nuffnang ads

Tuesday, 23 October 2012

LEPAS RAYA KENA PERIKSA PULA.



Kerap kita dipesan sejak dari kecil dahulu oleh ibubapa kita supaya belajar  kerana dengan ini akan membolehkan kita berjaya dalam peperiksaan yang akan membawa kesenangan dalam kehidupan. Ibubapa juga kerap menyatakan mereka tidak meninggalkan wang ringgit atau harta yang banyak, tetapi pelajaran yang dipelajari adalah harta peninggalan mereka. Mahu tidak mahu kita perlu belajar untuk membolehkan kita berjaya dalam setiap peperiklsaan yang dihadapi.Menghadapi peperiksaan bukanlah sesuatu yang dinanti-nantikan tetapi ini perlu dihadapi oleh semua orang. Kejayaan dalam peperiksaan kerap dikatakan sesaorang itu pandai dan kepandaian itu dikatakan punca kesenangan.

Kerap kali kejayaan akan dikaitkan dengan mendapat kelulusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Anak-anak tidak ada pilihan lain, untuk mencapai hasrat tersebut terpaksa belajar bersungguh-sungguh. Pada mereka tanpa kelulusan peperiksaan yang baik gelaplah masa hadapan. Pendapat ini masih lagi tidak berubah hingga sekarang. Kita dapat melihat ibubapa sekarang melakukan apa sahaja untuk membolehkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Ibubapa sangat bercita-cita untuk anak-anak mereka dapat memasuki universiti untuk mendapat segulung atau sekeping ijazah atau diploma supaya mendapat pekerjaan dalam kerajaan. Anak-anak akan dihantar belajar bukan untuk mendapat pengetahuan tetapi untuk mendapatkan sijil. Itulah sebabnya mereka hanya akan menghantar anak-anak ke institusi pelajaran tinggi yang mendapat pengiktirafan sahaja. Jika tidak diiktiraf, mereka tidak mahu anak kita belajar ke institusi tersebut walaupun besar kemungkinan institusi tersebut mampu memberi pengetahuan yang lebih baik. Budaya kita mendapat kelulusan terbaik hanya untuk makan gaji dengan menunjukan sijil yang diperolehi.

Peranan ibubapa sekarang untuk pendidikan anak-anak kini sangat besar. Peranan ini telah berubah mengikut keadaan dan masa. Ibubapa perlu membelanjakan wang untuk kejayaan anak-anak. Ibubapa perlu sentiasa memperuntukan sejumlah wang untuk pendidikan anak-anak selain dari perbelanjaan harian, pakaian sekolah, perbelanjaan kantin (makan dan minum), tambang kesekolah dan buku-buku asas. Ibubapa perlu memperuntukan sejumlah wang untuk buku kerja tambahan, yuran tusyen, penyediaan kemudahan komputer dan kemudahan internet, perisian pembelajaran yang berkenaan dan majalah yang bersesuaian. Anak-anak sekarang tidak mencukupi jika hanya bergantung pada buku teks sekolah semata-mata. Mereka perlu latihan tambahan dan juga buku latih tubi setiap masa. Maklumat tambahan banyak didapati dari majalah semasa yang banyak terdapat dipasaran. Untuk mendapat maklumat yang baik majalah adalah merupakan sumber ilmu yang sangat baik dan perlu dimiliki oleh anak-anak (bulanan atau mingguan)

Satu lagi yang amat diperlukan sekarang adalah bagaimana untuk memberi motivasi berterusan kepada anak-anak. Melalui kajian yang telah dijalankan, kelemahan anak-anak adalah mereka tidak mempunyai motivasi yang berterusan. Sangat banyak program motivasi yang dianjurkan sekarang terutama semasa cuti sekolah atau hujung minggu. Semua program ini dikenakan bayaran kerana mempunyai berbagai program yang memerlukan perbelanjaan. Setiap program pula didatangkan berbagai-bagai pakar dan juga mereka yang pernah terlibat dalam memeriksa kertas peperiksaan atau mereka yang pernah terlibat dalam aktiviti penyediaan kertas soalan. Anak-anak tidak mahu ketinggalan dalam mengikuti program ini. Ada yang menyatakan ini peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan jika mahu mendapat kelulusan yang baik dalam peperiksan. Ini semua memerlukan perbelanjaan. Ibubapa sudah tentu tidak mahu melepas peluang anak-anak mereka mengikuti prgram yang sangat baik ini. Zaman semuanya percuma telah berlalu, ibubapa perlu memperuntukan sejumlah wang untuk pembelajaran anak-anak. Cabaran yang besar adakah ibubapa bersedia dengan cabaran ini?. Segala-galanya percuma juga telah berakhir dan cabaran sekarang, adakah ibubapa dapat menerima perubahan ini?.

