nuffnang ads

Thursday 18 October 2012

IKS PERLU BERDIRI ATAS KAKI SENDIRI



Industri Kecil Sederhana atau singkatan IKS ada industri yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara ini. Sumbangan bukan sahaja dari pengeluaran produk atau perkhidmatan tetapi telah dapat memberi pekerjaan kepada banyak orang. Walaupun IKS mempunyai definasi tertentu dan berbeza dari negara-negara lain tetapi di Malaysia kita melihat IKS adalah mereka yang berniaga kecil atau sederhana, beroperasi dari premis yang disewakan oleh kerajaan atau bangunan sendiri secara kecil-kecilan. Perniagaan tidak berapa besar dan pekerja juga tidak berapa ramai. Susah juga untuk membezakan antara IKS dengan industri besar atau sangat besar tetapi mungkin ini boleh diperhatian atau boleh dirasai sendiri oleh pengusaha IKS dimana letaknya industri mereka. Kita pun tahu bila anak masih kecil atau anak sudah besar yang boleh dilepaskan sendiri untuk mencari makan. Kalau anak kecil perlu diberi banyak bantuan dan tunjuk ajar. Anak-anak perlu diberi pendidikan yang sempurna dan ditunjukan cara hidup yang betul. Itu pun setelah tunjuk ajar yang sempurna dibuat, apabila besar anak-anak masih lagi memberi masaalah kepada keluarga. Kepada anak-anak yang sudah besar juga perlukan perhatian dan tunjuk ajar lagi. Ada yang sampai sudah beranak pinak dan bercucu masih lagi bergantung kepada kedua-dua ibubapa.

Kalau dilihat secara kasar sememangnya IKS tidak mengalami banyak masaalah. Ini kerana laporan dan publisiti yang dibuat seolah-olah industri ini banyak dibantu dan berjalan dengan lancar. Adalah tidak dinafikan pihak kerajaan telah melakukan segala-galanya untuk IKS. Kerajaan telah menyediakan bantuan modal, menyediakan premis untuk disewa, khidmat nasihat dan bermacam-macam lagi. Tahniah kepada pihak kerajaan dan bantuan ini sudah semestinya amat dihargai. Apakah semua bantuan ini mencukupi atau apa yang diperlukan lagi. Sememangnya pihak kerajaan telah membantu dari segi pemasaran produk. Sebenarnya IKS mempunyai masaalah dalam memasarkan produk mereka. Kerajaan menerusi banyak agensi telah menganjurkan berbagai-bagai program promosi dan juga pameran sepanjang tahun. Sememangnya ada IKS yang mendapat manfaat tetapi banyak IKS yang tidak boleh bergantung kepada pameran sahaja. Mereka mahu produk mereka dipasarkan untuk kegunaan harian. Produk IKS yang banyaknya untuk kegunaan harian perlu dipasarkan melalui outlet yang besar atau pasaraya besar. Walaupun ini banyak yang dilaporkan telah dilaksanakan tetapi kalau ditinjau dari segi kejayaan amatlah diragui. Sebenarnya produk IKS tidak dilayan sangat di pasaraya besar. Produk sememangnya diletakan di rak tetapi apakah yang berlaku selepas itu. Harap sama-samalah setiap dari kita memikirkanya.

Sebenarnya banyak produk IKS dianak tirikan di pasaraya besar. Mungkin ini tidak disedari kerana kepada pemilik pasaraya apabila diletakan dirak terpulanglah kepada pembeli. Sememangnya ada kebenarnya tetapi pendekatan dan perlaksaan macam mana pula apabila tiba di bawah. Apakah produk IKS diletakan setanding dengan produk lain. Pihak IKS tidak mampu untuk meletakan 'promoter' atau melihat sendiri produk apabila sampai di pasaraya. Bagaimana pula dengan pembayaran, pengusaha IKS tidak mampu untuk pembayaran selepas 6 bulan produk diletakan dirak pasaraya. Ini jarang diberi perhatian agaknya. Walaupun begitu inilah rungutan oleh pengusaha IKS dan pernah dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia.
Pihak IKS sudah tidak ada banyak pilihan. Semua katanya telah dilakukan oleh berbagai pihak, terpulanglah pihak IKS untuk melaksanakannya. Pihak IKS perlu meneruskan aktiviti pemasaran secara bersendirian, itulah pilihan yang ada. Pengusaha IKS perlu berdiri atas kaki sendiri, jangan sangat meminta-minta. Mungkin zaman meminta-minta telah lama perlu ditinggalkan. Pengusaha IKS jangan harap sangat untuk memasuki pasaraya sahaja. Pihak IKS  perlu menjual produk sendirian dan membuat promosi sendirian. Untuk pemasaran produk pengusaha IKS perlu lantik agen penjual sendiri dan perlu memasarkan produk secara terus kepada peruncit diluar bandar. Masyarakat luar bandar masih lagi membeli belah dikedai runcit dan juga mini market. Mungkin ini adalah saluran pemasaran produk yang patut ditumpukan. Tidak ramai yang mampu membeli belah di pasaraya. Untuk itu pasaran luar bandar patut diberi keutamaan walaupun dikatakan kuasa membeli tidak besar tetapi paling tidak produk boleh dijual.

