Belajar di sekolah kampong bukanlah sesuatu yang mudah. Ini mungkin tidak
disedari semasa kita bersekolah dahulu. Ini hanya disedari apabila kita melihat
anak-anak bersekolah dibandar dan anak-anak semakin membesar. Semasa kecil setiap
hari perlu memulakan perjalanan seawal jam 6 pagi untuk menuju kesekolah. Ini
bermakna kena bangun seawal 5.00 pagi dan paling lewat jam 5.30 pagi setiap
hari bersekolah. Sekarang bangun tidur sahaja bilek mandi hanya beberapa
langkah dari katil. Kesejukan pagi dan air perigi yang sangat dingin terpaksa
juga mandi dengan berbekalkan kain batik basahan. Paling dekat perigi berada
100 meter dari rumah dengan suasana kampong yang sangat gelap. Ini terpaksa
dilakukan setiap hari 5 kali seminggu. Walaupun begitu tidaklah menimbulkan
banyak masaalah, banyakkawan-kawan satu kampong terpaksa menjalani kehidupan
yang sama. Taraf hidup hampir sama, kemudahan hampir sama dan infrastruktur yang
disediakan sangat asas (kemudahan elektrik dan air tidak ada ketika itu)
Sampai diperigi, tidak boleh terus mandi, kerap kali ada yang sudah sampai
terlebih dahulu. Sistem giliran terpaksa diikuti kerana timba selalunya ada
satu sahaja. Kadang-kadang timba yang dibuat dari tin ”terbuang” selalunya
bocor. Apabila air yang diceduk penuh semasa didalam perigi tetapi apabila
ditarik sampai keatas separuh sahaja yang sampai. Itulah kehidupan harian.
Kalau ada yang hendak buang air terpaksa melaksankannya ditepi semak. Ramai
yang tertidur dikeliling perigi sementara menunggu giliran untuk mandi. Selalunya
tidur diatas pasir dengan beralaskan kain batik basahan atau kain pelikat yang
digunakan untuk dijadikan selimut sementara sampai ke perigi atau telaga.Ramai
juga yang berkongi mandi kalau sudah terlewat.Selalunya
orang dewasa tidak keluar mandi seawal ini. Mereka mengangkat air sembahyang
dan terus balik kerumah. Mereka tidak pergi ketelaga kerana air untuk minuman
dan untuk mengangkat air sembahyang selalunya telah disimpan didalam tempayan
didapor. Air ini telah diangkat pada waktu petang atau waktu terluang untuk
tujuan tertentu sahaja.
Sarapan pagi adalah satu kemestian yang disediakan oleh emak atau abah
dirumah. Mungkin kerana ramai yang tidak ’beruang’ untuk dibekalkan kepada
anak-anak. Mereka terpaksa menyediakan makanan dirumah supaya anak-anak tidak
kelaparan semasa disekolah. Kerap kali nasi goreng, kueh kodok
(jemput-jemput)dan lempeng menjadi makanan harian. Kerap kali juga disediakan
bekalan untuk dimakan diwaktu rehat semasa disekolah. Amat jarang dapat duit
sekolah kerana alasannya bekal sudah disediakan mengapa perlu berbelanja
disekolah lagi?. Kerap kali makanan atau bekalan akan dimakan didalam kelas
tidak sempat menunggu waktu rehat. Itu sebabnya banyak yang kena denda kerana
makan didalam kelas. Pada waktu itu makan didalam kelas adalah satu kesalahan
yang sangat besar. Ada yang kena berdiri diatas bangku beberapa jam hanya
kerana makan sebiji kueh kodok. Entah mengapa makan dalam kelas satu kesalahan
yang sangat besar?. Emak dan Abah pun tidak tahu peragai anak-anak disekolah
macam itu. Berita ini tidak tersebar hingga ke kampong.
Perjalanan dari Pantai Kundur ke Sek. Keb. Kg Gelam sejauh 6 km bukanlah
perjalanan yang menyeronokan. Laluan terpaksa merempoh kampong tradisi samaada
dihadapan atau dibelakang rumah penduduk kampong, terpaksa merentas sawah padi
sejauh 1 km, merentasi kebun getah sejauh 1 km dan melalui rumah orang kampong
lagi sejauh 1 km sebelum sampai kesekolah. Semua murid-murid sekolah dari
Kampong Pantai Kundur berjalan kaki kesekolah. Menurut emak dan abah mereka juga
terpaksa melalui laluan ini semasa bersekolah. Pada masa itu tidak mampu
membeli basikal dan menaiki bas jauh sekali. Ada perkhidmatan bas tetapi
terpaksa menaiki 2 laluan. Laluan pertama dari Pantai Kundur ke Pekan Tg.