Kita kerap mendengar kata-kata, “dulu bila keluar sahaja universiti pekerjaan telah menunggu”. Ibubapa kerap lagi menggunakan perkataan ini dengan tidak mahu menerima perubahan keadaan. Zaman telah berubah dengan berbagai-bagai perubahan dari segi ekonomi dan pengetahuan. Negara telah berubah dari negara berasaskan pertanian kepada negara berasaskan perindustrian. Kalau dahulu penduduk Malaysia hanya berjumlakh 17 juta tetapi sekarang telah berjumlah 25 juta. Kalau dulu tidak banyak yang layak masuk ke universiti tetapi sekarang memasuki unversiti sudah menjadi perkara biasa sahaja. Boleh dikatakan setiap keluarga telah mempunyai keluarga berjaya memasuki universiti. Untuk itu cabaran sekarang adalah untuk bersaing dengan banyak orang pandai. Anak-anak kita perlu mendapat kelulusan terbaik di universiti. Kalau dulu kalau lulus sahaja telah mencukupi, tetapi kelulusan terbaik perlu menjadi impian supaya mudah untuk mendapat pekerjaan. Lulus dengan kelas ketiga tidak dipandang lagi. Kalau untuk mendapat pekerjaan profesional, kelulusan dengan CGPA melebihi 3.0 adalah dicari. Untuk itu anak-anak perlu mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.

Bidang pembelajaran juga tidak sama seperti dahulu. Ibubapa dahulu jarang terlibat dalam menentukan bidang yang perlu diambil. Ada ibubapa tidak berapa kisah dengan pemilihan anak-anak. Apa yang baik untuk anak-anak baiklah untuk ibubapa. Hanya yang penting bila keluar nanti dapat kerja. Itu sahaja yang ibubapa dahalu mahukan. Sekarang tidak lagi demikan. Ibubapa perlu mengetahui bidang apa yang anak-anak mereka ceburi. Bidang yang terdapat juga sangat luas bersesuaian dengan perkembangan negara sekarang ini. Kalau boleh kita perlu menasihati bidang yang akan diceburi supaya mereka akan mendapat pulangan yang baik pada masa hadapan (makan gaji atau berniaga). Ibubapa zaman sekarang bukan lagi ibubapa seperti satu ketika dahulu. Ibubapa sekarang telah mempunyai kelulusan yang cemerlang dan memiliki karier yang sangat baik (ibubapa sekarang pandai-pandai). Ibubapa sekarang banyak pengalaman dan luas pembacaan serta pergaulan yang boleh dikongsi bersama anak-anak. Ibubapa harus memberi panduan kepada anak-anak supaya mereka berupaya memilih karier yang betul pada masa hadapan. Walaupun begitu keputusan terakhir biarlah dibuat oleh anak-anak sendiri kerana merekalah yang akan melakukan sesuatu untuk masa hadapan mereka sendiri. Ibubapa jangan dipersalahkan nanti, ibubapa berhak memberi pendapat dan contoh sahaja. Keputusan ditangan mereka sendiri. Biarlah mereka bertanggung jawapa dengan pemilihan untuk masa depan mereka sendiri.

