nuffnang ads

Friday 12 October 2012

APAKAH KITA TELAH BERKORBAN?



Berkorban membawa makna menanggung penderitaan untuk keselamatan (kebahagian, kepentingan) orang dan mengorbankan pula bermaksud menyerahkan sesuatu kepentingan untuk sesuatu tujuan. Banyak yang kita dengar apabila sesaorang itu pencen atau berhenti kerja atau diberhentikan kerja, mereka akan dikatakan telah berkorban dalam pekerjaan yang diceburinya sepanjang hidupnya. Selalunya bukan tuan yang punya diri bercakap tetapi mereka yang ingin memberi pengiktirafan kepada sumbangan yang telah diberikan semasa berkhidmat. Entahlah, tidak diketahui samaada tepat atau tidak ungkapan yang digunakan. Mungkin ungkapan berkorban ada kebenaranya pada setengah-setengah perkhidmatan, tetapi banyak kerja yang tidak sesuai dikatakan ungkapan telah berkorban. Mungkin ungkapan yang digunakan sebagai kata-kata pujian tetapi mungkin juga untuk mengambil hati sahaja. Kalau tidak, tiada apa yng akan dijadikan kenangan setelah berpuloh tahun memberi perkhidmatan. Lebih-lebih lagi mereka yang meninggalkan tugas disebabkan berpencen.

Apa yang difahami berkenaan pengorbanan adalah kerja yang telah diberikan tanpa ingin mendapat ganjaran atau kerja yang dilakukan melebihi dari apa yang sepatutnya. Kita lihat kalau seorang pegawai kerajaan mula pencen. Kerap dikatakan sesaorang itu telah mengorbankan umurnya untuk mencurah bakti kepada rakyat atau masyarakat atau pejabat itu sendiri. Dimana ertinya pergorbanan kalau selama bekerja sesaorang pekerja telah menerima gaji yang setimpal atau sebagaimana yang dijanjikan. Lainlah kalau kalau semasa berkhidmat  tidak mengambil gaji atau telah memberi perkhidmatan secara sukarela selamanya. Mungkin juga pengorbanan yang dibuat kerana telah menyumbang kerja selepas waktu pejabat, tetapi keseluruhan perkhidmatan telah diberi ganjaraanya.

Banyak mereka yang bekerja dengan kerajaaan tidak mahu berlebih kurang semasa berkhidmat. Semua tugas mereka perlu dituntut samaada elaun lebih masa atau cuti gantian. Setiap yang diberikan kepada perkhidmatan kerajaan akan dituntut pembayaranya. Mana ada pengorbanan kalau dilihat pada mata kasar. Mungkin pengorbanan dilakukan tanpa boleh dilihat dengan mata kasar.

Banyak dilihat pegawai kerajaan yang bertugas pada hari cuti akan merungut dan banyak yang sangat berkira-kira dan akan menuntut cuti gantian dengan pengiraan yang tepat. Semasa meminta pekerjaan semuanya nampak bagus dan bersetuju apa yang disyaratkankan. Apabila telah diterima bekerja, akan mula dilihat belangnya. Semua yang tidak boleh. Kalau minta datang hujung minggu pasti akan ada rungutan selain dari ingin meminta cuti gantian atau elaun lebih masa ada kalanya perlu disediakan makan minum secara tidak resmi. Ada juga yang sangat liat dengan alasan hari Sabtu dan Ahad, adalah hari bersama keluarga. Banyak juga rungutan yang kita dengat dari mulut ketua jabatan, guru besar atau pengetua berkenaan ragam pegawai, kakitangan dan guru-guru ini. Apabila ingin berpencen dikatakan mereka telah berkorban. Inilah yang dapat dilihat tidak tepat makna pengorbanan atau korban yang dinyatakan sebelum ini.

Apa yang dikatakan berkorban, jika sehari atau dua gaji lewat telah ada yang merungut. Kalau telah berkorban tidak perlu merungut. Ada yang kata itu hak mereka untuk mendapatkanya setelah diterima bekerja. Setiap kerja yang dilakukan perlu ada ganjaran. Ganjaran itu yang mereka tuntut. Sememangnya benar, setiap kerja yang dilakukan perlu ada pembayaran yang setimpal atau sebagaimana yang dijanjikan. Kalau begitu tidak perlu diungkit perkataan pengorbanan. Semuanya telah beres. Setiap titik peluh telah dibayar. Mungkin ini dapat difikirkan.