Keling dan terpaksa menunggu bas dari Tg. Keling ke Kg. Gelam. Menunggu bas di
Pekan Tg. Keling tidaklah sukar sangat kerana banyak perkhidmatan bas dari
Bandar Melaka ke Sg. Udang, Masjid Tanah, Kuala Sg. Baru dan Pengkalan Kempas
akan melalui dihadapan Sekolah Kebangsaan Kg. Gelam tetapi perkhidmatan bas no
51 dari Pantai Kundur ke Tg. Keling hanya 1 jam sekali dan kadang-kadang 2 jam
sekali. Ini bermakna menaiki bas akan lebih sukar dari berjalan kali. Penduduk
Pantai Kindur lebih suka berjalan kaki kesekolah dan ini telah dilakukan sejak
beberapa generasi. Alah bisa tegal biasa.
Selalunya semasa keluar dari rumah keadaan agak gelap. Keadaan semakin
cerah semasa dalam perjalanan. Selalunya apabila sampai di Bukit Darat keadaan
sudah cerah dan suasana kampong sudah semakin sibok. Pemandangan sangat cantik.
Ini hanya disedari setelah dewasa. Selalunya perjalanan semasa musim buah-buahan
amat mengembirakan. Kerap kali buah-buah dipokok yang rendang akan dipetik dan
makan ketika berjalan. Kalau ada rambutan yang rendang selalunya menjadi mangsa.
Tuan punya pokok selalunya tidak ambil endah tetapi ada juga yang sangat
cerewet. Pernah satu ketika dituduh mencuri jambu air semasa balik dari
sekolah. Walaupun ini tidak dilakukan.Tuan punya pokok terus mengadu kepada
abah, apa lagi sampai sahaja kerumah belum sampai kerumah penampar telah sampai
kemuka. Perut lapar setelah berjalan sejauh 6 km dan hadiahnya penampar kerana
dituduh mengambilsebiji jambu air yang tidak bernilai ketika ini. Itulah kehidupan
dikampong sebiji jambu air sangat besar nilainya walaupun tumbuh ditepi jalan.
Hari hujan adalah perharian yang sangat menyeksakan. Ramai yang tidak kesekolah.
Perjalanan sangat lecak terutama merentasi sawah padi dan ladang getah. Guru
pun kelihatan tidak sangat bertimbang rasa. Kalau kasut kotor adalah kesalahan
yang sangat besar juga. Kerap kali akan ditampar atau dirotan walaupun alasan
hujan. Apabila hujan kasut terpaksa disimpan didalam plastik dan disimpan dalam
beg yang juga berbalut plastik. Tiada pilihan lain kerana kasut hanya ada 1
pasang sahaja sepanjang persekolah atau sepanjang tahun. Apabila hari hujan
terpaksalah berkaki ayam sejauh 6 km. Payong juga tidak mampu dibeli oleh
keluarga hanya plastik besar yang ditebuk untuk dimasukan kepala. Ada juga yang
mempunyai baju hujan murahan sahaja. Adalah lebih baik jika tidak kesekolah
dari hadir kesekolah. Guru-guru kerap kali melihat kotoran pada pakaian juga
satu kesalahan besar walaupun alasan hujan tetapi jarang diterima.
Bermacam-macam alasan diberikan apabila hujan. Inilah cara hidup kampong. Kais
pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Sekolah Kebangsaan Kg. Gelam mempunyai murid yang ramai dan guru juga
sangat ramai. Setiap kelas mempunyai 50 orang murid. Guru-guru sangat dedikasi
dan sangat bermotivasi untuk mengajar. Hanya beberapa guru sahaja yang mampu
berkereta ketika itu. Seorang darinya guru berbangsa Cina yang mempunyai
perniagaan station minyak di Pekan Tg. Keling. Guru ini mengajar Bahasa
Inggeris dan menjalankan juga perniagaan kecil-kecilan disekolah. Cikgu ini
menjual pensel, rubber dan pengasah pensil. Kadang-kadang ada juga guru ini
menjual susu tin juga. Guru ini sangat rajin dan mengajar Bahasa Inggeris
dengan serius. Ramai yang tidak suka guru ini mengajar kerana Bahasa Inggeris
bukan sesuatu yang digemari. Walaupun begitu, daripada cikgu ini, ramai yang
pandai berbahasa Inggeris sehingga sekarang. Cikgu ini masih lagi menjalankan
perniagaan station minyak tetapi telah berjaya membesarkan perniagaannya dari
Pekan Tg. Keling yang hanya dibawah pokok ke Pekan Klebang yang sangat sibok
sekarang ini. Guru ini sangat rajin dan tidak aktif lagi sekarang ini kerana
sudah agak berumur.
Kemudahan di Sek. Keb. Kg. Gelam sangat terhad. Buku teks hanya dipunyai
oleh guru-guru sahaja. Setiap murid hanya memiliki buku tulis sahaja. Masih
lagi ingat, emak dan abah tidak pernah hantar kesekolah walaupun pada hari
pertama bersekolah. Hari pertama hanya di suruh mengikut saudara mara yang
sudah bersekolah sebelum ini. Emak dan abah hanya mengirim duit buku tulis
kepada mereka. Itu pun duit itu diserahkan semasa dalam perjalanan untuk
diserahkan sendiri kepada guru kelas. Sepanjang bersekolah selama 6 tahun tidak
pernah melihat buku teks. Semua pembelajaran hanya dipapan hitam sahaja.
