendapat komen
yang baik dari pembaca atau mendapat maklum balas yang baik dan membina. Sangat
mengembirakan lagi jika ada pembaca yang tampil memberitahu apa yang telah
mereka baca sangat memberi menfaat kepada mereka. Mereka menyatakan telah
mendapat pengetahuan baru dan dapat mengubah cara hidup yang merupakan amalan
yang telah lama mereka lakukan. Ini adalah saat yang mengembirakan sesaorang
penulis.Penulisan kerap mampu memberi motivasi kepada orang lain. Inilah
artikel yang sebaik-baiknya jika dapat dihasilkan.
Penulisan sangat penting untuk masa ini dan akan datang. Penulisan ringan
sangat penting untuk memberikan pengetahuan baru kepada pembaca. Penulis perlu
sentiasa berusaha memberi pengetahuan kepada pembaca berkenaan cara hidup dan
pengetahuan moden yang perlu mereka amalkan dan memerlukan perubahan. Kalau
boleh bacaan ringan tetapi memberi kesan yang besar/berat kepada pembaca. Apa
yang lebih penting kepada penulis adalah apa yang ditulis bukan apa yang mereka
dapat dari penulisan. Memberi pengetahuan baru merupakan satu kepuasan yang
perlu dicari.
No comments:
Post a Comment