nuffnang ads

Wednesday 17 October 2012

DARI KG.GELAM MELAKA KE JALAN CHERAS KUALA LUMPUR.



Belajar di sekolah kampong bukanlah sesuatu yang mudah. Ini mungkin tidak disedari semasa kita bersekolah dahulu. Ini hanya disedari apabila kita melihat anak-anak bersekolah dibandar dan anak-anak semakin membesar. Semasa kecil setiap hari perlu memulakan perjalanan seawal jam 6 pagi untuk menuju kesekolah. Ini bermakna kena bangun seawal 5.00 pagi dan paling lewat jam 5.30 pagi setiap hari bersekolah. Sekarang bangun tidur sahaja bilek mandi hanya beberapa langkah dari katil. Kesejukan pagi dan air perigi yang sangat dingin terpaksa juga mandi dengan berbekalkan kain batik basahan. Paling dekat perigi berada 100 meter dari rumah dengan suasana kampong yang sangat gelap. Ini terpaksa dilakukan setiap hari 5 kali seminggu. Walaupun begitu tidaklah menimbulkan banyak masaalah, banyakkawan-kawan satu kampong terpaksa menjalani kehidupan yang sama. Taraf hidup hampir sama, kemudahan hampir sama dan infrastruktur yang disediakan sangat asas (kemudahan elektrik dan air tidak ada ketika itu)

Sampai diperigi, tidak boleh terus mandi, kerap kali ada yang sudah sampai terlebih dahulu. Sistem giliran terpaksa diikuti kerana timba selalunya ada satu sahaja. Kadang-kadang timba yang dibuat dari tin ”terbuang” selalunya bocor. Apabila air yang diceduk penuh semasa didalam perigi tetapi apabila ditarik sampai keatas separuh sahaja yang sampai. Itulah kehidupan harian. Kalau ada yang hendak buang air terpaksa melaksankannya ditepi semak. Ramai yang tertidur dikeliling perigi sementara menunggu giliran untuk mandi. Selalunya tidur diatas pasir dengan beralaskan kain batik basahan atau kain pelikat yang digunakan untuk dijadikan selimut sementara sampai ke perigi atau telaga.Ramai juga yang berkongi mandi kalau sudah terlewat.Selalunya orang dewasa tidak keluar mandi seawal ini. Mereka mengangkat air sembahyang dan terus balik kerumah. Mereka tidak pergi ketelaga kerana air untuk minuman dan untuk mengangkat air sembahyang selalunya telah disimpan didalam tempayan didapor. Air ini telah diangkat pada waktu petang atau waktu terluang untuk tujuan tertentu sahaja.

Sarapan pagi adalah satu kemestian yang disediakan oleh emak atau abah dirumah. Mungkin kerana ramai yang tidak ’beruang’ untuk dibekalkan kepada anak-anak. Mereka terpaksa menyediakan makanan dirumah supaya anak-anak tidak kelaparan semasa disekolah. Kerap kali nasi goreng, kueh kodok (jemput-jemput)dan lempeng menjadi makanan harian. Kerap kali juga disediakan bekalan untuk dimakan diwaktu rehat semasa disekolah. Amat jarang dapat duit sekolah kerana alasannya bekal sudah disediakan mengapa perlu berbelanja disekolah lagi?. Kerap kali makanan atau bekalan akan dimakan didalam kelas tidak sempat menunggu waktu rehat. Itu sebabnya banyak yang kena denda kerana makan didalam kelas. Pada waktu itu makan didalam kelas adalah satu kesalahan yang sangat besar. Ada yang kena berdiri diatas bangku beberapa jam hanya kerana makan sebiji kueh kodok. Entah mengapa makan dalam kelas satu kesalahan yang sangat besar?. Emak dan Abah pun tidak tahu peragai anak-anak disekolah macam itu. Berita ini tidak tersebar hingga ke kampong.

Perjalanan dari Pantai Kundur ke Sek. Keb. Kg Gelam sejauh 6 km bukanlah perjalanan yang menyeronokan. Laluan terpaksa merempoh kampong tradisi samaada dihadapan atau dibelakang rumah penduduk kampong, terpaksa merentas sawah padi sejauh 1 km, merentasi kebun getah sejauh 1 km dan melalui rumah orang kampong lagi sejauh 1 km sebelum sampai kesekolah. Semua murid-murid sekolah dari Kampong Pantai Kundur berjalan kaki kesekolah. Menurut emak dan abah mereka juga terpaksa melalui laluan ini semasa bersekolah. Pada masa itu tidak mampu membeli basikal dan menaiki bas jauh sekali. Ada perkhidmatan bas tetapi terpaksa menaiki 2 laluan. Laluan pertama dari Pantai Kundur ke Pekan Tg. Keling dan terpaksa menunggu bas dari Tg. Keling ke Kg. Gelam. Menunggu bas di Pekan Tg. Keling tidaklah sukar sangat kerana banyak perkhidmatan bas dari Bandar Melaka ke Sg. Udang, Masjid Tanah, Kuala Sg. Baru dan Pengkalan Kempas akan melalui dihadapan Sekolah Kebangsaan Kg. Gelam tetapi perkhidmatan bas no 51 dari Pantai Kundur ke Tg. Keling hanya 1 jam sekali dan kadang-kadang 2 jam sekali. Ini bermakna menaiki bas akan lebih sukar dari berjalan kali. Penduduk Pantai Kindur lebih suka berjalan kaki kesekolah dan ini telah dilakukan sejak beberapa generasi. Alah bisa tegal biasa.