Guru-guru menggunakan berbagai-bagai kreativiti. Banyak yang memotong manila
kad dan dilukis berbagai-bagai gambar untuk diajar kepada anak-anak murid. Keseluruhan
semua guru sangat kreatif. Sek. Keb. Kg. Gelam mempunyai bilek yang dipanggil
bilik Ilmu Kejadian. Semua binatang kecil dan serangga yang berada dikawasan
sekolah termasuk ular dan katak akan ditangkap dan akan diberi suntikan oleh
guru sains dan akan dimasukan kedalam botol dengan cecair yang tidak pernah
diketahui untuk dijadikan bahan pengajaran. Bilik Ilmu Kejadian telah menjadi
pusat sumber Sek. Keb. Kg. Gelam. Mungkin lebih hebat dari pusat sumber
sekarang ini. Semuanya usaha dari guru sendiri. Siri lawatan kebilek ini akan
diatur. Murid-murid sangat gembira apabila berada dapat melawat bilek Ilmu Kejadaian.
Macam melawat Pusat Sains Negara pada anak-anak sekarang ini.
Keadaan yang serba kekurangan jarang disedari, apa yang diajar itulah yang
difahami. Tidak ada lawatan, tidak ada alat audio video, tidak ada motivasi,
tidak ada komputer, tidak ada internet, tidak ada khemah Ibadat dan tidak ada
yang istimewa. Perjalanan hidup hanya bergantung kepada kreativiti guru sahaja.
Peperiksaan setiap penggal terpaksa diikuti. Setiap tahun ada 3 penggal. Setiap
penggal ada majlis penyampaian hadiah kepada mereka yang mendapat no 1 hingga
no 3 sahaja. Tidak ada murid terbaik mata pelajaran atau lain-lain aktiviti
ko-kurikulum. Hadiah setiap tahun adalah kain buat baju sekolah putih atau biru
dan kasut sekolah sahaja untuk kegunaan kesekolah pada awal tahun. Pada masa
itu emak dan sangat gembira apabila bawa balik kain putih atau kasut Badminton
Master. Ini bermakna pada awal tahun tidak perlu lagi pening kepala untuk
mencari wang untuk membeli kasut dan membuat uniform sekolah. Ini sangat
menjimatkan.
Setiap kali peperiksaan penggal pasti akan dapat hadiah. Sepanjang
bersekolah hanya sekali sahaja mendapat keputusan peperiksaan no 2. Semua peperiksaan yang lain pasti dapat
no 1 sahaja. Keputusan sangat baik dan menjadi ketua kelas dari darjah 1 sampai
darjah 6. Ketika darjah 6 telah dipilih menjadi Ketua Pengawas Sekolah dimana
setiap hari Isnin akan membaca ikrar yang akan diikuti oleh semua murid-murid
yang lain di padang sekolah. Ketika itu Ikrar Rukun Negara wajib dibaca oleh
setiap sekolah kerana peristiwa 13 Mei baru sahaja berlaku. Banyak aktiviti
kearah perpaduan terpaksa dibuat. Amat membanggakan berdiri dihadapan ratusan
pelajar sekolah dari darjah 1 sampai darjah 6. Menjadi Ketua Pengawas, tidak
ada talileher, tidak ada pakaian yang khas, tidak ada majlis pengistiharan
pengawas, tidak ada kesemuanya. Apa yang ada hanya Guru Besar berpesan kepada
Guru Kelas sesiapa yang akan menjadi Ketua Pengawas. Tidak ada dendangan, tidak
ada lencana khas hanya lantikan mulut. Itu pun sudah sangat berbangga.
Liku-liku hidup dari kampong yang serba kekurangan, tidak ada buku teks
sepanjang 6 tahun belajar, tidak ada peralatan pengajaran yang canggih, sekolah
yang hidup atas inisiatif dan kreativiti guru-guru sahaja, pembelajaran banyak
menggunakan alam sekeliling sebagai bahan pengajaran. Tiada siapayang berpesan
supaya makan makanan yang berzat untuk berjaya dalam pelajaran. Ini semua
terpaksa dilalui oleh pelajar kampong pada satu ketika dahulu. Tidak ada yang
mustahil dalam dunia ini kalau setiap dari kita belajar bersungguh-sungguh.
Tidak perlu disebut kekurangan. Hanya yang disebut dan digunakan apa sahaja
yang ada. Semua dari kita guna kreativiti dan kreatif sepanjang masa. Guru-guru
dan murid-murid perlu kreatif dan setiap dari kita perlu menghargai kreativiti.
Setiap dari kita pasti berjaya.Pada tahun 1974 berjaya menyambung pelajaran di
Sekolah Alam Shah Kuala Lumpur di Jalan Cheras, sebuah sekolah berasrama penuh
yang sangat berprestej ketika itu. Terima kasih kerajaan Malaysia, budi kerajaan
terlalu besar untuk dibalas dan akan terus menyayangi negara ini. Kawan-kawan
mari terus menyayangi negara ini.
No comments:
Post a Comment