Mempunyai pelajaran tinggi adalah suatu yang amat membanggakan. Ibubapa
dahulu kerap mengaitkan pandai adalah dengan mendapat kelulusan yang tinggi,
terbaik dan mampu mendapat pekerjaan yang baik seterusnya dapat hidup lebih
senang. Kalau dulu ibubapa kerap berpesan yang pelajaran adalah harta untuk
masa hadapan. Mereka kerap menyatakan tidak dapat meninggalkan harta yang
banyak tetapi memberi pelajaran itu adalah harta yang diberikan kepada
anak-anak supaya hidup senang. Pendapat itu masih lagi dipegang sampai
sekarang. Kita akan mendapati ibubapa sanggup membelanjakan wang yang banyak
supaya anak-anak mendapat kejayaan yang cemerlang supaya mendapat pekerjaan
yang baik.
Anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan kerap sangat diberi lebih
perhatian oleh ibubapa. Ibubapa juga telah merancang itu dan ini untuk anak-anak
yang akan menghadapi pepe riksaan. Sekolah juga mempunyai perancangan yang rapi
dengan kursus motivasi, khemah ibadah, majlis solat hajat, lawatan sambil
belajar dan majlis bacaan Yassin serta
berbagai-bagai program pecutan pembelajaran dan pemahaman. Anak-anak juga sibuk
dengan aturan pembelajaran. Balik dari sekolah perlu mengaji dan lepas itu
mesti hadir kelas tusyen dan jika dianjurkan oleh pihak sekolah perlu hadir
kekelas tambahan. Aktiviti ini tidak kira petang, malam atau hujung minggu.
Anak-anak tiada berkuasa untuk menolak kecuali merungut keletihan sahaja. Ini
jarang dipeduli oleh ibubapa. “untuk berjaya perlu ada pengorbanan” kata
ibubapa. Untuk jadi pandai anak-anak perlu belajar. Tanpa pembelajaran atau
kelulusan yang baik, gelap masa hadapan. Ibubapa pun tidak dapat menumpang
kesenangan pada masa hadapan nanti. Begitulah anak-anak apabila ingin menghadapi
peperiksaan supaya menjadi pandai.
Guru-guru terpaksa kerja kuat untuk membolehkan anak-anak murid mereka
mendapat kelulusan yang cemerlang. Sekolah yang mendapat keputusan yang
cemerlang akan mendapat pujian masyarakat dan juga pihak kementerian. Guru-guru
merasa sangat gembira dengan apa yang dicapai dan merasa susah hati jika
kelulusan tidak sebagaimana yang diharapkan. Ibubapa akan tersenyum riang
gembira jika anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang. Setelah keputusan
peperiksaan diumumkan, ibubapa pun tidak mengetahui samaada anak-anak mereka
berjaya disebabkan pengajaran disekolah atau disebabkan anak-anak pergi ke
kelas tusyen atau kelas tambahan. Sebenarnya itu semua tidak penting kepada
guru-guru atau ibubapa, kelulusan cemerlang yang mereka idamkan, dari siapa
atau sumbangan siapa, ini semua tidak penting. Ini adalah kebolehan anak-anak
mereka dengan persediaan yang rapi. Ini adalah hasil usaha anak-anak mereka.
Guru-guru akan menerima ucapan terima kasih. Tidak cukup lagi dengan bantuan
pengajaran. Guru-guru akan memberi hadiah kepada yang berjaya. Banyak hadiah
bukan dari pihak sekolah, kementerian atau PIBG tetapi pemberian peribadi guru.
Ini adalah untuk menzahir kegembiraan guru terhadap usaha anak-anak murid
sehingga mendapat keputusan yang sangat cemerlang. Sangat besar jasa guru kepada anak-anak kita untuk pengetahuan
ibubapa sekelian.
Seperti yang kita telah ketahui, sememangnya
mereka yang pandai sahaja yang berjaya memasuki universiti. Universiti
sememangnya tempat orang pandai belajar. Jika tidak pandai, tidak dipilih
memasuki universiti. Pihak universiti juga selalu berkata “mereka memilih
mereka yang pandai sahaja memasuki universiti mereka”, walaupun mengikut kamus
dewan, universiti atau pusat pengajian tinggi bertindak memberikan ilmu dalam
pelbagai bidang, menjalankan penyelidikan ilmiah dan menganugerahkan pelbagai
peringkat ijazah. Universiti sepatutnya tempat memberi/mendapatkan ilmu dan
tidak terhad kepada mereka yang pandai sahaja. Ini bermakna tapisan perlu
dibuat semasa ingin memasuki universiti. Apabila berjaya memasuki universiti,
kepandaian mereka telah mula diiktiraf. Universiti hanya merangka corak latihan
yang menjurus kepada pekerjaan yang akan diceburi pada masa akan datang.
