Pekan Tg Keling terletak 12 km (7 batu) dari Bandaraya Melaka adalah sebuah pekan kecil yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri Pantai Kundur dan Parlimen Tg. Batu. Pekan yang menjadi tumpuan penduduk setempat dan masih lagi memainkan peranannya walaupun tidak pernah didendang. Sehingga sekarang pekan ini tidak banyak berubah sejak 30 tahun dahulu selain Balai Polis Batang Tiga yang pernah dipindah ke Balai Raya Pekan Tg Keling yang akhirnya dipindahkan ke premis sekarang di jalan baru ke Pantai Kundur. Satu ketika dahulu Pekan Tg Keling menjadi tumpuan penduduk setempat untuk membeli barangan harian yang tidak terdapat di tempat mereka. Penduduk sejauh Pantai Tanah Merah (kawasan Kilang Penapisan Petronas sekarang), Pantai Rombang, Pantai Kundur, Bukit Darat, Pengkalan Perigi, Kg Gelam, Balik Bukit, Lereh, Pengkalan Lanjut perlu berkunjung ke pekan ini sebelum jalan baru dibina dan Pekan Tg Keling dibiarkan begitu sahaja kerana tidak lagi kelihatan setelah laluan bas dan teksi tidak lagi merentasi pekan ini lagi sejak tahun 70an. Pekan ini satu ketika mempunyai petrol station kepunyaan Lin Bersaudara yang beroperasi dibawah pokok di tengah-tengah pekan. Sekarang telah berpindah ke Kelebang. Pekan ini mempunyai sebuah kedai gambar dan kedai kerinting rambut yang menjadi tumpuan penduduk setempat dan yang paling di kunjungi adalah Pusat Kesihatan Kecil yang sudah berada sejak awal tahun 60an lagi. Pekan ini dimeriahkan lagi dengan terbinanya Pejabat Pos yang amat diingini oleh penduduk kampung. Satu ketika dahulu pejabat pos yang terdekat adalah di Pekan Tangga Batu. Pejabat Pos Tg Keling adalah bangunan yang terbesar disini. Bangunan satu tingkat yang kelihatan moden boleh dilihat ditepi jalan. Kalau dibandingkan dengan bangunan yang lain terdapat di Pekan Tg. Keling. Pernah satu ketika dianjurkan pasar malam di Pekan Tg. Keling, suasana agak hidup dan meriah untuk satu tempuh yang lama. Banyak makanan dan barangan keperluan yang dijual dan menjadi tempat penduduk Tg Keling membeli barangan makanan. Ketika itu konsep pasar malam agak baru dinegara ini. Pasar malam ini dibuka setelah tertutupnya Pasar Minggu di Pantai Kundur satu ketika dahulu beroperasi di gerai MARA sejak tahun 60an. Sekarang banyak terdapat pasar malam disekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Pantai Kundur. Pasar malam yang agak besar adalah di Pantai Puteri berdepan dengan pentas budaya yang diadakan setiap petang dan malam minggu.
Sebelum jalan baru dibina, semua kenderaan yang menuju ke Masjid Tanah, Pantai Tanah Merah, Port Dickson akan melalui pekan ini. Laluan bas Patt Hup No 52 akan belok kekiri apabila sampai ditengah-tengah Pekan Tg Keling manakala penumpang yang mengambil bas ke Masjid Tanah, Kuala Sg. Baru dan Pengkalan Kempas untuk ke Pengkalan Perigi, Pantai Kundur, Pantai Rombang dan Pantai Tanah Merah akan berhenti di Pekan Tg Keling untuk menunggu bus no 52 ke Pantai Kundur. Masa itu bas ke Pantai Kundur hanya 1 jam sekali dan banyak perkhidmatan yang lebih jauh. Perkhidmatan bas ini masih beroperasi lagi sehingga kini tetapi tidak lagi memasuki Pekan Tg. Keling. Untuk tidak menunggu lama di setesen bas di bandar lebih baik naik bas berhenti di Pekan Tg. Keling. Meriah juga Pekan Tg. Keling, paling tidak ada juga teksi yang lalu lalang untuk mengambil penumpang ke destinasi berdekatan. Kemeriahan Pekan Tg Keling kerana terdapat beberapa kedai kopi yang sangat sedap ketika itu dan beroperasi sehingga sekarang. Pekan Tg Keling juga mempunyai beberapa buah kedai runcit yang masih lagi beroperasi seperti dahulu. Pada satu masa dahulu sesiapa yang ingin membeli gas memasak hanya dijual di Pekan Tg. Keling sahaja. Pekan Tg Keling adalah pekan yang terbesar dikawasan Pantai Kundur selain Pekan Tangga Batu yang juga mempunyai kemudahan penduduk setempat yang lengkap.
