Berkorban membawa makna menanggung penderitaan untuk keselamatan
(kebahagian, kepentingan) orang dan mengorbankan pula bermaksud menyerahkan
sesuatu kepentingan untuk sesuatu tujuan. Banyak yang kita dengar apabila
sesaorang itu pencen atau berhenti kerja atau diberhentikan kerja, mereka akan
dikatakan telah berkorban dalam pekerjaan yang diceburinya sepanjang hidupnya.
Selalunya bukan tuan yang punya diri bercakap tetapi mereka yang ingin memberi
pengiktirafan kepada sumbangan yang telah diberikan semasa berkhidmat.
Entahlah, tidak diketahui samaada tepat atau tidak ungkapan yang digunakan.
Mungkin ungkapan berkorban ada kebenaranya pada setengah-setengah perkhidmatan,
tetapi banyak kerja yang tidak sesuai dikatakan ungkapan telah berkorban.
Mungkin ungkapan yang digunakan sebagai kata-kata pujian tetapi mungkin juga
untuk mengambil hati sahaja. Kalau tidak, tiada apa yng akan dijadikan kenangan
setelah berpuloh tahun memberi perkhidmatan. Lebih-lebih lagi mereka yang
meninggalkan tugas disebabkan berpencen.
Apa yang difahami berkenaan pengorbanan adalah kerja yang telah diberikan
tanpa ingin mendapat ganjaran atau kerja yang dilakukan melebihi dari apa yang
sepatutnya. Kita lihat kalau seorang pegawai kerajaan mula pencen. Kerap
dikatakan sesaorang itu telah mengorbankan umurnya untuk mencurah bakti kepada rakyat
atau masyarakat atau pejabat itu sendiri. Dimana ertinya pergorbanan kalau
selama bekerja sesaorang pekerja telah menerima gaji yang setimpal atau
sebagaimana yang dijanjikan. Lainlah kalau kalau semasa berkhidmat tidak mengambil gaji atau telah memberi
perkhidmatan secara sukarela selamanya. Mungkin juga pengorbanan yang dibuat
kerana telah menyumbang kerja selepas waktu pejabat, tetapi keseluruhan
perkhidmatan telah diberi ganjaraanya.
Banyak mereka yang bekerja dengan kerajaaan tidak mahu berlebih kurang
semasa berkhidmat. Semua tugas mereka perlu dituntut samaada elaun lebih masa
atau cuti gantian. Setiap yang diberikan kepada perkhidmatan kerajaan akan
dituntut pembayaranya. Mana ada pengorbanan kalau dilihat pada mata kasar.
Mungkin pengorbanan dilakukan tanpa boleh dilihat dengan mata kasar.
Banyak dilihat pegawai kerajaan yang bertugas pada hari cuti akan merungut
dan banyak yang sangat berkira-kira dan akan menuntut cuti gantian dengan
pengiraan yang tepat. Semasa meminta pekerjaan semuanya nampak bagus dan bersetuju
apa yang disyaratkankan. Apabila telah diterima bekerja, akan mula dilihat
belangnya. Semua yang tidak boleh. Kalau minta datang hujung minggu pasti akan
ada rungutan selain dari ingin meminta cuti gantian atau elaun lebih masa ada
kalanya perlu disediakan makan minum secara tidak resmi. Ada juga yang sangat
liat dengan alasan hari Sabtu dan Ahad, adalah hari bersama keluarga. Banyak
juga rungutan yang kita dengat dari mulut ketua jabatan, guru besar atau pengetua
berkenaan ragam pegawai, kakitangan dan guru-guru ini. Apabila ingin berpencen
dikatakan mereka telah berkorban. Inilah yang dapat dilihat tidak tepat makna
pengorbanan atau korban yang dinyatakan sebelum ini.
Apa yang dikatakan berkorban, jika sehari atau dua gaji lewat telah ada
yang merungut. Kalau telah berkorban tidak perlu merungut. Ada yang kata itu
hak mereka untuk mendapatkanya setelah diterima bekerja. Setiap kerja yang
dilakukan perlu ada ganjaran. Ganjaran itu yang mereka tuntut. Sememangnya
benar, setiap kerja yang dilakukan perlu ada pembayaran yang setimpal atau
sebagaimana yang dijanjikan. Kalau begitu tidak perlu diungkit perkataan pengorbanan.
Semuanya telah beres. Setiap titik peluh telah dibayar. Mungkin ini dapat
difikirkan.
Perkataan pengorbanan perlu ditukar kepada perkataan sumbangan. Ini adalah
lebih sesuai kalau dilihat dari pengertiaan. Setiap dari kita telah menyumbang
kepada negara bukan berkorban untuk negara. Biarlah perkataan korban itu
digunakan untuk profesion yang sesuai seperti angkatan tentera atau pihak polis.