Kebolehan pelajar dinilai dari segi menerimaan pembelajaran dan kemahiran serba
serbi termasuk komunikasi. Ini adalah untuk mempastikan universiti mengeluarkan
mereka yang terlatih dan taraf kebolehan sama sahaja. Ini kerana sememangnya
mereka ini pandai.
Memiliki sekeping atau segulung ijazah adalah merupakan kebanggaan setiap
individu. Sesaorang dikatakan pandai jika memiliki ijazah. Setiap keluarga amat
mengidamkan semua anak-anak mereka mempunyai ijazah. Kalau boleh untuk memilih
menantu juga memiliki ijazah supaya cerah masa hadapan. Kerajaan juga mengadakaan
kempen untuk memperbaiki taraf hidup sesuatu keluarga dengan setiap satu
keluarga mesti ada seorang yang memiliki ijazah. Kempen ‘satu keluarga satu
graduan’ atau ‘satu keluarga satu profesional’ adalah usaha kerajaan untuk
menggalakan setiap pelajar dibangku sekolah untuk belajar bersunguh-sungguh
supaya berjaya memasuki universiti dan akhirnya mampu mempunyai ijazah.
Amat membanggakan jika ahli keluarga dapat menjejak kaki ke universiti. Keluarga
yang anaknya berada diuniversiti tidak pernah berhenti bercerita yang anak
mereka telah memasuki universiti. Setiap
keluarga percaya jika anak dapat memasuki universiti dan lulus akan mencerahkan
kehidupan pada masa hadapan. Pada masyarakat pula mereka yang mempunyai ijazah
patut dicontohi kerana kepandaian dan darjat akan diukur jika sesaorang berjaya
memasuki universiti.
Memiliki ijazah sahaja tidak mencukupi
jika tidak mempunyai kemahiran tertentu. Tujuan ke univeriti bukan sahaja untuk
memiliki ijazah semata-mata tetapi perlu mempunyai pengetahuan. Setiap dari
mereka yang layak memasuki universiti mesti berniat berada di universiti bukan
setakat untuk mendapat sijil sahaja
tetapi untuk mendapat pengetahuan. Ini bermakna semasa berada diuniversiti
perlu menggunakan masa sepenuhnya untuk menimba ilmu pengetahuan. Setiap kelas
dan tutorial perlu dihadiri dan mendengar apa yang diperkatakan dengan tekun.
Setiap pelajar harus menggunakan perpustakaan dengan sebaik mungkin.
Perpustakaan ada sumber ilmu. Kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak
untuk melengkapkan perpustakaan dengan berbagai kemudahan dan menyediakan buku
yang mencukupi untuk setiap bidang yang ditawarkan.
Pengwujudan banyak institusi pengajian tinggi di negeri Melaka telah
melambangkan negeri Melaka serius untuk menjadikan anak-anak Melaka pandai dan
menjadi penyumbang kepada ekonomi Melaka
selain menyediakan modal insan untuk negara. Selain menyediakan infrastruktur
pendidikan yang baik, kerajaan negeri Melaka juga telah menyediakan pinjaman
wang pengajian tinggi untuk membiayai pembelajaran anak-anak negeri Melaka
tidak mengira kaum. Pada tahun 2007 seramai 874 orang Melayu,
89 orang Cina, 14 India dan 1 dari pelbagai bangsa telah menerima sebanyak RM
15,427,683,26 pinjaman pendidikan tinggi. Pada tahun 2008 pula seramai 706
Melayu, 55 Cina, 8 India telah menerima RM 13,675,155.00 pinjaman pendidikan
tinggi dan pada tahun 2009 sebanyak RM 6,438,496.00 pinjaman telah dikeluarkan kepada 314 Melayu,
9 Cina, 5 India dan 1 orang dari kaum lain. Jumlah pinjaman yang besar ini
telah banyak membantu anak-anak negeri Melaka untuk belajar yang diharapkan
dapat menyumbang modal insan kepada negeri Melaka pada masa hadapan.
