nuffnang ads

Sunday 21 October 2012

ASYIK FIKIR NAIK PANGKAT,PERLU MENYUMBANG KEPADA NEGARA.



Setiap manusia ingin berjaya dalam karier masing-masing. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk dihargai untuk mendapat pengiktirafan seterusnya dinaikan pangkat. Sudah seharusnya apabila naik pangkat bermakna akan mendapat ganjaran kenaikan dari segi kewangan, kuasa dan kedudukan. Sebenarnya inilah yang dicari dalam pekerjaan. Seperti juga mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan. Segenap usaha dilakukan adalah untuk mendapat keuntungan. Kalau boleh keuntungan perlu tinggi atau setinggi yang boleh. Sudah seharusnya ini dapat dicapai dengan berkerja kuat. Pendekatan ini bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk menaikan motivasi supaya sesaorang untuk bekerja kuat. Mungkin kalau tidak menjanjikan ganjaran, mereka akan kerja kuat juga tetapi dengan menjanjikan ganjaran kenaikan pangkat atau ganjaran kewangan kerap kali akan mendapat hasil yang baik.

Adalah tidak menjadi kesalahan setiap individu berkerja kuat untuk kenaikan pangkat tetapi perlu diingat semua sumbangan yang dilakukan untuk kenaikan pangkat perlulah menyumbang kepada pembangunan negara. Paling tidak apa yang dilakukan perlu ada pulangan kepada rakyat. Pulangan ini mungkin tidak secara langsung tetapi harus ada kebaikan kepada rakyat. Kepada mereka yang makan gaji terutama dalam sektor kerajaan perlu kerap memikirkan apakah mereka telah menyumbang kepada rakyat. Kerajaan telah memberikan pelbagai kemudahan untuk mereka. Apakah kehadiran mereka dalam sektor tertentu memberikan pulangan 'value for money' untuk rakyat. Setiap mereka yang terlibat perlu melihat apa yang mereka terima dan apakah yang dapat diberikan juga?. Jangan asyik memikirkan apa yang aku dapat dan pada masa yang sama kita asyik meminta-minta tanpa berkeinginan untuk memberi.

Semua orang bercakap pentingnya membuat penyelidikan. Untuk itu bidang penyelidikan sudah menjadi keperluan kepada negara. Selain dari universiti, semua institusi pengajian tidak kira tinggi atau rendah sangat menitik beratkan penyelidikan. Sudah semestinya setiap berjaya dalam penyelidikan akan diberi ganjaran kenaikan pangkat. Inilah cara institusi penyelidikan menarik minat penyelidik untuk membuat penyelidikan yang berkualiti. Kepada universti untuk menarik minat pensyarah untuk membuat penyelidikan adalah menjanjikan kenaikan pangkat kepada jawatan pensyarah kanan, professor madya dan juga professor. Untuk menarik calon ijazah tinggi untuk mendapatkan ijazah sarjana atau kedoktoran pula akan dijanjikan segulong ijazah pada hari konvokesyen dengan peluang mendapat pekerjaan yang cerah atau mendapat glamor mempunyai ijazah tinggi. Adalah menjadi kebanggaan ibubapa sekarang anak-anak mempunyai ijazah tinggi dan bergelar doktor.

Sudah menjadi bahan bercakapan yang tidak disorok lagi, setiap yang membuat penyelidikan perlu menulis setiap hasil penyelidikan untuk dimuatkan di dalam jurnal kebangsaan atau jurnal antarabangsa. Adalah digalakan juga setiap hasil penyelidikan dibentang di seminar atau persidangan kebangsaan atau diluar negara. Adalah digalakan juga untuk setiap hasil penyelidikan yang menghasilkan produk di pamerkan untuk mendapat pingat emas, perak atau gangsa dari pameran diseluruh dunia mahu pun diperingkat kebangsaan. Itu sebabnya kita dapat melihat banyak penyelidik kita yang akan keluar negara hanya untuk membentangkan produk yang baru mereka temui melalui penyelidikan. Kepada penyelidik semua ini perlu mereka lakukan kerana dalam kriteria kenaikan pangkat telah diberi markah untuk setiap sumbangan yang berupa pembentangan kertas kerja, penulisan jurnal, pingat yang didapati, jumlah geran penyelidikan yang diperolehi dan juga produk yang telah di patenkan walaupun tidak dikomersilkan dan juga produk yang telah dipatenkan atau telah dijual. Mahu tidak mahu penyelidik terpaksa membuat penyelidikan kerana ganjaran yang dijanjikan adalah markah/mata untuk pertimbangan kenaikan. Inilah yang penting hasil penyelidikan yang dapat ditulis dan dipamerkan akan diberi ganjaran kenaikan pangkat. Itulah yang dikejar-kejar oleh penyelidik kerana mereka tidak ada pilihan lain.