Perkataan pengorbanan perlu ditukar kepada perkataan sumbangan. Ini adalah lebih sesuai kalau dilihat dari pengertiaan. Setiap dari kita telah menyumbang kepada negara bukan berkorban untuk negara. Biarlah perkataan korban itu digunakan untuk profesion yang sesuai seperti angkatan tentera atau pihak polis. Mungkin juga ada pendapat yang lain yang sesuai. Sumbangan bermakna kita telah memberi sesuatu semasa kita berkhidmat. Mungkin maknanya sedikt ringan tetapi inilah perkataan yang sangat tepat untuk digunakan jika setiap dari titik peluh kita telah dibayar. Sudah tentu bayaran itu telah mengira bagaimana sumbangan yang telah diberikan.

Banyak lagi perkataan pengorbanan tidak sesuai. Seperti penulis buku. Banyak penulis berkata mereka telah berkorban dalam bidang penulisan untuk pembangunan negara. Apa yang kita lihat, setiap buku yang dihasikan perlu dibeli. Tidak ada yang percuma. Sekali lagi bagaimana yang hendak dikatakan berkorban, royalti buku di minta dan pembaca kena membeli buku. Lainlah kalau setiap buku diberi percuma dan ini dapat dimilki oleh banyak orang. Itulah yang dikatakan pengorbanan sesaorang penulis.

Mungkin ayat berkorban patut diberi kepada ahli politik. Mereka ini berkerja tidak kira siang atau malam. Dapat dilihat mereka berkerja 24 jam dan berada dimana-mana. Musim orang sakit, ahli politik kelihatan di hospital. Kalau ada kematian, mereka perlu hadir sampai ke kubur. Kalau tidak, akan disebut-sebut nanti. Kalau ada mereka yang sakit serius akan dilawati berkali-kali dan sehingga meninggal dunia akan dilihat ahli politik sentiasa berada setiap masa. Istilah berkorban ini patut diberikan kepada ahli polotik bukan kepada mereka yang berkhidmat dengan kerajaan atau mereka yang makan gaji. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang sangat berkira-kira. Ini dapat dilihat semasa banjir baru-baru ini, hampir tidak tidur semua ahli politik. Kalau nak ikut mereka boleh tidur lelap kerana semua urusan kerja telah diatur kepada pegawai kerajaan. Jam pukul 2.00 pagi masih lagi memberi duit bantuan peribadi kepada mangsa banjir yang sudah tidur. Kalau logiknya dbuat apa duit pada waktu jam 2.00 pagi, tapi ini adalah keperihatinan yang lebih tepat dipanggil pengorbanan. 


Istilah berkorban ini mungkin sesuai kepada mereka yang sentiasa berkhidmat dengan agenti bukan kerajaan atau NGO (non goverment organisation). Mereka ini bertugas untuk sesuatu kepentingan tanpa ada imbuhan yang diberikan. Banyak yang  melakukannya kerana minat dan syok sendiri. Mereka ini akan menghabiskan wang ringgit, masa dan tenaga. Jarang berada dirumah, ada sahaja yang perlu dilakukanya. Ini mungkin dikatakan pengorbanan. Banyak orang yang dikatakan berkorban sebenarnya tidak layak mendapat pengiktirafan ini. Pergorbanan mungkin kepada angkatan tentera atau polis sahaja. Mereka ini terpaksa berada ditempat tertentu diketika orang lain sedang nyenyak tidor. Mereka lakukan kerana minat dan tidak ramai ingin melakukanya. Kadang kadang kita dapat tidur lelap kerana mereka menjaga kita disetiap masa. Mungkin ini dikatakan pengorbanan. Tidak ramai mereka yang berminat untuk menjadi askar atau polis. Ini semata-mata kerana minat atau dorongan keluarga. Sekarang ini banyak jiga ahli keluarga tidak mebenarkan anak-anak mereka menjadi askar atau polis. Jawatan askar ini hanya kepada mereka yang berminta.

Seperti juga kerja gotong royong. Kerja ini adalah kerja sukarela sahaja. Pada kebiasaan ini tidak berlaku, kerap minta disediakan T Shirt, nasi lemak, teh tarik atau makanan lain. Ini bercanggah dengan konsep gotong royong dimana semuanya sukarela tanpa apa-apa ganjaran. Sepatutnya mereka yang terlibat dengan majlis gotong royong akan membawa makanan sendiri atau bawa agak lebih sedikit untuk dimakan beramai-ramai selepas bergotong royong. Kalaulah asyek meminta itu dan ini, bagaimana hendak diiktiraf sebagai gotong royong.

