nuffnang ads

Tuesday 23 October 2012

MELAKA ......BEST.......TERBAIK



Kalau dahulu orang datang Melaka tidak tahu apa yang ingin dicari. Paling-paling datang Melaka pergi melawat Zoo Melaka dan mengunjungi A Farmosa di Banda Hilir peninggalan Portugis, mendaki Bukit St. John dan Bukit St. Paul. Usikan selalu kedengaran yang Melaka tidak ada apa yang boleh dibanggakan lagi. Banyak yang berkata bukit telah diberi pada Cina, tanjong telah diberi kepada Keling dan kampong telah diberi pada Jawa. Hanya yang tinggal Batang Melaka dan buah Melaka sahaja. Gurauan itu sudah tidak didengari lagi sekarang.  Sekarang ini slogan yang kerap diperkatakan Melawat Melaka Bermakna Melawat Malaysia. Ini bermakna jika melawat Melaka tidak perlu pergi ketempat lain lagi. Semuanya telah ada di Melaka. Itulah Melaka pada tahun 2011 setelah disitiharkan negeri maju pada tahun 2010. Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau pula menjadi sebutan setiap pemimpin apabila bertemu rakyat. Melaka Negeri Bersih Lagi Indah juga adalah panggilan mesra untuk Melaka. Apabila memasuki negeri Melaka melalui Tol Ayer Keroh terasa seperti memasuki sebuah negeri yang agak asing dengan kebersihan dan pokok-pokok bunga yang mengucapkan selamat datang.

Sebenarnya negeri Melaka tidak pernah tidor. Pemimpin Melaka juga tidak pernah tidor untuk memajukan negeri Hang Tuah ini. Kalau dahulu ada majlis daerah luar bandar tetapi sekarang semuanya sudah menjadi majlis perbandaran. Majlis yang terakhir sekali adalah Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengambil nama sempena pahlawan Melaka yang tersohor. Ada ura-ura untuk menubuhkan satu lagi majlis perbandaran tidak lama lagi. Sama-samalah kita tunggu kelahiranya. Ini adalah untuk merealisasikan Melaka Negeri Bandar. Adalah menjadi cita-cita kerajaan untuk membawa semua kemudahan yang ada di bandar ke luar bandar supaya semua kawasan luar bandar mendapat kemudahan bandar. Ini dapat dilihat dengan komitmen kerajaan memajukan semua pekan-pekan kecil diseluruh Melaka. Membangunkan semua pekan kecil akan memberi impak yang baik untuk negeri. Sudah tentu ini akan meningkatkan pendapatan rakyat dan ekonomi penduduk Melaka.  Setiap rakyat Melaka akan merasai nikmat bandar dengan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia.

Meningkatkan ekonomi sesuatu negeri untuk rakyat adalah sesuatu yang perlu difikirkan dan bukan datang bergolek. Kemajuan adalah sesuatu yang perlu dirancang dan direalisasikan. Kemajuan bukan menunggu orang lain yang buat, setiap rakyat perlu menyumbang  buah fikiran dari berbagai-bagai sumber. Kalau dahulu kerajaan merancang menjadikan ekonomi berasaskan pengetahuan. Sekarang perkata tersebut telah direalisikan dan difahami oleh rakyat negeri Melaka. Kerajaan telah membina Inkubator K-Ekonomi yang mana setiap rakyat yang mempunyai pengetahuan boleh menjalankan perniagaan mereka dari sebuah pejabat kecil dengan semua kemudahan berkongsi. Apabila perniagaan sudah berkembang dan usahawan telah mampu untuk mendapatkan premis pejabat yang lebih besar, bolehlah mereka berpindah pejabat. Inkubator K-Ekonomi adalah tempat sementara untuk berkarya dan memulakan perniagaan dengan modal  pegetahuan untuk direalisikan. Sekarang telah ramai menyedari fungsi inkubator K-Ekonomi dan banyak usahawan yang telah mendapat faedahnya.

Satu ketika dahulu ramai yang terkejut negeri Melaka mempunyai inkubator K-Ekonomi. Ramai yang tidak faham kewujudan bangunan tersebut yang pernah menjadi mercu tanda Pusat Pentadbiran Baru Kerajaandi Kawasan MITC, Hang Tuah Jaya. Konsep kawasan Hang Tuah Jaya sama seperti Putrajaya yang mana adalah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Sekarang kawasan MITC telah menjadi buah mulut rakyat negeri Melaka bukan sahaja menjadi pusat pentadbiran tetapi sudah menjadi kawasan membeli belah rakyat negeri Melaka. Kawasan MITC telah mempunyai Mydin Hypermarket, Kota Fesyen, Kota Cemerlang. Planetrium Melaka, Kota Gemilang, Pusat Pameran Dagangan bertaraf antarabangsa, beberapa buah hotel dan juga sebuah hotel bertaraF 5 bintang sedang dalam pembinaan. Ini akan merancakan pertumbuhan ekonomi dan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan telah dapat diwujudkan. Tidak kurang juga Taman Botanikal dan Taman Seribu Bunga untuk rakyat Melaka atau pelancong berehat sambil mempelajari sesuatu dari alam semula jadi. Kawasan ini juga mempunyai Komplek Satu Dun Satu Produk (SDSI) dimana produk seluruh negara dipamer dan dijual. Tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan sesuatu produk daerah. Cukuplah datang ke Melaka, semua produk ini boleh didapati. Melaka dimana semuanya bermula.