Pekan Tg Keling telah memberi perkhidmatan yang baik dari dulu, kini, akan datang dan akan selamanya. Pernah juga pada pagi hari raya ramai yang menaiki bas dari Pantai Tanah Merah, Pantai Kundur, Pandai Rombang dan beberapa tempat sekitar yang datang ke Pekan Tg Keling hanya untuk membelanjakan duit raya dengan bermain tikam mercun. Begitulah Pekan Tg. Keling memainkan peranan dalam kehidupan persekitaranya. Sehingga Sekarang Pekan Tg Keling masih lagi menjadi tumpuan penduduk kampung traditional bersebelahan. Anak-anak muda masih lagi berkumpul beramai-ramai disamping orang tua rehat dikedai kopi sambil bersembang. Kalau dilihat setiap pagi dan petang Pekan Tg Keling masih lagi sibuk dikunjungi oleh penduduk setempat terutama kedai kopi dan kedai runcit. Pusat Kesihatan Kecil masih lagi beroperasi dengan baik dan telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang menghampiri 50 tahun. Pusat kesihatan ini amat sibok pada dari tertentu kerana pada hari tersebut Pembantu Kesihatan dari Hospital Besar Melaka akan datang merawat pesakit ringan seperti batuk, demam panas dan kaki berkudis. Jika ada pesakit yang serius akan mendapat rawatan di Hospital Besar Melaka. Tiada klinik swasta ketika itu di Tg Keling, sekarang terdapat beberapa kilinik swasta disekitar Pekan Tg . Keling.
Pekan Tg. Keling kehilangan sengatnya satu ketika dahulu kerana pekan ini terbahagi dua oleh selekoh yang agak tajam. Memandangkan jumlah kenderaan yang semakin banyak dan kenderaaan sangat laju. Ini menjadikan pengunjung pekan ini sangat berbahaya kepada kenderaan. Ada juga kedengaran kemalangan nyang serius berlaku di tengah-tengah pekan ini. Kerajaan agak perihatin ketika itu dan membuat jalan baru yang merupakan lencongan untuk memberi pengguna pekan ini agak selesa. Malangnya setelah jalan baru dibina, pekan yang banyak berjasa ini tidak lagi dapat dilihat oleh setiap kereta yang lalu lalang untuk ke Bandaraya Melaka dari arah utara. Sebenarnya laluan ini adalah jalan besar dari Masjid Tanah ke Bandaraya Melaka merupakan laluan yang sibuk dan penting. Ini adalah laluan utama ke Port Dickson. Jalan ini bertambah sibuk apabila Syarikat Jebat Express membuka laluan ke Kuala Lumpur melalui Pekan Tg Keling untuk melalui Sg Udang dan Masjid Tanah sebelum ke Pekan Alor Gajah. Banyak juga penumpang akan berhenti berhampiran Pekan Tg Keling. Ini menjadikan pekan ini diambil kira juga sebagai satu tempat perhentian bas express. Bangga betul orang Tg. Keling apabila ada perkhidmatan bas express yang melalui pekan ini untuk ke Kuala Lumpur. Paling tidak penumpang tidak perlu lagi ke Bandaraya Melaka untuk ke Kuala Lumpur. Kalau mereka yang ingin balik ke Pantai Kundur dari Kuala Lumpur tidak lagi ke Bandaraya Melaka. Ini akan menjimatkan masa dan wang penduduk yang berdekatan.
Pekan Tg Keling amat sukar untuk dibesarkan kerana kawasan yang terhad. Beberapa kedai makan juga sudah dimula disebelah luar pekan mengadap jalan baru. Ini kerana pekan lama ini tidak mempunyai banyak ruang untuk dibesarkan ditambah pula pekan ini dikeliligi dengan kampung tradisi yang tidak tradisi lagi kerana rumah-rumah yang dibina semakin cantik dan besar serta moden. Walaupun kerajaan begitu perihatin dengan kawasan ini dengan membenarkan pembinaan hotel bertaraf 4 bintang tetapi hotel dilihat sekejap buka dan sekejap tutup. Sejak akhir-akhir ini hotel ini telah dilanda masaalah lagi dan akan menutup operasinya untuk sementara. Hanya yang kekal lama sejak awal tahun 60an ialah Shah Beach Motel. Motel ini begitu terkenal sehingga sekarang dan sejak akhir-akhir hotel ini telah menjadi terkenal kerana rekabentuk yang cantik serta perkhidmatan yang begitu baik. Tahniah kepada pengurusan Shah Beach Motel kerana terus memberi perkhidmatan di Pekan Tg Keling. Pekan Tg. Keling berbangga mempunyai kemudahan motel secantik ini. Pada ketika motel ini dibuka tidak ramai yang mampu untuk menyewa bilek hotel ini tetapi sekarang banyak penduduk Tg Keling mampu menggunakan spa ala Bali yang terdapat di motel ini. Adalah diharapkan motel ini terus berada di pinggir Pekan Tg Keling.
