nuffnang ads

Saturday 6 October 2012

KITA RAYA BARU SAMBUT MERDEKA.



Raya bermakna besar seperti alam raya yang bermakna dunia sejagat, badak raya membawa makna badak yang besar, bandaraya membawa makna bandar yang besar, gendang raya bermakna gendang besardan hari raya puasa adalah hari untuk meraikan berakhirnya puasa atau raya juga membawamakna lebaran. Hari raya besar adalah bermakna hari raya puasa. Hari raya haji ialah haribesar Islam yang dirayakan pada 10 Zulhijah (selepas berhenti di Arafah). Jalan raya berakna jalan besar. Kaya raya pula bermakna sangat kaya sekali. Kuih raya adalah kuih hari raya. Beraya bermakna berhari raya, merayakan bermakna memuliakan, memperingati, meramaikan hari besar (hari peringatan dan peristiwa penting). Perayaan pula adalah pesta untuk merayakan sesuatu peristiwa, keramaian atau perjamuan .

Merdeka bermakna bebas, iaitu dalam konsep bernegara adalah bebas dari penjajahan, kurungan atau naungan. Merdeka juga membawa makna lepas daripada tebusan atau tuntutan, berdiri sendiri, tidak bergantung kepada yang lain. Bebas sama sekali boleh melakukan sesuatu sekehendak hati dan tidak terikat pada mana-mana pihak. Kemerdekaan perihal merdeka (bebas) dan kebebasan dan pemerdeka adalah orang yang membebaskan daripada penjajajahan atau membebaskan dari kurungan.

Menjelang syawal bermakna umat Islam akan menyambut hari raya diseluruh dunia. Bagaimana sambutan dibuat bergantung kepada corak dan traditional serta ada resam sesuatu bangsa. Sudah tentu sambutan orang Malaysia diwarisi turun temurun dan ada juga sedikit perubahan kepada pendekatan moden tetapi tidak mengurangkan kemeriahan menyambut hari raya bersesuaian dengan falsafah sambutan. Pada rakyat Malaysia hari raya adalah hari bermaaf-maafan dan kunjung mengunjung. Sepanjang syawal banyak saudara mara dan sahabat handai perlu dikunjungi. Selain bertanya kabar ini perlu dilakukan untuk bermaaf-maafan. Sudah menjadi tradisi yang muda akan mengunjungi yang tua. Kepada mereka yang duduk berjauhan, hari raya adalah hari untuk  berdekatan dengan sanak saudara dengan tradisi balik kampung. Tidak ramai orang Malaysia yang suka beraya diperantauan kecuali terpaksa. Kerap kali mereka akan menyimpan wang dan mengumpul cuti untuk balik ke kampung halaman. Balik kampung adalah satu kemestian. Kepada yang berada diperantauan adalah menjadi kesedihan jika tidak dapat bersama ibubapa dan sanak keluarga. Ini trend tradisi dan telah menjadi amalan turun temurun.

Hari kemerdekaan pula akan disambut dengan mengingati pejuang kemerdekaan dan menyeru kepada warga muda supaya mengetahui kemerdekaan bukan datang bergolek. Ianya perlu diperjuangkan. Tanpa perjuangan tidak ada kemerdekaan. Sesungguhnya sesuatu pengorbanana perlu ada orang yang berkorban dan terkorban. Mereka ini perlu di ingati dan sambutan hari kemerdekaanlah hari yang perlu diceritakan semua ini.

Tahun ini sambutan Hari Raya Aidil Fitri disambut sebelum sambutan Hari Kebangsaan dan Sambutan Hari Kemerdekaan jatuh selang sepuluh hari dan adalah sangat perlu dua hari ini di sambut dengan penuh meriah dan juga tidak lupa kita perlu mengingati sesuatu yang sangat penting dalam sejarah negara. Kesenangan yang kita hadapi hari ini bukan datang bergolek. Kita tidak boleh menabik dada, semua yang kita nikmati datang dengan sendirinya. Pernah dikatakan untuk mendapat kemerdekaan bukanlah sesuatu yang mudah tetapi untuk mengisi kemerdekaan adalah sesuatu yang rumit dan perlukan kesungguhan dan kebijaksanaan.

