nuffnang ads

Wednesday 24 October 2012

MENCARI LAWANG UNTUK BERJAYA.



Perkataan lawang menurut Kamus Dewan berasal dari perkataan Jawa yang bermakna pintu, lawang seketeng bermakna pintu gerbang.Lawang juga merupakan sejenis tumbuhan yang dipanggil cinamomum spp.Bunga lawang atau kembang lawang ialah sejenis rempah yang keras dan menyerupai kelopak bunga.Lawang juga sejenis ikan darat yang dipanggil pangasius micronemus.

Pintu pula membawa makna ruang untuk keluar masuk untuk bilek, kereta dan rumah..Pintu juga membawa makna papan untuk menutup ruang pintu, kesempatan untuk mencapai sesuatu atau jalan ke, palang pada jalan yang melintasi landasan kereta api atau boleh juga membawa makna penjodoh bilangan bagi rumah dan kedai.

Setiap yang hidup sudah pasti ingin berjaya, tidak ada orang yang tidak mahu berjaya dalam kehidupan.Sejak dari kecil setiap kanak-kanak akan disemai oleh ibu bapa mereka untuk menjadi orang yang berjaya.Sudah tentu orang yang berjaya dikira dari segi kejayaan dalam karier dan sudah tentu kejayaan dari segi material akan dikira berjaya.Walaupun ini bukanlah kejayaan mutlak tetapi ini lah yang kerap dipandang orang.Mahu-tidak mahu kejayaan dikira apa yang boleh dirasai atau boleh dilihat oleh mata.Tidak mungkin seorang itu dikatakan berjaya jika tidak mempunyai harta atau hanya berjalan kaki dan menjadi seorang yang meminta-minta.Orang yang berjaya tidak akan meminta-minta.Itu sahaja yang kerap menjadi pemerhatian manusia diatas dunia.Untuk berjaya setiap dari kita perlu mencari jalan,pintu atau lawang yang betul.Kalau lawang yang betul dapat dicari sudah tentu kita dapat bergantung harap untuk selamanya, rezeki murah dan sudah tentu keluarga kita juga dapat bergantung harap.Untuk itu dalam mencari kejayaan dalam hidup carilah lawang yang betul.Jika silap lawang mungkin impian tidak akan tercapai.Ada juga orang yang menggunakan banyak lawang.Ini juga kaedah yang baik dan kerap dipanggil orang yang sangat keratif dan sudah tentu seorang yang popular.

Sudah pasti setiap orang bercita-cita untuk hidup senang.Menurut cerita P.Ramlee yang ditayangkan kira-kira 45 tahun dahulu, kalau nak jadi kaya perlu ada sebuah kereta dan sebuah rumah.Kalau ada kedua-duanya itu sudah pasti dipanggil orang kaya.Kehendak ini tidak pernah berubah sampai sekarang.Setiap ibubapa berpesan kepada anak-anak mereka supaya belajar bersungguh-sungguh supaya senang mendapat pekerjaan.Ada juga ibubapa yang berpesan kepada anak-anak mereka yang mereka tidak meninggalkan harta tetapi pendidikan yang ada adalah harta yang perlu digunakan untuk pendidikan.Itu pasalnya kadang-kadang kita belajar apakah untuk mendapat pengetahuan atau untuk mendapat sijil supaya mudah mendapat pekerjaan pada masa hadapan.Sudah tentu bukan pengetahuan yang diukur tetapi sijil yang didapati supaya pendapatan lumayan diperolehi.Pada ketika itu mungkin itulah yang menjadi ukuran.Kalau pandai begini jadinya.Mungkin pada masa itu lawang tidak banyak dan fikiran juga tidak berapa terbuka.Kalau ada yang berfikiran pelik mungkin tidak akan dapat diterima oleh masyarakat.Kreativiti tidak diukur sebagai lawang yang boleh digunaka untuk mencapai kejayaan.Lawang pun tidak banyak terbuka bersesuaian yang fikiran juga tidak banyak terbuka.

”Bekerja dengan hanya makan gaji tidak boleh jadi kaya”, inilah ungkapan yang selalu kita dengar. Walaupun begitu kepada sebahagian besar masyarakat pada mereka kekayaan tidak penting tetapi yang mereka perlukan adalah pendapatan tetap dan cukup untuk makan dan pakai. Pada mereka tiada cita-cita untuk jadi kaya atau jutawan atau memiliki kapal terbang. Jutawan pada mereka tidak akan tercapai Pemikiran ini sekarang masih lagi ada walaupun negara telah 55 tahun merdeka. Kita dapat melihat, banyak yang makan gaji tidak kemana perginya. Ada yang berjaya (agak senang tetapi bukan jutawan) kerana mereka berjawatan besar semasa dalam perkhidmatan yang dikawal oleh orang lain tetapi tidak jauh kemana seperti berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan apabila telah pencen dengan separuh gaji sahaja. Lepasan universiti juga masih lagi terpengaruh dengan pemikiran ibubapa. Pada mereka, selagi tidak menjawat jawatan kerajaan mereka tidak bekerja. Ada yang sanggup meninggalkan jawatan yang agak baik di sektor swasta hanya untuk mengejar jawatan tetap di sektor kerajaan. Banyak dari mereka berkata  ”walaupun bergaji kecil tetapi banyak kemudahan yang didapati”. Akibat dari ini, anak seorang guru akan mengikuti ibubapanya menjadi guru. Alasan yang diberikan kerana kehidupan ibubapa mereka menjadi guru sudah agak selesa dan perlu dicontohi. Pada mereka apabila telah mempunyai sebuah rumah dan sebuah kereta, ini sudah mencukupi dan sudah dikatakan senang. Mereka ingin senang macam ibubapa mereka sahaja. Setiap kehidupan atau anak-anak pesara kerajaan akan memulakan roda kehidupan yang baru. Ibu bapa akan berkata ” pelajaran adalah harta yang diberikan, duit ringgit jauh sekali, gunakan pendidikan yang telah diberikan untuk berjaya”. Akhirnya anak-anak akan memulakan penghidupan seperti ibubapa mereka. Roda kehidupan akan bermula sekali lagi. Inilah kehidupan sekarang ini. Tidak akan pergi jauh dari segi tahap kehidupan.

Hidup ini adalah sangat mudah kalau kita memudahkannya. Dalam mengejar cita-cita kita perlu lihat diatas. Ini akan menimbulkan motivasi untuk bekerja kuat tetapi untuk melihat kehidupan, lihatlah sebelah bawah. Apabila kita melihat bawah akan menimbulkan rasa syukur dengan kejayaan yang kita miliki.Banyak orang yang melihat mereka yang berjaya memiliki kereta mewah lagi besar tetapi pada masa yang sama banyak lagi yang terpaksa berjalan kaki atau menunggu bas untuk bekerja. Banyak lagi yang bekerja ditempat yang tiada laluan bas. Mereka ini terpaksa berjalan kaki melebihi 2 km pada waktu pagi dan petang setelah turun dari perhentian bas yang berdekatan. Melihat mereka ini akan menimbulkan perasaan insaf dan merasa bangga dengan kejayaan yang keluarga kita miliki. Kalau kita asyik melihat atas, kita akan cemburu dan kalau kita tidak dapat, kita akan mengutuk atau mengumpat atau menfitnah yang bukan-bukan. Walaupun kita tidak mengetahui bagaimana mereka boleh memililki kereta mewah itu tetapi kerana cemburu, kita akan berkata atau menuduh yang bukan-bukan. Cemburu akan datang dengan sendiri jika kita cuba membandingkan perkara yang atas-atas. Kita cuba memiliki tetapi tidak berdaya. Untuk menyenangkan hati kita menuduh yang bukan-bukan untuk mengedapkan hati. Inilah yang kerap berlaku dalam kehidupan.

Kelihatan sekarang ini banyak orang yang tidak bersyukur walau pun kehidupan mereka sudah sangat baik. Banyak lagi yang tidak berpuas hati dengan kehidupan mereka dengan membuat perbandingan dengan orang yang berjaya dan berpengaruh. Banyak dikalangan orang yang tidak bersyukur ini ialah mereka yang sangat iri hati dan tidak berpuas hati kesenangan yang dinikmati oleh orang lain. Mereka ini suka menuduh itu dan ini atas kejayaan orang lain dan pada masa yang sama asyik memikirkan mengapa mereka tidak boleh dapat seperti didapati oleh orang lain. Budaya iri hati ini akan membuatkan mereka menuduh orang lain yang bukan-bukan yang akhirnya membuat fitnah yang bukan-bukan dan menuduh orang lain tidak jujur dan mula meragui kejujuran orang lain.

