nuffnang ads

Thursday 25 October 2012

MENULISLAH KERANA NAMA



Menulis adalah mencatat kata-kata dengan huruf dan memakai pena (kalam, pensel, kapur), boleh juga membawa erti melahirkan perasaan (fikiran) dengan catatan yang memakai huruf, membuat surat dan mengarang. Nama adalah panggilan atau sebutan bagi orang (barang, tempat, pertubuhan) juga boleh digunakan untuk gelaran dan juga sebutan. Setiap yang kita fahami jika ingin disampaikan tidak cukup dengan hanya secara lisan tetapi perlu disampaikan dalam bentuk tulisan. Ini adalah inisiatif atau usaha yang baik/berfaedah untuk mengembangkan ilmu yang kita telah terima pada masa ini. Begitulah penulisan yang kita fahami. Sesaorang hanya dikatakan dapat mengembangkan pengetahuan jika mampu menulis. Ada juga yang menyatakan penulisan adalah setajam mata pedang kerana dengan penulisan dapat merubah dunia dan dapat memporak perandakan negara. Penulisan juga dapat membina dunia yang lebih baik pada masa hadapan.

Sesuatu yang kita fahami walau dalam apa pun pengetahuan perlu disampaikan kepada orang lain. Ada juga ilmu yang kita rasakan tidak berapa penting kepada kita tetapi mungkin menjadi penting kepada orang lain. Semua ilmu amat penting untuk disampaikan kepada khalayak untuk digunakan, dimanfaatkan atau menjadi sumber pengetahuan baru masyarakat. Banyak orang mengatakan mereka memahami sesuatu perkara atau ada yang mengatakan mereka sangat pakar didalam sesuatu kepakaran tetapi jika tidak disalurkan melalui penulisan, kepakaran sesaorang perlu disangsikan/diragui. Berceramah sahaja tanpa menulis juga sesuatu yang tidak dapat membuktikan kepakaranya. Banyak orang yang boleh bercakap tetapi tidak mampu menulis. Ada juga yang mampu menulis tetapi tidak minat untuk menulis. Ada juga yang minat menulis tetapi tidak mempunyai masa kerna asyek bercakap sepanjang masa. Menulis memerlukan sedikit motivasi, keinginan, pengetahuan, pengorbanan dan memahami kepentingan penulisan. Kebolehan menulis adalah kebolehan yang hanya dimiliki oleh sesaorang yang meminati bidang ini. Kita harus menerima hakikat tidak semua orang boleh menulis dan diterbitkan.

Penulisan sangat penting jika mahu berkhidmat di institisi pengajaran dan penyelidikan sebagai pensyarah atau kakitangan akademik. Kebolehan mengajar sahaja tidak dinilai untuk kenaikan pangkat. Kerana ini adalah tugas hakiki yang perlu dilaksanakan oleh setiap orang tenaga pengajar. Kebolehan menulis adalah menentukan seorang itu berkebolehan atau tidak. Ini amalan biasa semua universiti didunia untuk urusan kenaikan pangkat. Setiap kali penilaian kenaikan pangkat, kebolehan penulisan akan diambil kira dan memberi sumbangan yang besar. Penulisan juga dinilai samaada dalam bentuk buku, kertas kerja seminar (kebangsaan atau antarabangsa), penulisan jurnal (kebangsaan atau antarabangsa) atau penulisan dalam mass media. Penulisan dalam akhbar juga sangat dituntut kerana ini adalah kaedah terbaik dan terpantas untuk memindahkan pengetahuan kepada orang ramai. Penulisan dalam akhbar kerap mendapat maklumbalas yang cepat dan kerap menjadi tumpuan pembaca. Mereka yang mempunyai kepakaran tertentu adalah digalakan menulis dalam akhbar harian supaya ilmu atau pendapat mereka dapat diketahui oleh orang ramai yang mungkin amat berguna.