Pada awal kemerdekaan, tidak lain difikirkan ketika itu oleh pemimpin kita bagaimana untuk rakyat hidup senang?. Untuk itu rakyat perlukan makanan yang mencukupi. Tanpa makanan dan rakyat lapar, negara susah ditadbir. Mentadbir orang yang lapar sangat susah. Bagaimana susahnya kita menjaga orang sakit. Untuk itu kerajaan dengan bijak merangka berbagai-bagai program untuk menjadikan rakyat bekerja. Jika mereka sudah bekerja sudah tentu mereka mampu memberi makan kepada keluarga mereka. Untuk itu kerajaan telah mengwujudkan peluang pekerjaan sebanyak mungkin. Memandangkan negara tidak mempunyai kemahiran yang tinggi, kerajaan telah menjadikan pertanian satu bidang yang telah diberi keutamaan. Rakyat digalakan menjadi petani dan peladang.Kepada mereka yang mempunyai tanah di luar bandar digalakan mengusahakan tanah mereka sendiri dengan kerajaan menyediakan bantuan yang minimum seperti kepakaran dan juga baja. Apa yang penting keluarga perlu diberikan makan. Pada masa yang sama kerajaan juga memikirkan pendidikan rakyat adalah sesuatu yang perlu diberikan kepada rakyat. Melalui pendidikan rakyat mampu keluar dari kemiskinan. Ini mungkin mengambil masa yang lama tetapi sesuatu yang sangat diperlukan. 

Kerajaan tidak menoleh kebelakang, sesuatu perlu disegerakan. Kerajaan melaksanakan apa yang ada terlebih dahulu. Jika hendak beri anak cucu pandai sudah tentu perlukan ibubapa paling tidak pandai membaca. Untuk itu kerajaan telah menganjurkan kelas dewasa mengajar ibubapa, dan datuk nenek belajar membaca. Kelas diadakan diwaktu petang samaada diserambi rumah orang, surau atau di masjid. Guru-guru diambil tangkap muat sahaja. Siapa yang pandai membaca akan menjadi guru dan diberi elauan mengajar. Ramai ketika itu anak-anak yang boleh membaca menjadi guru kelas dewasa. Rancangan ini berjalan dengan lancar. Kepandaian yang ada pada anak-anak sekarang bermula dari kelas dewasa hasil dari kebijaksanaan kerajaan pemerintah ketika itu. Itu sebab selalu diperkatakan kebijaksanaan itu lebih penting dari kepandaian.

Hasil kepandaian anak-anak telah merubah negara. Kerajaan tahu jika hanya terlibat dengan negara pertanian sahaja sampai bila pun negara tidak akan jadi kaya. Kerajaan sedar tidak ada negara yang kaya hanya menjadi pengeluar hasil bumi sahaja. Banyak negara yang menjual hasil bumi dalam dunia ini tetapi tidak menjadi kaya raya kecuali minyak. Untuk itu kerajaan telah merubah negara dari negara pertanian traditional kepada negara pertanian moden dan negara industri. Negara tidak akan kemana jika hanya menjual getah keping dan getah cair sahaja. Negara perlu menjadi negara pengeluar produk getah seperti tayar. Untuk itu anak-anak telah diminta belajar bidang sains dan teknologi. Pada masa yang sama dasar buka pintu negara untuk menarik pelabor telah dipergiatkan. Pada masa yang sama kerajaan untuk mensyaratkan setiap bentuk pelaboran harus ada inisiatif untuk perpindahan teknologi. Memandangkan dasar negara yang begitu baik dan kestabilan politik yang sangat menyakinkan, dasar perindustrian negara berkembang. Negara telah menjadi terkenal menjadi pengeluar berbagai-bagai produk elektronik untuk dunia. Dasar ini berkembang sehingga kerajaan telah melancarkan Dasar Industri Berat dan akhirnya tidak mahu lagi menjadi negara pengguna teknologi tetapi ingin menjadi negara pencipta dan pengeluar teknologi pula. Seterusnya dengan kebijaksanaan pemimpin negara, inovasi ingin dijadikan satu dari sumber baru ekonomi dan minta-minta dasar ini mendapat sokongan oleh pengiat industri di negara ini dengan membantu mengkomersilkan produk inovasi negara.

Pemerintah yang bijak dengan cita-cita yang tinggi dan tidak pernah mengabaikan hidup rakyat. Setiap dasar kerajaan telah dapat memberi manfaat kepada rakyat. Rakyat hidup semakin senang. Mustahil jika kenyataan ini ingin dinafikan. Pencapaian negara tidak perlu diceritakan oleh pakar ekonomi. Ini boleh diceritakan oleh seorang tua yang duduk di kampong sahaja. Melebih 2 juta pekerja asing yang halal dan haram terdapat di negara ini untuk mencari makan. Kalau dulu orang Malaysia tidak mengenali orang Bangladesh, Nepal, Filipina, Mynmar dan juga Laos. Sekarang ini mereka adalah pekerja dinegara kita. Kalau dahulu kita hanya kenal orang Indonesia sahaja tetapi sekarang ini ramai juga orang Malaysia yang sudah jatuh cinta dengan pemuda Indonesia. Mungkin juga kerana pemuda Indonesia sudah dilihat 'beruang'  sesudah berada di negara ini.