Sebenarnya tidak mudah untuk menggunakan perkataan berkorban. Tidak juga semua orang boleh menggunakan perkataan berkorban. Setiap yang kita lakukan telah dibayar dengan wang ringgit seperti mana yang dipersetujui, ini tidak dipanggil pengorbanan tetapi hanyalah hasil kerja yang telah dibayar atas  persetujuan. Ini bolehlah dipanggil hasil kerja atau sumbangan yang telah diberikan sahaja.

Kenikmatan dan kejayaan yang kita nikmati perlu dipulangkan balik kepada masyarakat dengan berbagai cara. Jika kita tidak mampu dengan wang ringgit atau harta benda kita boleh menyumbang dari segi tenaga dan daya usaha. Sumbangan wang ringgit amat besar kepada masyarakat. Kita lihat berbagai program atau badan yang memerlukan sumbangan untuk sesuatu tujuan. Kita tidak boleh berharap kepada ahli-ahli politik, syarikat swasta, ushawan dan badan bukan kerajaan (NGO) sahaja. Sumbangan dari mereka yang berjaya sebagai individu juga penting. Sumbangan tidaklah perlu banyak tetapi kalau dikumpul dari ramai yang ingin menyumbang sumbangan akan menjadi banyak. Ini akan lebih menjayakan sesuatu program tanpa menunggu sumbangan/bayaran dari kerajaan sahaja.

Kita juga perlu banyak menghadiri aktiviti kemasyarakatan seperti ceramah motivasi, program keibubapaan, lawatan masyarakat, sukan rakyat atau apa sahaja aktiviti anjuran apa sahaja badan /kesatuan setempat. Mungkin ada yang merasakan mereka tidak perlu untuk hadir kerana tahap kejayaan atau pembelajaran mereka yang telah tinggi. Sebenarnya apa yang penting adalah keterlibatan kita kepada aktiviti masyarakat. Mungkin kehadiran kita yang terpelajar atau yang telah berjaya dalam kehidupan ini akan memberi motivasi kepada orang lain. Masyarakat akan memandang tinggi jika sesaorang yang terpelajar atau telah berjaya dalam hidup sangup bersama mengikuti aktiviti masyarakat. Kehadiran juga mungkin akan memberi pengalaman baru dan apa yang kita ketahui melalui ceramah. Motivasi ala-kedesaan ini amat bermakna dalam aktiviti mempertingkatkan nilai masyarakat desa mungkin juga memberikan pengalaman baru kepada masyarakat.

Warganegara yang baik sentiasa menjadi mata dan telinga kerajaan atau masyarakat. Sikap lihat sahaja sesuatu kejadian tanpa membantu dan mengambil tindakan sepatutnya adalah sikap yang tidak baik. Kita sepatutnya menegur apa yang tidak kena dihadapan kita jika perlu dan tidak mengakibatkan sesuatu yang tidak baik kepada kita. Jika kita bertemu dengan sesuatu kemalangan kita perlu membatu apa yang kita mampu. Jika kita lihat sesaorang memerlukan bantuan segera, kita perlu membantu dengan segera. Jika kita seorang professional yang boleh membantu sesuatu sesuai dengan kepakaran kita, kita perlu meberi bantuan permulaan supaya yang akhir nanti akan diselesaikan kemudian nanti.oleh mereka yang sangat layak. Amat mudah kalau kita ingin membantu dan jika kita ada perasaan.

Kejayaan yang kita perolehi dimasa ini bersama keluarga adalah nikmat yang kita dapat kerana dilahirkan dinegara yang mempunyai kerajaan yang cekap dan mempunyai perancangan kemudahan yang terbaik. Apa yang kita nikmati ini bukanlan sedia ada, kemajuan dan kemudahan perlu dimiliki dengan kehendak, usaha, motivasi, keinginan dan kebolehan. Semuanya perlu dirancang dan bukan datang secara tiba-tiba. Setelah kita menikmati kemudahan dan kejayaan ini kita perlu memulangkan sesuatu kepada masyarakat dengan rasa tanggung jawap. Ini dapat kita lakukan dengan sentiasa perihatin dengan aktiviti kemasyarakatan dan menyertainya dan membantu yang mana perlu. Sikap berdiam diri, lihat apa yang  berlaku atau menjadi tukang komen sahaja tidaklah baik. Masyarakat amat memerlukan komitmen dari mereka yang telah berjaya untuk membimbing masyarakat. Bantuan yang perlu disumbangkan bukan sahaja dari wang ringgit tetapi usaha, kehadiran, penyertaan aktif, bimbingan dan motivasi.  Inilah yang dikatakan pengorbanan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...