Mungkin juga ada pendapat yang lain yang sesuai. Sumbangan bermakna kita telah
memberi sesuatu semasa kita berkhidmat. Mungkin maknanya sedikt ringan tetapi
inilah perkataan yang sangat tepat untuk digunakan jika setiap dari titik peluh
kita telah dibayar. Sudah tentu bayaran itu telah mengira bagaimana sumbangan
yang telah diberikan.
Banyak lagi perkataan pengorbanan tidak sesuai. Seperti penulis buku.
Banyak penulis berkata mereka telah berkorban dalam bidang penulisan untuk
pembangunan negara. Apa yang kita lihat, setiap buku yang dihasikan perlu
dibeli. Tidak ada yang percuma. Sekali lagi bagaimana yang hendak dikatakan
berkorban, royalti buku di minta dan pembaca kena membeli buku. Lainlah kalau
setiap buku diberi percuma dan ini dapat dimilki oleh banyak orang. Itulah yang
dikatakan pengorbanan sesaorang penulis.
Mungkin ayat berkorban patut diberi kepada ahli politik. Mereka ini
berkerja tidak kira siang atau malam. Dapat dilihat mereka berkerja 24 jam dan
berada dimana-mana. Musim orang sakit, ahli politik kelihatan di hospital.
Kalau ada kematian, mereka perlu hadir sampai ke kubur. Kalau tidak, akan
disebut-sebut nanti. Kalau ada mereka yang sakit serius akan dilawati
berkali-kali dan sehingga meninggal dunia akan dilihat ahli politik sentiasa berada
setiap masa. Istilah berkorban ini patut diberikan kepada ahli polotik bukan
kepada mereka yang berkhidmat dengan kerajaan atau mereka yang makan gaji.
Lebih-lebih lagi kepada mereka yang sangat berkira-kira. Ini dapat dilihat
semasa banjir baru-baru ini, hampir tidak tidur semua ahli politik. Kalau nak
ikut mereka boleh tidur lelap kerana semua urusan kerja telah diatur kepada
pegawai kerajaan. Jam pukul 2.00 pagi masih lagi memberi duit bantuan peribadi
kepada mangsa banjir yang sudah tidur. Kalau logiknya dbuat apa duit pada waktu
jam 2.00 pagi, tapi ini adalah keperihatinan yang lebih tepat dipanggil
pengorbanan.
Istilah berkorban ini mungkin sesuai kepada mereka yang sentiasa berkhidmat
dengan agenti bukan kerajaan atau NGO (non goverment organisation). Mereka ini
bertugas untuk sesuatu kepentingan tanpa ada imbuhan yang diberikan. Banyak
yang melakukannya kerana minat dan syok
sendiri. Mereka ini akan menghabiskan wang ringgit, masa dan tenaga. Jarang
berada dirumah, ada sahaja yang perlu dilakukanya. Ini mungkin dikatakan
pengorbanan. Banyak orang yang dikatakan berkorban sebenarnya tidak layak
mendapat pengiktirafan ini. Pergorbanan mungkin kepada angkatan tentera atau
polis sahaja. Mereka ini terpaksa berada ditempat tertentu diketika orang lain
sedang nyenyak tidor. Mereka lakukan kerana minat dan tidak ramai ingin
melakukanya. Kadang kadang kita dapat tidur lelap kerana mereka menjaga kita
disetiap masa. Mungkin ini dikatakan pengorbanan. Tidak ramai mereka yang
berminat untuk menjadi askar atau polis. Ini semata-mata kerana minat atau
dorongan keluarga. Sekarang ini banyak jiga ahli keluarga tidak mebenarkan
anak-anak mereka menjadi askar atau polis. Jawatan askar ini hanya kepada
mereka yang berminta.
Seperti juga kerja gotong royong. Kerja ini adalah kerja sukarela sahaja.
Pada kebiasaan ini tidak berlaku, kerap minta disediakan T Shirt, nasi lemak,
teh tarik atau makanan lain. Ini bercanggah dengan konsep gotong royong dimana
semuanya sukarela tanpa apa-apa ganjaran. Sepatutnya mereka yang terlibat
dengan majlis gotong royong akan membawa makanan sendiri atau bawa agak lebih
sedikit untuk dimakan beramai-ramai selepas bergotong royong. Kalaulah asyek
meminta itu dan ini, bagaimana hendak diiktiraf sebagai gotong royong.