Sebahagian besar masyarakat masih lagi menjadikan surat khabar sebagai bahan pembacaan utama setiap hari. Akbar adalah sumber berita dan juga merupakan bahan bacaan ringan yang sangat penting. Ada yang mengatakan gulungan muda tidak suka membaca surat kabar kerana mereka lebih suka menggunakan media baru sebagai sumber pengetahuan. Walau pun begitu banyak yang ingin mendapat ilmu keugamaan melalui surat khabar. Para ilmuan dalam bidang ugama harus terus menulis hal-hak keugamaan didalam surat kabar. Ceramah ugama yang kerap dianjurkan setaip pelusuk negara perlu juga ditulis dalam bahasa yang mudah dalam akhbar atau buku-buku bacaan umum. Penulisan berkenaan ugama dalam bentuk mudah untuk difahami sangat diminati oleh pembaca dalam media massa. Kita lihat sahaja dalam halaman soal jawap ugama dalam semua akhbar. Pertanyaan berkenaan hal ugama tidaklah sesuatu yang amat mendalam. Hal-hal yang ditanya adalah urusan harian yang ingin terus diterangkan untuk difahami. Tugas ini perlu disahut oleh pakar-pakar ugama yang mempunyai kebolehan menulis. Tidak semua yang ingin mempelajari ugama mampu membaca kitab atau mampu menghadiri kelas fardu ain yang banyak dianjurkan dimasjid atau disurau setiap hari. Banyak yang mendapat pengetahuan ugama dari ruang ugama yang ditulis dalam akhbar harian.  Mereka yang pakar dalam bidang tertentu perlu kerap menulis walaupun sesuatu bahan itu seolah-olah mudah tetapi amat diperlukan oleh segulungan pembaca. Apa yang penting adalah ilmu yang disampaikan bukan apa yang kita dapat dari penulisan.

Rungutan berkenaan ekonomi juga selalu kita dengari dari masyarakat umum. Kerap apa yang diperkatakan itu sesuatu yang mereka tidak fahami dan terus membuat tuduhan yang melulu. Sebenarnya mereka tidak faham (walaupun tidak berapa sukar). Mereka yang pakar dalam bidang ekonomi harus menulis kepakaran mereka dalam bidang ekonomi yang mudah difahami. Sekarang ini  banyak yang merungut tentang kenaikan harga barang. Jika ada penulisan segera berkenaan mengapa harga barangan perlu dinaikan dan mengapa subsidi perlu dikurangkan untuk menjaga kestabilan ekonomi dalam jangka masa panjang akan meningkatkan kefahaman rakyat. Penulisan yang sukar difahami yang mengunakan istilah ekonomi perlu dielakkan. Pembaca hanya untuk memahami sesuatu situasi bukan untuk mengambil peperiksaan. Kenaikan harga barang dan sebab kenaikan perlu diperjelaskan dalam bahasa yang mudah. Ini memerlukan kepakaran penulisan dari pakar ekonomi. Sangat berfaedah jika ini dapat dibuat dalam tempoh terdekat supaya rakyat memahami mengapa kita perlu membayar sedikit lebih untuk menfaat masa hadapan.

Kepakaran memasak juga sangat penting, pada masa sekarang banyak anak muda yang ingin belajar memasak terutama wanita muda yang terlalu sibuk untuk menghadiri kelas memasak. Kita banyak mengenali pakar masakan tetapi kepakaran mereka tidak ditulis dengan baik. Banyak buku resepi yang terdapat dipasaran dalam Bahasa Inggeris, itu pun hanya dalam bentuk resepi bukan dalam bentuk kefahaman untuk memasak. Pakar memasak harus banyak menulis perihal masakan supaya kaedah memasak lebih difahami oleh masyarakat. Penulisan buku resepi masakan yang mudah difahami dan dipraktikan amat penting untuk masyarakat. Kepada pakar masakan penulisan dalam bidang masakan perlu diberi perhatian yang diberi keutamaan./

Sebenarnya dalam dunia penulisan bukan penulis yang sangat penting tetapi maklumat yang ingin disampaikan. Maklumat atau pendapat jika tidak ditulis tidak dapat memperkayakan ilmu pengetahuan. Bukan semua penulis mengharapkan imbuhan tetapi banyak penulis ingin menulis apa yang mereka pelajari dan apa yang mereka fahami. Mungkin apa yang mereka tulis hanyalah sesuatu kesalahan atau kesilapan yang telah mereka lakukan tetapi ini perlu ditulis supaya mereka yang terkemudian tidak mengulangi kesalahan yang sama. Itu sebabnya penulisan kajian sangat penting. Bukan semua kajian akan memperolehi kejayaan atau dapat membuktikan sesuatu teori tetapi setiap prosedur kerja perlu ditulis dengan sempurna. Jika prosedur yeng telah ditetapkan tidak berjaya memperolehi sesuatu, prosedur yang telah dilakukan perlu juga ditulis supaya pengkaji pada masa hadapan tidak mengulangi prosedur yang sama lagi.

