nuffnang ads

Friday, 19 October 2012

KAIS PAGI MAKAN PAGI KAIS PETANG MAKAN KENTUCKY FRIED CHICKEN.



Malaysia berada di ambang negara maju setelah 54 tahun merdeka dan Melaka telah maju pada tahun 2010. Setiap hari lagu Melaka Maju berkumandang dan setiap kali ucapan rasmi atau tidak rasmi perlu diberi salam Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau. Pada awal kemerdekaan kerajaan hanya memikirkan bagaimana untuk memberi rakyat pekerjaan dan membolehkan rakyat makan sahaja. Ini bermakna kerajaan tidak mahu rakyat negara ini lapar. Kerajaan percaya jika rakyat lapar mereka akan berkelakuan ganas. Ini dapat dilihat dibeberapa negara lain yang rakyatnya menganas apabila tidak cukup makan walaupun telah berada di sebuah negara maju.Pada masa yang sama kita dapat melihat ada negara yang tidak cukup makan dan berlaku kelaparan. Ini juga memberi masaalah kepada negara. Apa yang penting rakyat perlu cukup makan.

Awal kemerdekaan rakyat diminta membuat berbagai jenis kerja dengan bercucuk tanam atau melakukan apa sahaja pekerjaan yang membolehkan makanan tersedia apabila balik dari berkerja. Kerajaan juga membuka apa sahaja industri dan kilang untuk membolehkan rakyat makan. Pada satu masa dahulu setiap  wanita yang bekerja di kilang di panggil 'minah kilang' atau 'minah karan'. Ketika itu bekerja dikilang amat popular. Hasil dari dasar kerajaan yang ingin menyediakan apa sahaja pekerjaan kepada rakyat telah membolehkan rakyat makan dengan cukupnya. Pada masa yang sama kerajaan menyediakan infrastruktur yang lengkap dan kemudahan pendidikan yang sempurna untuk rakyat jelata. Kerajaan juga percaya hanya dengan menyediakan kemudahan pendidikan kepada rakyat, taraf hidup mereka akan berubah. Semua yang kerajaan lakukan ketika itu telah mendatangkan hasil yang baik. Pada masa yang sama kerajaan juga percaya untuk maju, tidak boleh 100% bergantung kepada bidang pertanian. Kerajaan perlu mencuba bidang industri yang baru dan seterusnya mengutamakan perpindahan teknologi. Rakyat perlu disediakan berbagai kemahiran untuk hidup. Bukan semua perlu menjadi profesional, bidang kemahiran juga telah dititik beratkan. Berbagai institusi kemahiran telah ditubuhkan. Rakyat perlu menjadi pandai dan bijak. Itu keutamaan yang kerajaan tumpukan untuk menjadi negara maju.

Selepas 10 tahun merdeka kerajaan telah memberi keutamaan dalam bidang industri. Langkah yang terbaik dengan menumpukan perhatian kepada Pusat Perdagangan Bebas atau Free Trade Zone. Banyak pusat perdagangan bebas telah dibuka diseluruh negara. Melaka juga tidak kurang hebatnya membuka pusat perdagangan bebas seperti di Batu Berendam, Ayer Keroh, Tanjung Keling dan Tangga Batu. Semua ini telah menempatkan kilang dari syarikat besar dan pada masa yang sama Melaka telah menjadi negeri pengeluar produk berjenama. Pada masa yang sama juga Petaling Jaya dan Bayan Lepas telah mula dikenali dan Pusat Perdagangan Mak Mandin di Butterworth telah menjadi tumpuan anak-anak muda seluruh negara dan di Kuala Lumpur kawasan Dato' Keramat dan Ampang Ulu Klang telah menjadi tumpuan untuk anak muda mencari pekerjaan. Sekali lagi dasar ini telah berjaya. Akhirnya negara telah menjadi negara pengeluar produk elektronik yang paling tinggi diseluruh dunia. Tahniah kepada kerajaan yang telah berjaya mentadbir negara ini dengan baik. Anak-anak Malaysia telah terdidik dengan baik. Negara terus maju dan mula dikenali dunia.

