nuffnang ads

Sunday 21 October 2012

KUIH RAYA,DUIT RAYA,BERAYA DAN LEBUH RAYA.



Raya bermakna besar seperti alam raya yang bermakna dunia sejagat, badak raya membawa makna badak yang besar, bandaraya membawa makna bandar yang besar, gendang raya bermakna gendang besar dan hari raya puasa adalah hari untuk meraikan berakhirnya puasa atau raya juga membawa makna lebaran. Hari raya besar adalah bermakna hari raya puasa. Hari raya haji ialah hari besar Islam yang dirayakan pada 10 Zulhijah (selepas berhenti di Arafah). Jalan raya bermakna jalan besar. Kaya raya pula bermakna sangat kaya sekali. Kuih raya adalah kuih hari raya. Beraya bermakna berhari raya, merayakan bermakna memuliakan, memperingati, meramaikan hari besar (hari peringatan dan peristiwa penting). Perayaan pula adalah pesta untuk merayakan sesuatu peristiwa, keramaian atau perjamuan .

Menjelang syawal bermakna umat Islam akan menyambut hari raya diseluruh dunia. Bagaimana sambutan dibuat bergantung kepada corak dan traditional serta ada resam sesuatu bangsa. Sudah tentu sambutan orang Malaysia diwarisi turun temurun dan ada juga sedikit perubahan kepada pendekatan moden tetapi tidak mengurangkan kemeriahan menyambut hari raya bersesuaian dengan falsafah sambutan. Pada rakyat Malaysia hari raya adalah hari bermaaf-maafan dan kunjung mengunjung. Sepanjang syawal banyak saudara mara dan sahabat handai perlu dikunjungi. Selain bertanya kabar ini perlu dilakukan untuk bermaaf-maafan. Sudah menjadi tradisi yang muda akan mengunjungi yang tua. Kepada mereka yang duduk berjauhan, hari raya adalah hari untuk  berdekatan dengan sanak saudara dengan tradisi balik kampung. Tidak ramai orang Malaysia yang suka beraya diperantauan kecuali terpaksa. Kerap kali mereka akan menyimpan wang dan mengumpul cuti untuk balik ke kampung halaman. Balik kampung adalah satu kemestian. Kepada yang berada diperantauan adalah menjadi kesedihan jika tidak dapat bersama ibubapa dan sanak keluarga. Ini trend tradisi dan telah menjadi amalan turun temurun.

Menyediakan kuih raya sudah menjadi kemestian, sejak awal ramadhan senarai kuih yang ingin dijual sudah diedarkan. Banyak juga peniaga atau agen peniaga akan mengedarkan sampel untuk dirasa. Menjelang hari raya dengan cara tidak disedari banyak yang akan menjadi agen pengedar kuih raya. Trend membeli kuih raya ini merupakan trend terbaru. Kalau dulu semua kuih raya akan dibuat sendiri. Sudah tentu persediaan ini lebih awal. Bukan mudah untuk membuat kuih sendiri lebih-lebih lagi kuih tradisi seperti dodol, wajik dan sagon. Sekarang semuanya menjadi mudah semua kuih muih boleh dibeli. Apa yang perlu disediakan duit sahaja. Ini adalah kerana ekonomi negara ini semakin baik. Semua suri rumah tangga sudah mempunyai karier atau bekerja. Mereka sudah tidak mempunyai banyak masa untuk membuat kuih. Bukan sahaja tidak mempunyai masa membuat kuih untuk hari raya, mereka juga tidak mempunyai banyak masa untuk membuat kuih untuk juadah berbuka puasa. Itu sebab pasar ramadhan menjadi sangat popular dan berada disetiap simpang jalan. Tabiat membeli semua keperluan makanan adalah trend sesuatu negara yang mempunyai ekonomi yang baik. Awal tahun 60an dan 70an tidak banyak pasar ramadhan dan kuih raya dibuat sendiri. Malahan ketika itu kalau kuih dibuat sendiri merupakan satu kebanggaan. Sekarang ini trend membeli kuih pula satu kebanggaan kerana banyak dari rakyat Malaysia mempunyai cukup wang. Adalah merupakan satu kehairanan pula jika kuih raya dibuat sendiri. Perbualan samaada kuih dibeli atau dibuat sendiri sudah tidak kedengaran lagi. Semua orang saling memahami dengan kesibukan dan jalan penyelesaian adalah dengan membeli kuih muih sahaja. Ada yang menyatakan tidak ekonomi untuk membuat kuih sendiri. Kuih yang dibeli lebih murah dari buat sendiri. Mereka yang membuat sendiri kuih raya hanyalah untuk mendapat sedikit kepuasan. Walaubagaimana pun trend membeli kuih ini telah menjadikan banyak yang berkebolehan menjadi penjual atau agen kuih bermusim. Kepada mereka yang kreatif dari segi masakan bulan ramadhan dan bulan syawal adalah bulan mereka membuat duit. Ada yang akan mengambil cuti tanpa gaji pada bulan syawal hanya untuk membuat kuih jualan. Sekali lagi kuih akan laku kalau ramai yang ingin membelinya. Sudah tentu ini memerlukan taraf ekonomi yang tinggi untuk rakyat membeli. Sangat beruntung rakyat negara ini. Semua boleh dibeli sahaja kerana banyak yang sudah berkemampuan.