Menjalankan kajian adalah tugas utama kakitangan akademik. Apa yang kita fahami berkenaan kajian adalah sesuatu yang dicari belum pasti kebenaranya (tidak pasti) atau boleh dibuktikan. Itu sebab dikatakan kajian (bukan proses pembuatan yang mana semua telah pasti). Untuk itu setiap kajian perlu ditulis dengan sempurna supaya dapat diketahui oleh khalayak. Paling tidak melalui penulisan sesuatu bidang kajian dapat didalami oleh penyelidik kemudian atau dapat di perbesarkan lagi skop kajian pada masa hadapan. Dalam kajian tidak ada salah atau  betul, semua kajian adalah betul. Hasil kajian sahaja perlu ditulis untuk maklumat orang ramai atau bidang kepakaran yang lain untuk dijadikan bahan kajian yang lain.

Penghidupan menggunakan pendekatan sains dan teknologi perlu benar-benar difahami sejak bangku sekolah lagi. Kaedah pengajaran juga perlu berubah. Pendekatan saintif semasa mengajar dengan peralatan mengajar yang berdasarkan lihat, teliti, cuba dan lakukan perlu diamalkan. Bahan pengajaran perlu menunjukan ujikaji yang sebenarnya melalui model yang bercirikan saintifik. Lawatan sambil belajar sangat dan perlu digalakan. Tidak semestinya lawatan perlu tempat yang agak jauh. Lawatan perlu dilakukan di lokasi berdekatan tetapi setiap pemerhatian perlu dihubungkaitkan dengan pemahaman sains dan teknologi. Jika perlu setiap hasil lawatan perlu diteliti kefahaman pelajar melalui aktiviti penulisan dan pembentangan. Kita harus membiarkan pelajar membuat pembentangan apa yang telah mereka lihat dan fikirkan. Kita patut juga memberi peluang kepada pelajar membuat cadangan dalam bentuk penulisan jika mereka dalam keadaan begitu dan begini. Ini dapat melatih anak-anak menulis sesuatu yang benar-benar mereka lihat. Pandangan dalam bentuk percakapan dengan tidak ada penulisan adalah sesuatu yang tidak member banyak menfaat.

Kepuasan dan keseronokan menulis adalah apabila ada pembacanya dan dapat mengembangkan ilmu pengetahuan. Lebih menyeronokan lagi, jika mendapat komen yang baik dari pembaca atau mendapat maklum balas yang baik dan membina. Sangat mengembirakan lagi jika ada pembaca yang tampil memberitahu apa yang telah mereka baca sangat memberi menfaat kepada mereka. Mereka menyatakan telah mendapat pengetahuan baru dan dapat mengubah cara hidup yang merupakan amalan yang telah lama mereka lakukan. Ini adalah saat yang mengembirakan sesaorang penulis.Penulisan kerap mampu memberi motivasi kepada orang lain. Inilah artikel yang sebaik-baiknya jika dapat dihasilkan.

Penulisan sangat penting untuk masa ini dan akan datang. Penulisan ringan sangat penting untuk memberikan pengetahuan baru kepada pembaca. Penulis perlu sentiasa berusaha memberi pengetahuan kepada pembaca berkenaan cara hidup dan pengetahuan moden yang perlu mereka amalkan dan memerlukan perubahan. Kalau boleh bacaan ringan tetapi memberi kesan yang besar/berat kepada pembaca. Apa yang lebih penting kepada penulis adalah apa yang ditulis bukan apa yang mereka dapat dari penulisan. Memberi pengetahuan baru merupakan satu kepuasan yang perlu dicari. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...