Kerajaan amat aktif dan tidak berdiam diri, dasar baru di perkenalkan iaitu dasar mengutamakan perusahaan berteknologi tinggi. Negara mesti mencuba teknologi baru pula. Pada masa itu kerajaan menitik beratkan perpindahan teknologi. Pada masa itu kerajaan telah mula terlibat dalam industri pembinaan jentera berat termasuk industri automobil. Kereta jenama Malaysia telah mula dikeluarkan dengan harapan pada masa hadapan kereta buatan Malaysia akan 100% buatan Malaysia. Sekali lagi perancangan ini menjadi. Malaysia telah mula dikenali sebagai negara berindusri berat lagi tinggi. Anak-anak muda mula bergaya dengan kereta berjenama sendiri. Lihatlah sekarang, kereta buatan sendiri telah menguasai kereta import. Kerajaan telah berjaya dengan dasar yang terbaik. Setiap dari anak Malaysia berbangga dilahirkan di negara ini.

Banyak dasar kerajaan telah berjaya mengubah taraf hidup rakyat. Akhirnya negara kekurangan tenaga kerja.  Negara kekurangan tenaga buruh mahir. Mahu tidak mahu pekerja asing perlu dicari. Jika dahulu kerajaan membenarkan orang gaji sahaja dari Filipina dan Indonesia tetapi sekarang banyak bidang pertanian telah melibatkan tenaga kerja asing. Kerajaan telah cuba hanya meluluskan perindustrian yang tidak berorientasikan buruh yang banyak. Kalau boleh semua industri perlu kurang menggunakan tenaga buruh dan banyakkan guna mesin automatik atau menggunakan robotik. Semua ini telah dicuba dan berjaya tetapi perkembangan industri dalam negara terlalu pantas. Mahu tidak mahu semua sektor pekerjaan perlu melibatkan tenaga asing juga. Kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan. Perkembangan ekonomi negara telah memaksa tenaga buruh luar perlu dibenarkan. Ini sememangnya satu keperluan, tidak banyak negara dalam dunia yang maju tanpa pekerja asing. Negara telah dibanjiri dengan 2 juta tenaga buruh asing sehingga untuk mendaftarkan tenaga buruh asing ini menghadapai masaalah besar dan kerap dipertikaikan pada hari ini.

Negara berada diambang negara maju dan Melaka telah maju adalah benar, tidak ada lain yang benar melainkan benar. Kemajuan sesuatu negara bukan terletak pada sijil yang dianugerah tetapi kemajuan sesuatu negara perlu dilihat kepada gaya hidup rakyatnya. Lihat sahaja kenduri kahwin dikampung tidak lagi gaya lama berhidang pakai dulang tetapi kaedah 'buffet'. Setiap tetamu perlu mengambil sendiri lauk yang terhidang. Tetamu boleh makan berapa banyak yang mereka mahu dan boleh datang berulang ulang. Lauk pun tidak sedikit yang terhidang. Trend terbaru kenduri telah menyediakan ABC (air batu kacang), cendul dan berbagai minuman sebagai pembasuh bulut. Tidak kurang juga kueh mueh dan berbagai jenis ulam. Kalau lambat sedikit air basuh tangan diganti, tetamu akan mencuci tangan menggunakan air mineral dari botol yang disediakan atau cuci tangan menggunakan air sirap sahaja. Makanan sangat mewah dan selepas itu akan diberi 'goddies' pula yang harganya boleh tahan dan beg kertas akan dicetak dengan gambar pengantin dan ucapan terima kasih dari seluruh keluarga.

Majlis kerja kahwin di Melaka telah jauh berubah. Banyak majlis telah dibuat di dewan orang ramai atau di hotel. Kalau sekitar Ayer Keroh MITC, Dewan Bistari, Dewan MBMB dan Dewan Seri Negeri akan menjadi tumpuan. Majlis perkahwinan juga sangat meriah dengan tema tertentu. Hebat majlis perkahwinan di negeri Melaka kerana rakyatnya telah banyak 'beruang'. Ini dapat dinikmati kerana negara ini mempunyai pemimpin yang berwawasan dan sentiasa memikirkan bagaimana ingin meningkatkan taraf hidup rakyat. Peningkatan taraf hidup rakyat juga boleh dilihat dari perkembangan pekan-pekan kecil diseluruh negeri Melaka. Semua pekan kecil di Melaka telah mempunyai kemudahan 7 Eleven yang dibuka 24 jam dan banyak pekan kecil telah mempunyai restoran ayam goreng 'Kentucky Fried Chicken' (KFC). Pekan Masjid Tanah telah mempunyai KFC sejak awal tahun 2000 lagi. Bandar Jasin telah mempunyai KFC pada tahun 2002 dan Bandar Baru Sg.Udang telah mempunyai restoran KFC sejak awal pembukaan bandar itu. Alor Gajah adalah antara pekan kecil yang mempunyai Restoran KFC sejak awal lagi. Restoran KFC ini telah menjadi popular dan tidak lagi amat sukar untuk dikunjung. Kalau pada satu masa dahulu, hanya keluarga yang anaknya berkelulusan universiti sahaja yang mampu makan di KFC tetapi sekarang setiap mereka yang 'beruang' pasti akan mampu mengunjung restoran yang terkenal diseluruh dunia itu. Sekarang ini pula Bandar Baru Cheng akan dibuka Restoran McDonold seperti yang terdapat dibandar Melaka dan juga kawasan Ayer Keroh. Apabila mula  McDonold membuka rangkaianya dikawasan pinggir bandar, ini menunjukan kawasan tersebut telah melangkah setapak lagi dari segi kejayaannya dan merupakan pengiktirafan kepada kejayaan dan ketinggian ekonomi kawasan setempat.