Hari raya juga adalah hari untuk memberi sesuatu kepada sesaorang atau pelawat atau sanak saudara. Trend memberi duit raya memang telah lama diamalkan. Apa yang berubah adalah dari segi jumlahnya sahaja. Kalau dahulu duit syiling sudah mencukupi, sekarang ini pemberian duit syiling telah dilupakan. Jumlah pemberian juga bergantung kepada taraf hidup dan pendapatan sesaorang. Setiap pemberian ini telah dirancang lebih awal. Sekarang ini pemberian duit raya memerlukan sampul duit mengikut cara orang Cina menggunakan sampul merah atau 'ang pow'. Untuk sambutan hari raya sampul duit boleh berbagai warna. Sekarang ini bank juga menyediakan sampul duit untuk hari raya dan menyediakan wang kertas baru untuk pemberian hari raya. Anak-anak kecil telah mula berkira-kira berapakah jumlah yang dapat mereka kumpul apabila hari raya. Ada yang datang kerumah terutama anak-anak kecil hanya mahu mengutip duit raya. Kalau disuruh makan atau minum, mereka agak liat dan menunggu pemberian duit raya sahaja.

Pemberian duit raya sekarang ini amat penting dan setiap yang berjaya sudah tentu akan memberi sejumlah duit raya yang banyak dan ini sangat ditunggu-tunggu oleh sanak saudara terdekat. Kadang-kadang jumlah pemberian bukanlah sesuatu yang penting tetapi ingatan dengan pemberian itu sangat penting. Banyak yang mengatakan tidak guna bekerja kuat sepanjang tahun jika tidak dapat memberi dihari raya. Kalau dulu pemberian duit raya tidaklah sangat penting tetapi sekarang ini pemberian duit raya seolah-olah satu kemestian. Ini juga kerana ekonomi negara sangat baik dan membolehkan banyak dari rakyat negara ini mampu untuk berbuat demikan.

Berkunjung kerumah saudara mara dan sahabat handai adalah sesuatu yang penting di hari raya. Kerap kali kunjungan ini dipanggil berjalan raya atau beraya atau berhari raya. Kunjungan kerap dilakukan kepada sanak saudara terdekat dan saudara yang lebih tua pada awal pagi syawal. Sudah menjadi trend di Melaka mengunjungi sanak saudara terdekat yang lebih tua dibuat seawal subuh di pagi syawal sebelum pergi sembahyang hari raya. Kadang-kadang agak pelik, trend ini hanya dilakukan oleh orang Melaka sahaja. Kepada mereka kunjung mengunjung diawal pagi ini amat penting untuk menunjukan pentingnya saudara mara dan penghormatan kepada mereka yang lebih tua. Kepada mereka yang muda selalunya bermaaf-maafan akan bermula seawal jam 7 pagi dan sebaik-baiknya sebelum sembahyang sunat aidil fitri. Kunjung mengunjung rumah saudara dan jiran terdekat juga bermula awal pagi. Ramai yang tidak menjamu selera ketika ini.  Keadaan kerap tergesa-gesa kerana setiap rumah saudara mara terdekat perlu dikunjungi dalam tempoh yang singkat. Inilah amalan kampung yang sangat dibanggakan dan sangat ditunggu-tunggu.