Selalunya semasa keluar dari rumah keadaan agak gelap. Keadaan semakin cerah semasa dalam perjalanan. Selalunya apabila sampai di Bukit Darat keadaan sudah cerah dan suasana kampong sudah semakin sibok. Pemandangan sangat cantik. Ini hanya disedari setelah dewasa. Selalunya perjalanan semasa musim buah-buahan amat mengembirakan. Kerap kali buah-buah dipokok yang rendang akan dipetik dan makan ketika berjalan. Kalau ada rambutan yang rendang selalunya menjadi mangsa. Tuan punya pokok selalunya tidak ambil endah tetapi ada juga yang sangat cerewet. Pernah satu ketika dituduh mencuri jambu air semasa balik dari sekolah. Walaupun ini tidak dilakukan.Tuan punya pokok terus mengadu kepada abah, apa lagi sampai sahaja kerumah belum sampai kerumah penampar telah sampai kemuka. Perut lapar setelah berjalan sejauh 6 km dan hadiahnya penampar kerana dituduh mengambilsebiji jambu air yang tidak bernilai ketika ini. Itulah kehidupan dikampong sebiji jambu air sangat besar nilainya walaupun tumbuh ditepi jalan.

Hari hujan adalah perharian yang sangat menyeksakan. Ramai yang tidak kesekolah. Perjalanan sangat lecak terutama merentasi sawah padi dan ladang getah. Guru pun kelihatan tidak sangat bertimbang rasa. Kalau kasut kotor adalah kesalahan yang sangat besar juga. Kerap kali akan ditampar atau dirotan walaupun alasan hujan. Apabila hujan kasut terpaksa disimpan didalam plastik dan disimpan dalam beg yang juga berbalut plastik. Tiada pilihan lain kerana kasut hanya ada 1 pasang sahaja sepanjang persekolah atau sepanjang tahun. Apabila hari hujan terpaksalah berkaki ayam sejauh 6 km. Payong juga tidak mampu dibeli oleh keluarga hanya plastik besar yang ditebuk untuk dimasukan kepala. Ada juga yang mempunyai baju hujan murahan sahaja. Adalah lebih baik jika tidak kesekolah dari hadir kesekolah. Guru-guru kerap kali melihat kotoran pada pakaian juga satu kesalahan besar walaupun alasan hujan tetapi jarang diterima. Bermacam-macam alasan diberikan apabila hujan. Inilah cara hidup kampong. Kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Sekolah Kebangsaan Kg. Gelam mempunyai murid yang ramai dan guru juga sangat ramai. Setiap kelas mempunyai 50 orang murid. Guru-guru sangat dedikasi dan sangat bermotivasi untuk mengajar. Hanya beberapa guru sahaja yang mampu berkereta ketika itu. Seorang darinya guru berbangsa Cina yang mempunyai perniagaan station minyak di Pekan Tg. Keling. Guru ini mengajar Bahasa Inggeris dan menjalankan juga perniagaan kecil-kecilan disekolah. Cikgu ini menjual pensel, rubber dan pengasah pensil. Kadang-kadang ada juga guru ini menjual susu tin juga. Guru ini sangat rajin dan mengajar Bahasa Inggeris dengan serius. Ramai yang tidak suka guru ini mengajar kerana Bahasa Inggeris bukan sesuatu yang digemari. Walaupun begitu, daripada cikgu ini, ramai yang pandai berbahasa Inggeris sehingga sekarang. Cikgu ini masih lagi menjalankan perniagaan station minyak tetapi telah berjaya membesarkan perniagaannya dari Pekan Tg. Keling yang hanya dibawah pokok ke Pekan Klebang yang sangat sibok sekarang ini. Guru ini sangat rajin dan tidak aktif lagi sekarang ini kerana sudah agak berumur.