Menjual produk melalui pasar malam juga adalah suatu yang perlu diberi keutamaan oleh pihak IKS. Pasar malam dianjurkan hampir setiap malam dan mempunyai banyak pelanggan. Seluruh negara pasar malam sangat popular dan telah menjadi tempat masyarakat berbelanja. Kehadiran pasar malam sangat ditunggu-tunggu. Ini kerana semua produk makanan samaada mentah atau sudah dimasak boleh didapati di pasar malam.Pasar malam sebenarnya tempat yang amat sesuai untuk mencuba sesuatu produk IKS. Tidak kiralah produk tersebut berteknologi rendah, tinggi atau tiada berteknologi lansung. Ini kerana tempat ini menjadi tempat tumpuan ramai pengguna dan setiap produk akan menjadi tumpuan dan maklumat produk akan sempat sampai kepada pengguna melalui penyampaian dari mulut ke mulut. Itu sebabnya di pasar malam tertentu, aktiviti penjualan ubat amat popular. Kerap kali orang ramai akan berhenti mendengar apa yang diperkatakan oleh penjual ubat dan kerap kali penjualan ubat dipasar malam tidak menghampakan. Walaupun setiap ubat yang dijual tidak mempunyai bukti saintifik tetapi melalui contoh-contoh yang diberi dan publisiti yang diberi dari pengguna yang terdahulu, orang ramai akan mempercayai dan ubat yang dijual menjadi popular. Kerap kali ubat yang dijual tidak membahayakan pengguna dan akan menjadi terkenal.

Kepada pihak IKS yang mencipta produk makanan tidak kira didapati dari mana-mana institusi penyelidikan, patut mempertimbangkan untuk mencuba mengkomersilkan produk mereka melalui penjualan pasar malam. Kepada pihak IKS yang mencipta mesin-mesin mudah untuk kegunaan masyarakat tempatan, pasar malam patut dijadikan 'testing ground'. Kalau sesuatu produk diterima di pasar malam ini bermakna produk ini akan diterima oleh masyarakat. Ini disebabkan jika produk dapat diterima di mana-mana peringkat sekalipun akan digunakan untuk masyarakat. Jika produk telah diterima dipasar malam ini bermakna produk telah tersedia untuk dikomersilkan. Pasar malam adalah segalanya bermula. Jika popular di pasar malam bermakna popularlah untuk setiap lapisan masyarakat. Pengusaha IKS patut memberi perhatian kepada pemasaran produk menerusi pasar malam. Pelangan sangat ramai, sewa tidak mahal dan tidaklah pembayaran diterima selewat 6 bulan.

Pernah juga sebuah institusi penyelidikan tidak mahu memperkenalkan produk mereka melalui penjualan atau publisiti melalui pasar malam. Pada masa yang sama merungut yang produk kreativiti dan inovasi mereka tidak sampai kemana-mana. Setiap kali pengiktirafan yang diterima tidak kemana-mana selain dari laporan akhbar sahaja. Produk akan digunakan untuk pameran sahaja. Pencipta giat mencipta untuk mendapat hadiah dan akhirnya mendapat kenaikan pangkat. Setelah dinasihatkan supaya produk kreativiti ini diperkenalkan dipasar malam. Pada mulanya mereka menolak tetapi akhirnya bersetuju setelah berbagai-bagai berita kejayaan di pasar malam diceritakan. Seperti yang dijangka, memperkenalkan produk dipasar malam sangat memberangsangkan. Melalui percakapan dari mulut kemulut maklumat produk telah dapat disampaikan dalam tempuh yang sangat singkat. Tidak dalam tempuh yang terlalu lama hampir setiap pasar malam produk tersebut telah digunakan dan telah mula dapat dijual melalui penempahan dikedai hardware. Produk telah dapat dijual dan telah dapat digunakan. Pencipta produk amat bergembira, akhirnya produk yang mendapat pengiktirafan antarabangsa telah dapat dijual melalui pasar malam sahaja.