Kerajaan membelanjakan banyak wang untuk pembiayaan aktiviti penyelidikan. Harapan kerajaan setiap hasil penyelidikan dapat dikomersilkan iaitu dapat dijual. Ini bermakna usahawan baru dapat diwujudkan. Kerajaan juga tidak mahu lagi negara ini menjadi negara pengguna teknologi semata-mata tetapi kerajaan ingin negara ini menjadi negara pengeluar teknologi pula dan juga ingin menjadikan produk inovasi penyelidikan negara ini sebagai satu sumber baru ekonomi. Adalah amat malang ini tidak dapat direalisasikan kerana produk inovasi penyelidikan banyak yang tidak dijual hanya ditulis dan dibentangkan semasa persidangan diluar negara. Ini dikatakan menang berkokok dan kampong tergadai. Banyak cerita tentang penghasilan produk tapi dinegara sendiri orang tidak diberitahu. Ini amat melucukan.

Pembentangan hasil produk dipersidangan luar negara dan juga penulisan dalam jurnal antarabangsa adalah satu pembaziran yang tiada memberi manfaat kepada negara. Tidak ramai yang sanggup bercerita perkara ini, mungkin tahu sama tahu sahaja. Hasilnya setiap yang membentang kononya akan menaikan nama institusi yang ditulis oleh penulis tapi hasilnya hampir tiada. Setiap pembentangan dan penerbitan yang dilakukan diluar negara tidak memberi pulangan kepada negara malahan merugikan negara.  Semua hasil penyelidikan kita diketahui oleh orang lain dan orang lain juga tahu setakat mana kemampuan kita. Mungkin maklumat penyelidikan ini dibaca dikalangan mereka sendiri sahaja. Kalau juga dibaca diluar negara hanya memberi manfaat kepada penyelidik diluar negara. Itu sebabnya ada institusi pembelajaran yang mengalakan pensyarah membuat penyelidikan, menulis dalam jurnal antarabangsa hanya tujuan untuk menaikan rating sahaja. Perkara ini perlu difikirkan. Ini tidak akan menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara sebenarnya.

Sepatutnya hasil penyelidikan perlu dikomersilkan dan dapat mewujudkan usahawan dan memberi sumbangan kepada ekonomi rakyat dan negara. Kalau tidak dikomersilakan produk perlu diberi publisiti didalam negara dari segi pembuatan dan pencapaian atau 'technical know how'. Ini membolehkan rakyat faham kaedah penghasilan produk dan paling tidak masyarakat tahu hasil penyelidikan yang tidak dapat dimanfaatkan. Adalah sangat penting setiap pencapaian dalam penyelidikan dibentangkan dan ditulis didalam negara. Biarkan masyarakat menerima hasil penyelidikan sebagai pengetahuan dan paling tidak ada juga 'technology transfer'. Hasil penyelidikan perlu disampaikan kepada masyarakat dengan penulisan disurat khabar dan juga majalah di dalam negara. Ini membolehkan rakyat mendapat satu pengetahuan baru.

Institusi yang tertentu perlu melihat semua setiap hasil penyelidikan dalam apa bidang sekali pun samaada yang mempunyai produk atau tidak, perlu disampaikan kepada masyarakat. Pihak pentadbir perlu memberikan markah atau mata nilai yang tinggi untuk sumbangan kepada masyarakat bukan mementingkan penerbitan luar negara yang tidak memberi manfaat kepada rakyat. Lihat sahaja selama ini mereka yang berjaya mendapat kenaikan pangkat yang dikatakan berjaya menulis untuk penerbitan luar negara, adakah hasil penyelidikan mereka digunakan oleh masyrakat sejagat. Mungkin ada secara tidak langsung. Tetapi sebenarnya apa yang penting adalah untuk mendapat apa sahaja maklumat hasil penyelidikan dan perlu disumbangkan kepada rakyat. Rakyat memerlukan maklumat ini untuk menjadikan sebagai sebahagian dari pengetahuan untuk kehidupan. Adalah tidak adil setiap penyelidikan dibiayai oleh dana dalam negara tetapi manfaatnya kepada mereka yang berada diluar negara.

Banyak penyelidik yang amat berbangga mereka telah membuat pembentangan diluar negara. Sebenarnya banyak yang tidak mengetahui setiap pembentangan produk persidangan diluar negara memerlukan bayaran untuk pembentangan. Pembentangan pula tidak melebihi 15 minit. Ada yang menerbitkan dalam bentuk 'proceeding' tetapi sekarang ini banyak yang memberikan CD sahaja. Bayaran pula bukannya murah selalunya melebih RM 3000 ringgit. Berapa banyak yang perlu dibelanjakan untuk tujuan pembentangan hasil produk penyelidikan diluar negara selain yuran penyertaan, tambang kapal terbang, penginapan dan makan minum semuanya memerlukan perbelanjaan dari geran penyelidikan yang disediakan oleh kerajaan. Malangnya setelah wang dibelanjakan sedemikian banyak, kalau dapat nama pun penulis atau pembentang sahaja dengan mengutip markah untuk kenaikan pangkat. Itu sebabnya banyak penyelidik terkejar-kejar membuat pembentangan di persidangan diluar negara. Hasinya hanyalah markah dan setelah jumlah yang cukup akan dinaikan pangkat.