Pengiktirafan kepada mereka yang pandai tidak
sahaja memberi pekerjaan tetapi yang lebih penting adalah mendapat menfaat dari
kepandaian yang dimiliki. Apa yang kerap berlaku, mereka yang pandai diambil
bekerja tetapi tidak diberi peluang untuk menunjukan kepandaian mereka. Kita
perlu memberi peluang mereka ‘menunjuk pandai’. Masyarakat kita suka kepada
mereka yang pandai tetapi tidak suka kepada mereka yang ‘menunjuk pandai’.
Sebenarnya kita sangat memerlukan mereka yang mampu ‘tunjuk pandai’. Ini adalah
kebolehan yang perlu diperhatikan dan beri peluang kepada mereka untuk mengubah
kepada sesuatu yang baru dengan “tunjuk pandai’. Jika ada sedikit kesilapan,
perlulah buat sedikit ubah suai supaya sesuatu yang lebih sesuai dapat
diperolehi. Kita patut beri peluang kepada anak-anak muda yang pandai supaya
lebih berkreativiti. Cara lama mungkin tidak sesuai untuk digunakan selamanya.
Pada satu ketika perlu diubah suai mengikut kehendak semasa. Ini hanya dapat
diperhatikan melalui pemikiran mereka yang pandai.
Negara sangat memerlukan mereka yang pandai untuk
membina negara pada masa hadapan. Mereka adalah harapan kepada negara kerana
mereka adalah otak kepada negara. Kalau boleh kita mahu di negara kita
mempunyai 40% rakyatnya mempunyai ijazah atau kelulusan yang lebih tinggi yang
diiktiraf sebagai pandai. Mereka yang bijak pandai akan membawa perubahan
tekonologi negara pada masa akan datang. Kemajuan teknologi yang
sangat pesat dan berkembang dengan pantas perlu digunakan untuk membangunkan
negara. Kemajuan sesuatu negara akan dinilai dari segi penggunaan teknologi
terkini. Kita lihat sahaja teknologi yang ditunjukan/digunakan oleh negara barat,
teknologi mereka sangat terkehadapan seperti yang sering ditunjukan dalam tv
setiap hari. Hakikat sebenarnya teknologi yang dijumpai/direka adalah untuk
digunakan bukan bahan tuntunan sahaja. Jika ini tidak diambil kisah, negara
tidak akan membangun. Setiap pembangunan/penggunaan teknologi akan memberi
impak kepada ekonomi rakyat dan negara. Ini adalah sangat baik untuk sebuah
negara untuk terus maju.
Usaha kerajaan yang telah menyediakan kemudahan
pendidikan dan telah diberi penekanan oleh keluarga telah menjadikan anak-anak
kita lebih pandai. Kalau dulu sesiapa yang memiliki ijazah sarjana dan kedoktoran sudah rasa
cukup pandai dan telah memegang jawatan tinggi. Setiap orang akan memberi
penghormatan kepada mereka. Mungkin benar tetapi dengan perkembangan teknologi
terkini pandai dengan mempunyai ijazah satu yang benar tetapi apabila berkata
berkenaan pemahaman teknologi terkini lebih-lebih lagi dengan dunia siber yang
telah menakluki dunia telah kelihatan mereka yang berijazah tinggi juga
kelihatan sudah ’tidak pandai’ lagi. Ini perlu kita akui dan sedar jika dalam
sesuatu hal yang terkehadapan perlulah anak-anak kita lebih pandai dari kita.
Mereka akan hidup dalam cabaran yang begitu tinggi dalam dunia mereka. Mungkin
pada masa hadapan mendapat ijazah juga sudah tidak pandai. Masa hadapan mereka
yang berpegetahuan sangat diperlukan dan telah terbukti mereka yang
berkemahiran dan tidak pandai lebih berjaya dalam kehidupan dari segi ekonomi.
Masing-masing mempunyai peranan masing-masing. Apa yang lebih penting adalah
kita terus memajukan negara dengan kepandaian, kebijaksaan, berkemahiran,
berpengetahuan, berdisiplin, memandang kehadapan dan sedia menghadapi cabaran.
Kita perlu sentiasa mempunyai niat untuk anak kita menjadi lebih pandai dari
kita daan lebih berjaya dari kita pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment