nuffnang ads

Thursday 25 October 2012

MERDEKA YANG TIDAK MERDEKA.



Merdeka bermakna bebas, iaitu dalam konsep bernegara adalah bebas dari penjajahan, kurungan atau naungan. Merdeka juga membawa makna lepas daripada tebusan atau tuntutan, berdiri sendiri, tidak bergantung kepada yang lain. Bebas sama sekali boleh melakukan sesuatu sekehendak hati dan tidak terikat pada mana-mana pihak. Kemerdekaan perihal merdeka (bebas) dan kebebasan dan pemerdeka adalah orang yang membebaskan daripada penjajajahan atau membebaskan dari kurungan. Setiap 31 Ogos sepanjang 54 tahun selepas tahun 1957, sudah tentu tarikh ini diraikan dengan meriah. Ini adalah kerana tarikh ini
negara kita bebas membuat apa yang kita suka untuk rakyat negara ini. Tugas menyumbang kepada rakyat adalah janji pemimpin kita semasa inginkan kemerdekaan. Itu sebabnya pemimpin kita berkerja kuat untuk negara tidak mengira siang atau malam dan tidak kira hari raya atau tidak. Tidak ada satu hari pun pemimpin negara ini melupakan untuk menyumbang kepada negara supaya rakyat dapat hidup senang dan negara ini terus maju.

Malaysia berada di ambang negara maju setelah 54 tahun merdeka dan Melaka telah maju pada tahun 2010. Setiap hari lagu Melaka Maju berkumandang dan setiap kali ucapan rasmi atau tidak rasmi perlu diberi salam Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau. Pada awal kemerdekaan kerajaan hanya memikirkan bagaimana untuk memberi rakyat pekerjaan dan membolehkan rakyat makan sahaja. Ini bermakna kerajaan tidak mahu rakyat negara ini lapar. Kerajaan percaya jika rakyat lapar mereka akan berkelakuan ganas. Ini dapat dilihat dibeberapa negara lain yang rakyatnya menganas apabila tidak cukup makan walaupun telah berada di sebuah negara maju.Pada masa yang sama kita dapat melihat ada negara yang tidak cukup makan dan berlaku kelaparan. Ini juga memberi masaalah kepada negara. Apa yang penting rakyat perlu cukup makan.

Tahun ini kemerdekaan negara disambut dengan thema 'Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera'. Ini menunjukan kerajaan ingin memberikan komitmen yang jitu untuk memajukan negara dengan trasformasi yang menyeluruh. Ini dilakukan untuk membolehkan rakyat hidup dalam kesenangan sesuai dengan perkembangan teknologi diseluruh dunia. Kerajaan mahukan rakyat memperolehi pendapatan tinggi pada tahun 2020 untuk membolehkan negara ini setanding dengan negara yang maju diseluruh dunia. Ini hanya akan dapat dilakukan jika rakyat memberi sokongan kepada dasar kerajaan yang telah digariskan. Salah satu dari dasar yang baik ialah menjadikan negara ini negara pengeluar teknologi bukan lagi negara hanya pengguna teknologi. Ini dapat dilakukan jika rakyat ingin menerima inovasi adalah salah satu dari sumber baru ekonomi. Inovasi seharusnya dapat mewujukan usahawan dan seterusnya produk boleh dijual ke seluruh dunia. Semua rakyat perlu menerima dasar kerajaan dengan hati terbuka dan juga memudahkan segala urusan kerajaan supaya kerja menjadi teratur dan segala perusuk negara mendapat nikmat.

Malang sungguh, ketika negara sedang diambang negara maju dengan dasar yang terbaik dipuji oleh pemimpin dari seluruh dunia. Rakyat negara kita pula ada yang membuat hal dan mempertikaikan semua kejayaan yang telah dicapai oleh pemimpin dan rakyat yang setia kepada negara.. Mereka ini perosak negara untuk memusnahkan apa yang rakyat miliki. Mereka bukan tidak tahu negara kita melaksanakan ekonomi bebas yang mana siapa yang rajin dan bekerja kuat akan berjaya. Pada masa yang sama negara kita juga bergantung kepada negara lain diseluruh dunia. Negara kita juga mengharapkan pelabor dari luar negara untuk melobor dalam apa saha perusahaan supaya ekonomi meningkat dan pada masa yang sama rakyat negara ini dapat belajar dari teknologi yang dimiliki oleh pelabor asing. Semua kenyataan yang negatif berkenaan negara akan membawa pelabor tawar hati dan tidak yakin dengan kemampuan kepimpinan negara. Ini akan memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Sejak akhir-akhir ini, semua kerajaan buat semuanya salah belaka kepada mereka yang mahukan tampok pemerintahan negara berpindah ketangan mereka. Apa sahaja yang negara kita miliki termasuk sejarah negara telah diperlekehkan. Ini jarang berlaku di negara asing. Selalunya hero negara adalah milik negara dan menjadi sejarah bersama. Malangnya ini tidak berlaku di negara kita. Sejarah negara dipermainkan dan mereka pula mencipta sejarah dari kaca mata mereka sendiri.. Mereka pula yang menetapkan hero mereka sendiri dan pada masa yang sama mempertikaikan orang yang telah berbakti kepada negara. Amat malang sekali, mereka ini mempunyai pengikut dan ada orang yang mempercayainya. Mungkin mereka ini mereka yang dikatakan orang buta sejarah seperti yang diperkatakan olih pakar sejarah kita yang terkemuka. Mereka ini orang yang sedap mulut sahaja. Memikirkan sejarah dari kaca mata sendiri dan sesuka hati ingin mencipta sejarah. Amat malang negara yang telah merdeka selama 54 tahun tetapi masih lagi mempunyai rakyat sebegini.

Kemajuan negara telah terbukti. Perpatah kita mengatakan dimana ada semut disitu ada gula. Dimana sahaja negara yang maju sudah tentu ramai pekerja asing yang datang untuk menumpang tuah. Negara kita tidak terkecuali. Seramai 3 juta pekerja asing yang datang untuk mencari sesuap nasi. Rakyat negara ini hanya memilih pekerjaan yang sesuai dan berteknologi. Untuk kerja berat yang memerlukan tulang empat kerat diserahkan kepada pekerja asing. Pekerja asing bukan sahaja berada dibandar tetapi pekerja asing juga terdapat diluar bandar dan dikampong yang tersorok. Pekerja asing ini datang setiap hari dan ramai lagi yang bercita-cita untuk datang kenegara ini untuk mencari makan. Negara kita telah menyumbang sebahagian kek ekonomi kita kepada negara jiran. Malaysia sudah terkenal dan dapat membantu negara jiran tetangga. Ini merupakan satu kebanggaan.

Kedatangan buruh asing telah memeriahkan aktiviti kehidupan di negeri Melaka. Senang sahaja kalau ingin memikirkan, kalaulah sesuatu negeri telah mula mengambil pekerja asing sudah tentu tenaga kerja didalam negara tersebut tidak mencukupi. Ini bermakna aktiviti ekonomi dalam sesuatu negeri tidak akan dapat berjalan sepenuhnya jika kekurangan tenaga pekerja, jalan penyelesaian dengan mengambil pekerja dari negeri jiran. Pengambilan pekerja asing ini bukan sahaja untuk negeri Melaka tetapi untuk semua negara diseluruh Malaysia. Ini sekali lagi menunjukan negara ini telah berada diambang negara maju seperti mana yang dicita-citakan oleh seluruh rakyat negara ini.

Masih ramai lagi yang tidak berpuas hati setelah menempa banyak kejayaan di negara ini. Ramai yang telah mendapat pendidikan yang baik yang tidak mahu lagi mengaku negara ini adalah sebuah negara yang terbaik. Ada yang mengatakan kalau mereka duduk di negeri lain juga mereka akan dapat pendidikan begini. Ini adalah kata-kata orang yang tidak pandai berterima kasih atau bersyukur. Banyak lagi negeri lain rakyatnya tidak dapat seperti mereka yang berada di Malaysia. Negara yang mempunyai perancangan rapi dari sebuah negara pertanian pada awal kemerdekaan dan sekarang telah menjadi negara perindustrian yang mampu mengeksport produk keluar negara adalah satu pencapaian yang membanggakan. Ada beberapa negara didalam dunia yang mencapai kemerdekaan lebih kurang sama seperti negara kita, tetapi masih lagi terkial-kial untuk keluar dari belenggu kemiskinan. Masih lagi ada negara yang tidak habis-habis dilanda krisis kepimpinan yang tidak menguntungkan rakyat.

Awal kemerdekaan rakyat diminta membuat berbagai jenis kerja dengan bercucuk tanam atau melakukan apa sahaja pekerjaan yang membolehkan makanan tersedia apabila balik dari berkerja. Kerajaan juga membuka apa sahaja industri dan kilang untuk membolehkan rakyat makan. Pada satu masa dahulu setiap  wanita yang bekerja di kilang di panggil 'minah kilang' atau 'minah karan'. Ketika itu bekerja dikilang amat popular. Hasil dari dasar kerajaan yang ingin menyediakan apa sahaja pekerjaan kepada rakyat telah membolehkan rakyat makan dengan cukupnya. Pada masa yang sama kerajaan menyediakan infrastruktur yang lengkap dan kemudahan pendidikan yang sempurna untuk rakyat jelata. Kerajaan juga percaya hanya dengan menyediakan kemudahan pendidikan kepada rakyat, taraf hidup mereka akan berubah. Semua yang kerajaan lakukan ketika itu telah mendatangkan hasil yang baik. Pada masa yang sama kerajaan juga percaya untuk maju, tidak boleh 100% bergantung kepada bidang pertanian. Kerajaan perlu mencuba bidang industri yang baru dan seterusnya mengutamakan perpindahan teknologi. Rakyat perlu disediakan berbagai kemahiran untuk hidup. Bukan semua perlu menjadi profesional, bidang kemahiran juga telah dititik beratkan. Berbagai institusi kemahiran telah ditubuhkan. Rakyat perlu menjadi pandai dan bijak. Itu keutamaan yang kerajaan tumpukan untuk menjadi negara maju.

Apa sahaja keperluan yang diperlukan oleh sesaorang warganegara telah disediakan oleh negara kecuali mereka yang tidak mengambil tahu. Untuk memudahkan pemahaman, kerap kali perbandingan pencapaian dibuat supaya mudah untuk melihat apa yang telah dicapai oleh orang lain dan apa yang telah dapat kita capai.  Untuk pemerhatian yang lebih mudah, lihat sahaja sistem persekolahan negara, semuanya baik dan dilaporkan hampir 100% anak-anak kecil mendapat pembelajaran yang sempurna malahan sekarang ini kemudahan pra-sekolah juga telah disediakan di sekolah harian. Universiti awam milik kerajaan di negara ini sebanyak 22 buah. Ini tidak lagi memerlukan anak-anak belajar keluar negara lagi kecuali kursus kritikal. Walau bagaiman pun kepada mereka yang berkemampuan, tiada halangan untuk anak-anak belajar ke tempat mana yang mereka suka. Kemudahan jalan raya sangat baik. Membuat perjalanan adalah telah menjadi kegilaan rakyat Malaysia. Perjalalanan  dari utara ke selatan dan  dari barat ke timor sangat selesa. Lihatlah setiap hujung minggu. Jalan raya di negara ini seolah-olah tidak mencukupi. Kalau dahulu membayar lesen radio dan tv sebanyak RM 24 setahun telah menimbulkan rungutan tetapi sekarang mereka sanggup membayar melebihi RM 100 untuk berbagai saluran tv komersil setiap bulan. Dahulu banyak dari kita menggunakan kemudahan talipon awam, lepas itu berubah dengan pemasangan talipon dirumah. Satu ketika dahulu kalau rumah yang mempunyai talipon dirumah dikatakan orang kaya tetapi sekarang semuanya telah mampu menggunakan talipon tangan. Malahan ramai yang mempunyai talipon tangan lebih dari satu. Sampah di negara ini 40% adalah sisa makanan yang boleh dimakan. Pada hari raya yang lepas pekan-pekan kecil telah 'jammed' kerana banyak anak-anak kampong yang telah berjaya dalam karier masing-masing. Balik ke kampong bergaya dengan kereta. Kereta bukan barangan mewah tetapi satu barangan keperluan. Melancong keluar negara bukan lagi sesuatu yang janggal. Banyak yang mampu membawa keluarga melancong dan membeli belah diluar negara. Ini tidak pernah dimimpikan pada awal kemerdekaan. Talian internet dan mempunyai akaun Face Book adalah perkara biasa setiap keluarga, Anak-anak muda bergaya kemana-mana dengan membawa note-book dan blackberry. Makan direstoran berjenama di Kentucky Fried Chicken. Pizza Hut, Mc Donold dan minum kopi di Old Town, Star Buck, Boston dan lepak di restoran hotel 5 bintang juga sudah biasa. Anak-anak sekolah telah mengadakan jamuan perpisahan di hotel 5 bintang. Inilah nikmat kemerdekaan tetapi malangnya ramai yang telah mendiami negara yang 54 tahun telah merdeka tetapi mereka tidak juga merdeka dari ketidakpuasan hati yang tidak berkesudahan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...