Adalah tidak dinafikan hidup sangat senang. Bukan sahaja restoran penuh untuk berbuka puasa tetapi hotel juga penuh dikunjungi untuk berbuka puasa. Bukan murah untuk berbuka puasa di hotel tetapi tetap penuh dikunjungi hampir setiap petang. Lihat sahaja pasar Ramadhan, mana sahaja dibuka akan dikunjugi. Apa sahaja yang dijual akan laku. Kalau dahulu makan ayam bakar atau goreng sudah mencukupi atau makan ayamg golek sudah  mencukupi tetapi sekarang ini perlu ayam bakar madu atau ayam golek madu. Kalau dulu kueh baulu sudah cukup sekarang ini perlu disediakan Almond London pula. Kalau dulu makan dihotel cukup dengan kari kambing tetapi sekarang perlu disediakan kambing golek pula. Untuk memuaskan hati pelanggan semua supermarket besar di Melaka telah dibuka sampai pukul 12 malam untuk dua atau tiga hari sebelum raya. Setiap kaunter pembayaran penuh sesak. Semua produk makan termasuk udang besar, ketam dan semua yang mahal-mahal akan menjadi tumpuan. Begitulah kedaan dinegara kita setelah 55 tahun Merdeka.

Apakah yang kita nikmati pada hari raya ini dan hari-hari raya sebelum ini dapat kita nikmati jika negara kita tidak merdeka. Lihat sahaja definasi merdeka. Merdeka bermakna kita boleh buat apa yang kita suka untuk rakyat, kita bebas merancang untuk diri kita. Ini telah dilaksanakan dengan baik. Selepas 55 tahun merdeka kita dapat lihat bagaimana sambutan hari raya kalau dibandingkan 55 tahun dahulu. Mungkin ini dapat diceritakan oleh ibubapa dan pemimpin kita yang dapat memerhatikan perkembangan negara sejak 55 tahun dahulu. Apa yang perlu kita lakukan buka sahaja telinga dan fahami apa yang diperkatakan berkenaan merdeka. Buka mata dan  pasang telinga dan hayati kemerdekaan dengan hati yang suci bersih. Kemerdekaan sudah ada dihadapan mata. Bukan untuk menafikan apa yang telah dilakukan oleh pemimpin hebat kita tetapi kita perlu memikirkan bagaimana untuk mengisi kemerderkaan yang telah ada dihadapan mata. Hayati Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera. Jangan banyak sangat memikirkan keburukan sahaja. Kalau dulu rakyat tidak mampu membayar RM 24 duit Lesen Radio dan TV untuk setahun. Sekarang rakyat mampu membayar melebihi RM 100 setiap bulan untuk Astro sahaja. Kalau dulu makan di kenduri dengan hidangan lauk terhad sekarang setiap kenduri kahwin hidangan buffet disediakan untuk tetamu makan lebih banyak. Kalau dahulu anak-anak muda dipanggil Minah Karan dan Minah Kilang tetapi sekarang Jurutera Kilang dan tidak naik bas warna biru  lagi tetapi memandu kereta jenama Malaysia. Kalau dulu banyak yang berkerja menaiki bas sahaja tetapi sekarang ini pelayan pejabat pun telah menggunakan kereta sendiri untuk berkerja. Kalau dulu jarang didengar kematian disebabkan kencing manis tetapi sekarang ini kecing manis satu masaalah negara. Sampah yang dibuang dinegara ini adalah 40 % sampah yang boleh dimakan. Kueh raya kalau dahulu perlu dibuat sendiri tetapi sekarang hanya perlu dibeli sahaja. Kalau dahulu beraya disediakan air sirap tetapi sekarang minuman kotak atau air botol yang berkarbonat. Duit raya hanya syiling sahaja tetapi sudah berganti dengan sampul hijau wang kertas. Ini dinikmati kerana negara kita sudah merdeka. Kalau tidak merdeka belum tentu ini dapat kita nikmati. Bersyukurlah kita mempunyai pemimpin yang hebat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...