Sebenarnya tidak mudah untuk menggunakan perkataan berkorban. Tidak juga
semua orang boleh menggunakan perkataan berkorban. Setiap yang kita lakukan
telah dibayar dengan wang ringgit seperti mana yang dipersetujui, ini tidak
dipanggil pengorbanan tetapi hanyalah hasil kerja yang telah dibayar atas persetujuan. Ini bolehlah dipanggil hasil
kerja atau sumbangan yang telah diberikan sahaja.
Kenikmatan dan kejayaan yang kita
nikmati perlu dipulangkan balik kepada masyarakat dengan berbagai cara. Jika
kita tidak mampu dengan wang ringgit atau harta benda kita boleh menyumbang
dari segi tenaga dan daya usaha. Sumbangan wang ringgit amat besar kepada
masyarakat. Kita lihat berbagai program atau badan yang memerlukan sumbangan
untuk sesuatu tujuan. Kita tidak boleh berharap kepada ahli-ahli politik,
syarikat swasta, ushawan dan badan bukan kerajaan (NGO) sahaja. Sumbangan dari mereka
yang berjaya sebagai individu juga penting. Sumbangan tidaklah perlu banyak
tetapi kalau dikumpul dari ramai yang ingin menyumbang sumbangan akan menjadi
banyak. Ini akan lebih menjayakan sesuatu program tanpa menunggu
sumbangan/bayaran dari kerajaan sahaja.
Kita juga perlu banyak menghadiri
aktiviti kemasyarakatan seperti ceramah motivasi, program keibubapaan, lawatan
masyarakat, sukan rakyat atau apa sahaja aktiviti anjuran apa sahaja badan
/kesatuan setempat. Mungkin ada yang merasakan mereka tidak perlu untuk hadir
kerana tahap kejayaan atau pembelajaran mereka yang telah tinggi. Sebenarnya
apa yang penting adalah keterlibatan kita kepada aktiviti masyarakat. Mungkin
kehadiran kita yang terpelajar atau yang telah berjaya dalam kehidupan ini akan
memberi motivasi kepada orang lain. Masyarakat akan memandang tinggi jika
sesaorang yang terpelajar atau telah berjaya dalam hidup sangup bersama
mengikuti aktiviti masyarakat. Kehadiran juga mungkin akan memberi pengalaman
baru dan apa yang kita ketahui melalui ceramah. Motivasi ala-kedesaan ini amat
bermakna dalam aktiviti mempertingkatkan nilai masyarakat desa mungkin juga
memberikan pengalaman baru kepada masyarakat.
Warganegara yang baik sentiasa
menjadi mata dan telinga kerajaan atau masyarakat. Sikap lihat sahaja sesuatu
kejadian tanpa membantu dan mengambil tindakan sepatutnya adalah sikap yang
tidak baik. Kita sepatutnya menegur apa yang tidak kena dihadapan kita jika
perlu dan tidak mengakibatkan sesuatu yang tidak baik kepada kita. Jika kita
bertemu dengan sesuatu kemalangan kita perlu membatu apa yang kita mampu. Jika
kita lihat sesaorang memerlukan bantuan segera, kita perlu membantu dengan
segera. Jika kita seorang professional yang boleh membantu sesuatu sesuai
dengan kepakaran kita, kita perlu meberi bantuan permulaan supaya yang akhir
nanti akan diselesaikan kemudian nanti.oleh mereka yang sangat layak. Amat
mudah kalau kita ingin membantu dan jika kita ada perasaan.
Kejayaan yang kita perolehi
dimasa ini bersama keluarga adalah nikmat yang kita dapat kerana dilahirkan
dinegara yang mempunyai kerajaan yang cekap dan mempunyai perancangan kemudahan
yang terbaik. Apa yang kita nikmati ini bukanlan sedia ada, kemajuan dan
kemudahan perlu dimiliki dengan kehendak, usaha, motivasi, keinginan dan kebolehan.
Semuanya perlu dirancang dan bukan datang secara tiba-tiba. Setelah kita
menikmati kemudahan dan kejayaan ini kita perlu memulangkan sesuatu kepada
masyarakat dengan rasa tanggung jawap. Ini dapat kita lakukan dengan sentiasa
perihatin dengan aktiviti kemasyarakatan dan menyertainya dan membantu yang
mana perlu. Sikap berdiam diri, lihat apa yang
berlaku atau menjadi tukang komen sahaja tidaklah baik. Masyarakat amat
memerlukan komitmen dari mereka yang telah berjaya untuk membimbing masyarakat.
Bantuan yang perlu disumbangkan bukan sahaja dari wang ringgit tetapi usaha,
kehadiran, penyertaan aktif, bimbingan dan motivasi. Inilah yang dikatakan pengorbanan.
No comments:
Post a Comment