Sikap yang tidak menyenangi kesenangan yang didapati oleh orang lain adalah sikap yang tidak baik.Kalau kita tidak menyukai orang lain lebih senang dari kita paling tidak kita lihat dan tidak perlu berkata-kata yang tidak baik. Kita tidak perlu buat apa-apa komen. Kesenangan yang didapati oleh orang lain juga tidak datang bergolek.Sudah tentu kesenangan ini didapati dengan apa-apa usaha. Setiap dari kita harus belajar bangga dengan kejayaan orang lain dan harus menyemat didalam hati bagaimana ingin berjaya seperti orang lain. Berbangga dengan kejayaan orang lain atau saudara mara sangat baik. Kata-kata pujian dan tahniah atas kejayaan orang lain perlu dilakukan dengan hati yang jujur. Secara kasar kita harus gembira apabila orang lain atau kawan-kawan kita berjaya. Simpan motivasi untuk berjaya, mana tahu kalau ada rezeki, giliran kita pula akan berjaya.

Berfikir adalah merupakan satu kemestian dan diperlu diamalkan. Setiap tindakan perlu difikirkan terlebih dahulu. Kita tidak boleh bertindak mengikut perasaan sahaja. Ada setengah gulongan membuat tindakan tanpa berfikir. Bukan semua tindakan tanpa berfikir tidak menghasilkan kebaikan tetapi adalah menjadi lebih tepat setiap tindakan perlu difikirkan. Orang yang berjaya akan memikirkan setiap tindakan secara mendalam. Ada juga yang memikirkan “Apakah tindakan mempunyai kebaikan dan Apa pula keburukanya?. Segala tindakan akan menjadi tepat jika telah difikirkan masak-masak lebih-lebih lagi jika keputusan yang diambil jika berlaku kesilapan akan menyebabkan kesan yang sangat buruk. Kadang-kadang kita tidak menyedari kepentingan berfikir. Kita akan menyesal setiap tindakan diambil dalam masa terburu-buru apabila keputusan tidak memihak kepada kita. Banyak proses membuat keputusan akan mengajak kita kerap berfikir terlebih dahulu.

Kemahiran bercakap, berkomunikasi atau kemahiran menulis sesuatu adalah proses terakhir. Dalam peperiksaan, ini adalah satu kemahiran yang penting. Setelah kita mendengar, menyiasat dan berfikir. Kita perlu menjawap dengan tepat dalam peperiksaan. Kita perlu bercakap apa yang perlu kita cakapkan. Penulisan dan percakapan yang tepat adalah sesuatu yang sangat penting. Tidak guna kita memahami setiap yang diajar tetapi kita tidak boleh menjawap dengan baik dalam peperiksaan. Kerap kita mendengar anak-anak kita bercakap setelah balik peperiksaan “Adik tahu tetapi tidak boleh jawap”. Ini selalu kita dengar, tetapi apa guna kalau kita faham tetapi tidak boleh menyampaikan apa yang kita fahami?. Apa guna kita memahami sesuatu fakta tetapi tidak boleh diterangkan kepada mereka yang memerlukan?. Sebenarnya jika kita tidak mampu menyampaikan apa yang kita fahami, ini seolah-olah kita tidak memahami apa yang dikehendaki.

Kemahiran bercakap adalah perlu dengan tujuan meyakinkan sesaorang sesuatu pendapat. Kita perlu dilhat mempunyai kemahiran menyampaikan sesuatu. Kita juga perlu dilihat pandai berhujah. Kita juga perlu dilihat pandai meyakinkan sesaorang. Kita juga perlu dilihat sangat yakin dalam menyampaikan hujah. Kemahiran menulis juga sangat penting. Banyak yang dilakukan perlu ditulis samada melalui buku-buku, kertas kerja, laporan akhbar dan juga melalui persidangan. Adalah didapati banyak jabatan kerajaan telah berjaya dan telah melakukan sesuatu untuk rakyat. Banyak rakyat telah mendapat faedah dari perkhidmatan yang dilakukan tetapi tidak dilaporkan dengan baik. Setiap kejayaan perlu ditulis didalam laporan, web site dan juga didalam akhbar. Mahu tidak mahu, setiap yang dilakukan perlu ditulis supaya dapat diketahui oleh rakyat. Adalah malang setiap ‘succes stories” tidak dilaporkan. Mungkin ini dilihat seolah-olah tabiat masuk bakul dan mengangkatnya sendiri. Dahulu tabiat ini dilihat tidak begitu baik tetapi pada masa ini, jika ini tidak dilakukan, kita tidak akan kemana.Kejayaan perlu diberitahu kepada orang lain dengan kaedah yang betul dan bersesuaian.Apa yang penting kita perlu mengikut lawang yang betul, sentiasa berfikir jika mencari lawang dan jika lawang telah dijumpai, biarlah lawang itu diikuti selama-lamanya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...