Setiap kali apabila laporan sesuatu yang baru diperolehi melalui penciptaan pihak IKS, banyak pujian akan didapati oleh pengusaha. Kerap kali pujian hanya tinggal pujian sahaja. Setiap kali pameran dianjurkan, banyak produk IKS akan dipamerkan. Publisiti besar-besarkan akan dibuat dan banyak lawatan ke kilang akan dianjurkan. Malang sungguh nasib IKS. Mereka akan dipuji sahaja tetapi produk tidak  dibeli. Untuk mereka yang bekerja di universiti atau institusi penyelidilkan mereka ini amat bernasib baik Setiap produk baru dicipta, tidak kira samaada dikomersilkan atau tidak, samaada telah dijual atau tidak, mereka akan diberi pengiktirafan melalui kenaikan pangkat. Itu sebab mereka yang bekerja diuniversiti atau institusi penyelidikan kerap mencipta tetapi tidak boleh dijual. Ini kerana pengiktirafan telah mereka dapati melalui kenaikan pangkat. Kepada mereka mencipta adalah untuk kenaikan pangkat bukan untuk dikomersilkan. Banyak yang tidak akan setuju dengan kenyataan ini tetapi itulah hakikatnya. Kepada pihak IKS, jika produk tidak laku, mereka tidak akan dapat apa-apa.

Percakapan dari mulut kemulut adalah sangat penting dalam penjualan produk atau dalam bidang pemasaran. Pihak IKS sememangnya tidak mampu untuk membeli iklan yang mahal di TV atau akhbar harian. Pengiklanan juga memerlukan perbelanjaan yang besar. Apabila dengar sahaja pengusaha datang untuk mengiklan produk, sudah tentu bayaran yang tinggi akan dikenakan. Kadang-kadang kalau difirkan tidak patut tetapi tidak banyak yang boleh dilakukan kerana masing-masing perlu melaksanakan tugas untuk memberi keuntungan kepada syarikat. Untuk itu IKS perlu melantik agen penjualan dan mula mencari publisiti penjualan dari mulut kemulut. Inilah cara yang terbaik untuk menjual produk IKS. Kalau ingin yang mencabar lagi, mungkin boleh melibatkan dalam industri jualan langsung. Ada yang mengatakan yang jualan secara langsung juga tidak mendapat bayaran dengan kadar cepat. Ini akan menimbulkan masaalah juga kerana IKS tidak mempunyai modal pusingan yang banyak.

Banyak pihak boleh membantu IKS tetapi ini tidak dilakukan sepenuhnya. Kalau boleh agensi kerajaan yang besar memberi ruang percuma untuk IKS menjual produk untuk tempoh tertentu. Apabila produk sudah popular, mungkin peluang ini boleh diberikan kepada orang lain pula. Jangan sangat berkira dengan pihak IKS dan menyewa terlalu mahal. Semua premis kerajaan adalah dibina dari peruntukan kerajaan bukan dipinjam dari bank. Mengapa tidak boleh diberi sewa percuma dalam tempoh tertentu. Ketua jabatan kalau boleh dapat memikirkannya. Beri ruang sepenuhnya pihak IKS untuk mempromosi produk mereka dalam apa sahaja program yang dianjurkan oleh jabatan. Pihak jabatan juga perlu menggunakan produk IKS dan jangan ragu-ragu dengan keupayaan produk IKS. Kadang-kadang produk IKS memang mahal sedikit tetapi kalau untuk membantu apa salahnya?. Kadang-kadang produk IKS ada terdapat berbagai-bagai kekurangan. Ini boleh diperbaiki dengan memberi cadangan untuk tujuan penambahbaikan. Mereka ini sangat bersemangat untuk berniaga tetapi kurang layanan mereka yang sudah besar atau menjadi gergasi. Sudah tibanya kita terus membantu IKS untuk mereka juga menjadi gergasi atau mereka boleh berubah menjadi Industri Sederhana Besar (ISB) dan seterusnya menjadi Industri Besar (IB) atau Industri Besar Besar (IBB)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...