Tradisi berjalan dan kunjung mengunjung ini akan diteruskan lagi sepanjang syawal. Kalau dulu pergi sahaja rumah kawan-kawan dan kenalan tidak kira waktu. Sekarang ini trend rumah terbuka sudah menjadi kebiasaan. Kalau dahulu mereka yang berada dan sibuk sahaja mengadakan rumah terbuka. Ini adalah untuk memastikan makanan telah disediakan dan tuan rumah dapat berada dirumah ketika itu. Untuk orang besar-besar Negeri Melaka, jadual rumah terbuka telah diatur lebih awal terutama ahli politik atau wakil rakyat. Ini adalah waktu yang diluangkan oleh wakil rakyat untuk bersama rakyat walaupun rumah mereka terbuka sepanjang tahun. Kelihatan rakyat akan datang berduyun-duyun untuk berjumpa pemimpin kesayangan mereka. Pada masa itu rakyat akan menikmati berbagai juadah yang disediakan disamping anak-anak akan diberi duit raya. Selalunya rumah terbuka ini tidak kira siang atau malam. Kadang-kadang sampai 5 buah rumah terbuka akan dilawati oleh rakyat. Apa yang jelas semangat kunjung mengunjung dan berjalan raya sangat penting dalam sambutan hari raya.

Balik kampung adalah istilah yang digunakan untuk perjalanan menemui ibubapa atau balik ke kampung asal mereka. Mungkin istilah ini digunakan kerana pada satu ketika orang Melayu tidak ramai tinggal dibandar. Banyak dari mereka yang tinggal dibandar hanya untuk mencari makan dan apabila sesuatu hari perayaan mereka akan balik ke kampung. Sekarang ini telah ramai orang Melayu yang duduk dibandar. Ramai yang tidak berkampung lagi kerana datuk nenek, ibu bapa telah membeli rumah dibandar. Istilah balik kampung kadang-kadang tidak berapa sesuai pada setengah orang tetapi kerana terlalu ramai rakyat Malaysia berasal dari kampung, istilah balik kampung masih digunakan sehingga sekarang. Mungkin pada satu masa nanti ini akan menjadi istilah sahaja kerana semua orang telah duduk dibandar..

Apabila berkata balik kampung, sudah tentu melibatkan perjalanan jauh atau dekat. Sudah tentu perjalanan akan melibatkan penggunaan jalan raya atau lebuh raya. Lebuh raya adalah istilah untuk jalan raya yang besar. Istilah lebuh raya semakin dikenali apabila negara menyediakan lebuh raya bertol Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Perjalanan sudah menjadi sesuatu yang sangat mudah. Ketika ketiadaan lebuh raya perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar mengambil masa 12 jam jika menggunakan bas tetapi sekarang ini 50% masa perjalanan telah dapat dikurangkan dan pada masa yang sama penggunaan lebuh raya telah mendapat perjalanan yang selesa dan kemalangan maut juga telah jauh berkurang dari jalan raya biasa..

Kemalangan adalah sesuatu yang menakutkan tidak kira serius atau tidak serius. Kemalangan maut adalah sesuatu yang amat menakutkan. Malangnya kadar kemalangan akan meningkat setiap kali menjelang hari perayaan. Ini mungkin disebabkan terlalu ramai manusia yang berada di jalan raya. Kemalangan amat tinggi melibatkan motosikal dan kereta di jalan raya persekutuan. Mungkin di lebuh raya jumlah kemalangan telah dapat dikurang. Semua pihak amat menyedari kejadian kemalangan ini dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia akan meletakan sebanyak mana ambulan sepanjang lebuh raya untuk membantu mangsa kemalangan secepat mungkin. Tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Kepada pihak Polis pula bermacam-macam kempen dibuat. Pihak Polis amat perihatin dan akan cuba sedaya upaya untuk mengurangkan atau mengelakan kejadian kemalangan. Pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya pula tidak pernah mengurangkan kempen mereka sepanjang tahun Tahun ini anjuran Proton Edar Sdn. Bhd dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Melaka menganjurkan 'PROTON Safety & Hospitality Marquee'  dari 22-25 Ogos 2011 di R&R Ayer Keroh dengan menawarkan pemeriksaan percuma keselamatan, pemasangan percuma tali pinggang keledar ketiga, pembaikan kecil, kempen kesedaran alat ganti. Ini adalah untuk mempastikan keselamatan kenderaan sentiasa dalam keadaaan baik bagi perjalanan untuk balik berhari raya. Semuanya kelihatan serius untuk merealisisikan tidak kemalangan berlaku semasa balik ke kampung halaman. Semuanya penting apabila sampai hari perayaan kuih raya, duit raya, beraya dan lebuh raya termasuk jalan raya. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...