Setiap kali keputuan peperiksaan keluar, akhbar akan melaporkan kejayaan cemerlang pelajar dengan diikuti temubual dengan pelajar yang mendapat kejayaan luar biasa. Setiap kali temubual akan berakhir dengan pertanyaan yang sangat perlu “Bagaimana anda mendapat kejayaan yang begitu cemerlang?”. Ini akan dijawap oleh pelajar dengan mengatakan “Saya mendengar setiap patah perkataan yang dikatakan oleh cikgu saya”. Jarang yang kita mendengar mereka berkata menghadiri kelas tambahan, tusyen atau lain-lain yang telah mereka hadiri. Setiap yang berjaya akan berkata mereka mendengar setiap patah perkataan yang dicakap oleh cikgu mereka. Ini bermakna mendengar sangat penting. Kemahiran mendengar bukan sahaja penting dalam dunia pembelajaran tetapi juga penting dalam kehidupan. Kita tidak akan berubah jika tidak mendengar sesuatu yang baru. Kita juga tidak ada kelainan dari masyarakat jika kita tidak mendengar dan akhirnya tidak berubah. Kemahiran mendengar perlu dijadikan kemahiran hidup dan amalan seharian. Kerap kita dapat melihat tidak dapat menfaat dari kehadiran dalam sesuatu majlis, keramaian, ceramah atau seminar jika kita tidak  mendengar dan datang untuk tidur lepas itu makan dan balik. Anak anak yang berjaya akan cuba sedaya upaya untuk memahami apa yang dipelajari didalam kelas. Mereka akan mendengar dengan tekun. Jika mereka gagal untuk memahami sesuatu fakta atau maklumat. Mereka akan segera bertanya. Kerap kali kita mendapati anak-anak tidak mahu bertanya setiap sessi pembelajaran berakhir. Ini kerana mereka tidak tahu apa yang ingin di tanya. Ini kerana mereka belum faham apa yang diajarkan. Itu sebab mereka tidak bertanya. Banyak alasan yang diberikan tidak faham kerana ingin memahaminya dirumah atau semasa sessi ulang kaji dirumah. Ini bukan tidak boleh tetapi adalah lebih baik proses pemahaman berlaku ketika sessi pembelajaran berlansung. Apa yang kurang boleh terus difahami segera atau ditokok tambah. Ini adalah proses pembelajaran yang terbaik bermula dari kemahiran mendengar yang baik. Adalah perlu kita melatih diri kita menjadikan kita mempunyai tingkah laku untuk mendengar apa yang diperkatakan.

Pada masyarakat, sesiapa yang berpendidikan akan dapat memberikan sesuatu yang istimewa semasa bekerja. Maksudnya mereka yang berpendidikan akan pandai bekerja  (walaupun tidak semestinya). Mereka yang berpendidikan akan memudahkan kerja-kerja penyampaian tugas. Mereka yang berpendidikan boleh terkehadapan.dan dapat menaikkan nama institusi mereka bekerja. Itulah kayu pengukur yang telah kita praktik sepanjang hidup kita. Tidak hairan kita semua berebut-rebut kearah itu. Ini sememawngnya telah terbukti kebenaranya. Sememangnya banyak tugas memerlukan mereka yang berpendidikan. Tidak perlu diberi latihan yang keterlaluan. Hanya sedikit taklimat, mereka telah boleh menjalankan tugas dengan baik. Mungkin mereka yang berpendidikan ini terang hati menurut setengah-setengah pihak (susah juga hendak dibuktiklan ketepatanya).

Kemahiran mendengar, menyiasat, berfikir dan bercakap perlu dijadikan amalan kehidupan samaada murid sekolah atau ibubapa. Amalan ini amat baik dan akan membawa kejayaan kepada yang mengamalkannya. Setiap langkah tidak perlu dihafal tetapi perlu diamalkan sahaja. Kepada anak-anak ini merupakan amalan untuk mendapat kejayaan yang baik untuk kejayaan pembelajaran. Kepada meraka yang dewasa yang telah mempunyai karier akan mencapai kedudukan yang lebih baik dengan tindakan yang memberi menfaat yang baik. Kepada organisasi pula, amalan yang baik menjadikan organisasi menjadi sangat cekap dan akan menghasilkan tindakan yang amat baik dan berkesan. Walaupun amalan yang lain juga perlu diamalkan tetapi amalam mendengar, menyiasat, berfikir dan bercakap adalah amalan yang sangat baik dan telah terbukti menghasikan kejayaan kepada individu dan juga organisasi seterusnya menjadi kejayaan kepada negara. Apakah ibubapa berupaya menyemai budaya ini kepada anak-anak dalam proses pembelajaran seharian. Ini lah peranan dan cabaran yang perlu disahut oleh ibubapa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...