Kemudahan di Sek. Keb. Kg. Gelam sangat terhad. Buku teks hanya dipunyai oleh guru-guru sahaja. Setiap murid hanya memiliki buku tulis sahaja. Masih lagi ingat, emak dan abah tidak pernah hantar kesekolah walaupun pada hari pertama bersekolah. Hari pertama hanya di suruh mengikut saudara mara yang sudah bersekolah sebelum ini. Emak dan abah hanya mengirim duit buku tulis kepada mereka. Itu pun duit itu diserahkan semasa dalam perjalanan untuk diserahkan sendiri kepada guru kelas. Sepanjang bersekolah selama 6 tahun tidak pernah melihat buku teks. Semua pembelajaran hanya dipapan hitam sahaja. Guru-guru menggunakan berbagai-bagai kreativiti. Banyak yang memotong manila kad dan dilukis berbagai-bagai gambar untuk diajar kepada anak-anak murid. Keseluruhan semua guru sangat kreatif. Sek. Keb. Kg. Gelam mempunyai bilek yang dipanggil bilik Ilmu Kejadian. Semua binatang kecil dan serangga yang berada dikawasan sekolah termasuk ular dan katak akan ditangkap dan akan diberi suntikan oleh guru sains dan akan dimasukan kedalam botol dengan cecair yang tidak pernah diketahui untuk dijadikan bahan pengajaran. Bilik Ilmu Kejadian telah menjadi pusat sumber Sek. Keb. Kg. Gelam. Mungkin lebih hebat dari pusat sumber sekarang ini. Semuanya usaha dari guru sendiri. Siri lawatan kebilek ini akan diatur. Murid-murid sangat gembira apabila berada dapat melawat bilek Ilmu Kejadaian. Macam melawat Pusat Sains Negara pada anak-anak sekarang ini.

Keadaan yang serba kekurangan jarang disedari, apa yang diajar itulah yang difahami. Tidak ada lawatan, tidak ada alat audio video, tidak ada motivasi, tidak ada komputer, tidak ada internet, tidak ada khemah Ibadat dan tidak ada yang istimewa. Perjalanan hidup hanya bergantung kepada kreativiti guru sahaja. Peperiksaan setiap penggal terpaksa diikuti. Setiap tahun ada 3 penggal. Setiap penggal ada majlis penyampaian hadiah kepada mereka yang mendapat no 1 hingga no 3 sahaja. Tidak ada murid terbaik mata pelajaran atau lain-lain aktiviti ko-kurikulum. Hadiah setiap tahun adalah kain buat baju sekolah putih atau biru dan kasut sekolah sahaja untuk kegunaan kesekolah pada awal tahun. Pada masa itu emak dan sangat gembira apabila bawa balik kain putih atau kasut Badminton Master. Ini bermakna pada awal tahun tidak perlu lagi pening kepala untuk mencari wang untuk membeli kasut dan membuat uniform sekolah. Ini sangat menjimatkan.

Setiap kali peperiksaan penggal pasti akan dapat hadiah. Sepanjang bersekolah hanya sekali sahaja mendapat keputusan peperiksaan  no 2. Semua peperiksaan yang lain pasti dapat no 1 sahaja. Keputusan sangat baik dan menjadi ketua kelas dari darjah 1 sampai darjah 6. Ketika darjah 6 telah dipilih menjadi Ketua Pengawas Sekolah dimana setiap hari Isnin akan membaca ikrar yang akan diikuti oleh semua murid-murid yang lain di padang sekolah. Ketika itu Ikrar Rukun Negara wajib dibaca oleh setiap sekolah kerana peristiwa 13 Mei baru sahaja berlaku. Banyak aktiviti kearah perpaduan terpaksa dibuat. Amat membanggakan berdiri dihadapan ratusan pelajar sekolah dari darjah 1 sampai darjah 6. Menjadi Ketua Pengawas, tidak ada talileher, tidak ada pakaian yang khas, tidak ada majlis pengistiharan pengawas, tidak ada kesemuanya. Apa yang ada hanya Guru Besar berpesan kepada Guru Kelas sesiapa yang akan menjadi Ketua Pengawas. Tidak ada dendangan, tidak ada lencana khas hanya lantikan mulut. Itu pun sudah sangat berbangga.

Liku-liku hidup dari kampong yang serba kekurangan, tidak ada buku teks sepanjang 6 tahun belajar, tidak ada peralatan pengajaran yang canggih, sekolah yang hidup atas inisiatif dan kreativiti guru-guru sahaja, pembelajaran banyak menggunakan alam sekeliling sebagai bahan pengajaran. Tiada siapayang berpesan supaya makan makanan yang berzat untuk berjaya dalam pelajaran. Ini semua terpaksa dilalui oleh pelajar kampong pada satu ketika dahulu. Tidak ada yang mustahil dalam dunia ini kalau setiap dari kita belajar bersungguh-sungguh. Tidak perlu disebut kekurangan. Hanya yang disebut dan digunakan apa sahaja yang ada. Semua dari kita guna kreativiti dan kreatif sepanjang masa. Guru-guru dan murid-murid perlu kreatif dan setiap dari kita perlu menghargai kreativiti. Setiap dari kita pasti berjaya.Pada tahun 1974 berjaya menyambung pelajaran di Sekolah Alam Shah Kuala Lumpur di Jalan Cheras, sebuah sekolah berasrama penuh yang sangat berprestej ketika itu. Terima kasih kerajaan Malaysia, budi kerajaan terlalu besar untuk dibalas dan akan terus menyayangi negara ini. Kawan-kawan mari terus menyayangi negara ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...