Sudah sampai masanya amalan yang tidak sehat ini dilihat kembali oleh institusi tertentu. Perkara ini jarang diperbincangkan kerana banyak mereka yang berjaya dalam profesion tersebut adalah mereka yang berkelulusan dari luar negara. Mereka ini banyak terpengaruh dari institusi tempat mereka belajar diluar negara. Banyak juga yang berjaya dinaikan pangkat masih lagi menggunakan perkhidmatan nasihat dari tempat pengajian mereka dahulu. Adalah perlu difikirkan mungkin juga pendekatan diluar negara sesuai untuk keadaan mereka. Untuk kemajuan dalam negara pendekatan yang sesuai untuk masyarakat negara ini perlu dicari. Seperti berkerja kuat untuk mengkomersilkan produk penyelidikan untuk mengwujudkan usahawan. Untuk masyarakat negara barat setiap yang produk yang digunakan perlukan bukti saintifik. Itu sebabnya kerja penyelidikan di dalam negara kita adalah untuk menyediakan bukti saitifk. Tanpa bukti saintifik, produk penyelidikan mereka adalah sia-sia sahaja. Keadaan ini berlainan di negara kita, banyak produk yang boleh dijual atau dikomersilkan adalah produk yang tidak mempunyai bukti saintifik. Masyarakat negara ini tidak memerlukan bukti saintifik, cukuplah dengan beberapa pengakuan mereka yang pernah mencuba atau orang-orang terkenal. Maklumat ini sudah mencukupi untuk mereka menggunakan  produk tersebut. Kita dapat lihat peniaga ubat yang berjaya memasarkan produk mereka. Peniaga ini tidak menunjukan bukti saintifik tetapi mengatakan pengguna produk ini terdahulu dan apa hasilnya. Inilah sebenarnya yang dicari oleh rakyat Malaysia. Masyarakat juga tidak merujuk jurnal antarabangsa untuk menggunakan sesuatu produk. Cukuplah dengan reputasi pengguna yang telah menggunakan peralatan tersebut. Maklumat ini sudah mencukupi untuk meyakinkan masyarakat di Malaysia..

Sudah sampainya, setiap kenaikan pangkat untuk jawatan tertentu perlu menimbangkan apakah sumbangan sesaorang kepada masyarakat dan pembanggunan negara. Lebih-lebih lagi  kepada mereka  yang telah membelanjakan wang masyarakat yang banyak untuk belajar dan membelanjakan wang yang banyak untuk membuat penyelidikan. Negara kita sekarang ini tidak boleh membiarkan amalan yang salah ini diteruskan. Setiap sumbangan individu perlu dinilai samaada telah menyumbang kepada masyarakat. Menulis jurnal diluar negara dan juga membentangkan hasil produk dipersidangan diluar negara adalah satu pembaziran wang negara. Setiap penyelidik juga jangan hanya memikirkan untuk menulis dan membentang diluar negara sahaja. Setiap titik peluh perlu disumbangkan kepada negara tercinta. Satu dasar kenaikan pangkat untuk jawatan tertentu perlu difikirkan untuk kemakmuran negara dan negara tidak mengalami kerugian yang berterusan. Berilah keutamaan bagaimana untuk memberikan rakyat pengetahuan berkenaan pencapaian sesuatu penyelidikan. Ini amat penting untuk menambah pengetahuan negara pada masa hadapan. Jangan hanya memikirkan untuk naik pangkat sahaja tanpa memikirkan keuntungan kepada negara. Ini perlu difikirkan oleh bijak pandai negara ini.

1 comment:

  1. Betul kata tuan.

    Setiap bait dalam penulisan ini saya setuju kerana saya melalui semua fasa ini.

    Saya juga tidak mahu fasa ini dilalui oleh orang lain.

    Tetapi, bagaimana untuk mengehentikan fenomena sebegini dan memberi alternatif ?

    Pentadbir memerlukan modal untuk mentadbir, membuat dasar. nampaknya sekarang modal baru ialah penyelidikan. tetapi kita tahu bermula dari penyelidikan sains sosial, teknikal, conference, jurnal, paten, IP dan kolaborasi komersil semuanya bukan atas dasar yang jelas.

    hanya ikut ikutan dan peluang naikkan nama.

    apakah alternatif kepada menghentikan fem=nomena penyelidikan sebegini ? semenjak SCOPUS dan ISI dan diperkenalkan, kita semakin gila. walhal, hasilnya tidak seberapa.

    adakah bangsa Korea atau Jepun membuat seperti kita ? saya musykil.

    bolehkah tuan mengulas bangsa korea atau jepun ?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...