Satu masa dahulu, kita dapat melihat hanya kaum Cina sahaja yang mampu makan diluar diwaktu malam. Bilangan kedai makan Melayu hanya sedikit sahaja dan bertumpu dikawasan bandar dimana taraf ekonomi agak tinggi.Sekarang ini suasana agak jauh berbeza. Bukan sahaja orang dalam bandar dan pinggir bandar mampu makan diluar di waktu malam. Kampung yang jauh dipendalaman juga telah dibuka kedai makan dan agak maju. Dalam kawasan bandar kedai makan telah beroperasi 24 jam. Keadaan ini menunjukan ekonomi rakyat semakin baik. Selain dari kita dapat melihat kenderaan yang banyak di jalan raya. Sekarang ini dimana-mana sahaja kedai makan menjadi tumpuan. Bukan itu sahaja hotel-hotel juga telah dikunjungi oleh berbagai peringkat rakyat. Lihat sahaja pada bulan Ramadhan selain Pasar Ramadhan menjadi tempat tumpuan, hotel juga tidak menang tangan. Harga makan yang mahal di hotel lebih menjadi tumpaun. Semua hotel menyediakan berbagai jenis makanan. Harga tidak ada masaalah, tempahan terlalu banyak. Setiap hotel mengambil tempahan terlebih dahulu. Ada hotel yang minta bayaran terlebih dahulu. Kehadiran mesti diconfirmkan. Ada hotel yang meminta no kad kredit dahulu. Apa yang jelas hotel telah menjadi tumpuan setiap kali bulan puasa dan juga sebarang ketika waktu makan tengahari atau makan malam. Lobi hotel telah menjadi tempat bersembang. Banyak yang telah melepak di cafe atau restoran hotel. Hotel telah menjadi kedai kopi sekarang

Taraf hidup sudah jauh berubah. Rakyat sudah semakin mewah. Taraf hidup sudah semakin tinggi. Makan sudah tiada masaalah. Kajian menunjukan 40% sampah yang dibuang adalah sampah yang boleh dimakan. Banyak rakyat telah mendapat penyakit kencing manis. Jika tidak makan rakyat akan mendapat penyakit kencing tawar. Rakyat juga sudah memilih makanan yang terbaik walaupun sedikit mahal. Restoran juga perlu bersih disamping pekerja yang bersih. Restoran yang berjenama kerap menjadi pilihan walaupun hendak makan nasi ayam atau nasi lemak tambahan pula makan ikan bakar dan asam pedas. Kereta yang satu masa dahulu merupakan satu kemewahan sekarang telah menjadi satu keperluan. Begitulah negara kita. Rakyat sudah mempunyai rumah yang selesa dan banyak yang telah mampu menggunakan peralatan hawa dingin. Rami yanh mampu pergi haji dan umrah berkali-kali. Kalau bulan Ramadahan ramai yang akan berpuasa di Mekah. Susah untuk mendapatkan penerbangan ke Mekah ketika itu. Giliran untuk menunaikan haji juga amat jauh hingga 5 ke 10 tahun dari tarikh tempahan dibuat dan ramai menggunakan perkhidmatan swasta untuk pergi haji walaupun harganya berkali-kali lebih mahal. Ini semua untuk keselesaan beribadat.  Kalau sahulu ada perpatah 'Kais Pagi Makan Pagi dan Kais Petang Makan Petang'. Banyak yang berpendapat peribahasa patut diubah kepada ' Kais Pagi Makan Pagi dan Kais Petang Makan Kentucky Fried Chicken dan pada masa hadapan peribahasa baru boleh digunakan 'Kais Pagi Makan Mc Donald dan Kais Petang  Kentucky Fried Chicken'.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...