Sesuatu perlu difikirkan untuk Pekan Tg. Keling pada masa hadapan supaya pekan ini terus terkenal. Pekan ini mempunyai nama yang sangat indah dan nama ini terkenal di seluruh Malaysia. Semasa bersekolah di Kuala Lumpur dahulu, sebut sahaja berasal dari Tg Keling semua mereka akan mengenalinya terutama pesta mandi safar yang pernah diadakan di Tg. Keling buat beberapa ketika. Taraf hidup penduduk sekitar Tg. Keling juga sudah tinggi. Ini dapat dilihat penduduk persekitaran mampu membina rumah yang cantik serta berkereta mewah. Sudah menjadi tradisi penduduk Tg. Keling akan menghias persekitaran rumah mereka dengan bunga-bunga yang cantik. Penduduk Tg Keling sememangnya mereka yang sentiasa menjaga kebersihan. Walaupun Pekan Tg Keling tidak kelihatan tetapi penduduk Tg. Keling sentiasa menjaga persekiran mereka. Rumah dicat dengan baik, banyak juga rumah diwarnakan dengan warna yang menarik.Penduduk Tg. Keling sememang pandai menjaga pekan mereka seindah nama Tg Keling.
Berdekatan dengan Pekan Tg. Keling, jalan lama yang menghala di Kubur Hang Tuah terdapat sebuah masjid yang bercirikan rekabentuk Cina. Masjid ini mempunyai minerat berbentuk ala-pagoda. Masjid ini tidaklah besar tetapi amat cantik. Masjid ini menjadi tarikan dan mercu utama kawasan tersebut. Setiap yang melepasi Pekan Tg Keling tidak akan terlepas melihat masjid yang cantik ini. Kepada mereka yang meminati reka bentuk masjid pasti akan datang melihat masjid ini. Masjid ini sangat bersejarah dan banyak menulis kisah masjid yang sangat bersejarah. Masjid ini sangat cantik dan menarik dan digunakan sehingga hari ini. Masjid ini menjadi kebanggaan penduduk setempat. Kepada mereka yang meminati untuk bersembahyang di masjid lama, silalah datang ke Masjid Tg. Keling.
Berdekatan Pekan Tg Keling terdapat sebuah kilang yang telah menjadi tempat berkerja sebahagian kecil anak-anak muda. Kilang moden ini boleh dilihat dari laluan utama. Kilang ini dibina sebahagian dari projek pengindustrian Negeri Melaka. Berdekatan Pekan Tg. Keling juga terdapat Kawasan Perdagangan Bebas (Free Trade Zone) Tg. Keling dan juga Pelabohan Tg. Beruas. Kehadiran kilang-kilang ini dikawasan Tg. Keling menjadikan kawasan ini satu ketika dahulu menjadi tumpuan anak muda untuk bekerja. Pelabohan Tg. Beruas juga telah menjadikan Kawasan Tg. Keling sibuk dengan lori-lori besar keluar masuk dan telah juga memberi sumbangan ekonomi kepada penduduk sekitar daerah Tg. Keling. Sepatutnya anak-anak muda Tg. Keling tidak perlu pergi jauh untuk mencari pekerjaaan. Memandangkan anak-anak Tg Keling juga banyak yang pandai dan mereka telah mampu merantau jauh untuk mencari pengalaman dan membawa rezeki untuk ibu-bapa di Tg Keling. Anak-anak Tg. Keling banyak yang bijak kerana mereka mendapat pendidikan yang baik. Berdekatan deagan Pekan Tg. Keling terdapat Sekolah Kebangsaan Lereh dan sebuah sekolah Cina. Setelah tamat sekolah rendah anak-anak Tg.Keling akan bersekolah di Sekolah Menengah Tg. Keling (SMTK) pada masa dahulu. Sekarang ini sekolah menengah tersebut telah ditukar nama Sekolah Menengah Seri Tanjung (SMST). Tidak diketahui kenapa nama sekolah ini ditukar, ada juga sekolah menengah baru yang dibina berdekatan Pekan Tg. Keling tetapi diberi nama Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Gelam. Ini besar kemungkinan kerana sekolah ini dibina di kawasan Kg. Gelam. Sepatutnya nama Sekolah Menengah Tg. Keling tidak ditukar kerana nama Tg. Keling ini sangat dikenali diseluruh Malaysia. Nama Tg. Keling sendiri telah diketahui mewarisi satu nama yang sangat unik yang pernah dipertikaikan satu ketika dahulu. Nama Tg. Keling sememangnya amat sesuai dengan kemajuan yang dikecapi. Marilah kita bersama-sama memikirkan untuk menjadikan Pekan Tg. Keling lebih memanfaat kepada penghuni persekitaran. Mungkin sebuah supermarket besar atau satu kemudahan ayng besar dapat dibina disini supaya nama Tg. Keling dimanfaatkan. Anak-anak Tg. Keling pasti berbangga mereka dilahirkan disini. Sepatutnya kita membiarkan Pekan Tg.Keling untuk terus berbicara kepada negerinya yang tercinta.
No comments:
Post a Comment