Mengunjungi Melaka telah menjadi kegilaan. Ini dapat dilihat setiap hujung minggu atau waktu percutian, kenderaan menjadi sesek disegenap pelusuk negeri Melaka. Banyak orang bersungut katanya Melaka sudah tidak serupa dahulu. Memang benar, banyaknya orang berkunjung atau sesaknya sesuatu kawasan adalah melambangkan kemajuan sesuatu negeri. Kalau ramai datang, banyak yang ingin dilihat dan banyak ragam manusia yang perlu dilayan. Apa yang paling penting banyak kerenah manusia yang perlu dilayan. Banyak yang datang mencari tempat makan yang sedap atau best. Kalau dahulu di Kedah setiap dari kita ingin merasa Laksa Kedah atau Laksa Kuala Kedah atau Laksa Telok Kechai atau Pasembor Kodiang. Kalau makan satey seharusnya Satey Kajang. Melaka pada satu ketika dahulu tiada makanan kebanggaan, tetapi sekarang ini Asam Pedas Melaka telah menjadi popular selain Ikan Bakar dengan nasi lemak bungkus. Setiap yang datang Melaka sudah pasti ingin merasa masakan asam pedas Melaka. Sekarang ini kedai makanan menjual asam pedas sudah berada dimana-mana diseluruh negeri Melaka. Satu lagi produk kreatif makanan yang telah menjadi sebutan di seluruh negara. Ini telah menaikan ekonomi rakyat negeri Melaka yang satu masa dahulu terkenal dengan cencalok dan belacan sahaja. Belacan Tanjong Keling telah menjadi terkenal. Kalau ingin menikmati cencaluk sudah pasti cencalok dari Tanjong Keling. Sampai sekarang kedua-dua produk tersebut masih dicari pelancong di Tanjong Keling. Berkunjung sahaja di Tanjong Keling, belacan dan cencalok dijual sepanjang jalan. Menurut ramai pelancong belacan dan cencalok disini oiginal. Kalau sudah makan belacan Tanjong Keling, sudah pasti tidak akan makan belacan dari tempat lain. Itu kata-kata mereka yang fanatik dengan belacan dan cencalok.

Pemimpin Melaka tidak duduk diam. Pelancong perlu diberi banyak alternatif tempat yang ingin dilawati. Tidak cukup dengan melawat Banda Hilir sahaja. Sungai Melaka yang pernah menjadi sumber ekonomi Melaka tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Sungai Melaka terkenal diseluruh dunia tidak boleh dimatikan. Sungai Melaka adalah denyutan rakyat negeri Melaka perlu dikembalikan zaman kegemilanganya. Kerja ini akan memakan masa tetapi perlu dilakukan. Sekali lagi sesuatu yang lain dari yang lain terwujud di negeri Melaka. Sungai Melaka kembali hidup dengan 'River Cruise of Melaka'. Tarikan seperti 'River Cruise of Paris' telah menjadi daya tarikan utama ke negeri Melaka. Sekarang ini tidak sah kalau ke negeri Melaka jika tidak menyusuri Sungai Melaka yang mengambil masa 45 minit. Sungai Melaka telah menjadi terkenal dalam tempoh yang singkat. Mungkin zaman kegemilangan  Sungai Melaka akan muncul kembali. Sama-sama kita melihat dan sama-sama kita menyumbang. Sungai Melaka telah menjadi percakapan setiap pelancong yang datang ke negeri Melaka. Tidak sah datang ke negeri Melaka jika tidak menyusuri sungai, perbualan mereka yang pernah datang ke negeri Melaka.

Bandaraya Melaka perlu dinikmati dari udara. Barulah dapat diketahui apa sebenarnya yang ada di negeri yang bersejarah ini. Kerajaan dengan cadangan yang sangat baik ditambah pula kombinasi moden dan sejarah telah membina Menara Taming Sari. Ini membolehkan setiap pelawat menikmati kecantikan Bandaraya  Melaka dari ketinggian 110 meter. Sekali lagi produk moden ini mendapat sambutan yang hebat. Setiap hujung minggu deretan pelancong ingin menaiki menara ini. Sangat cantik pemandangan Bandaraya Melaka dari udara. Kita dapat melihat kombinasi pembinaan moden dan lama. Sangat bijak pemikiran pemimpin negeri Melaka. Sudah menjadi usikan pula, kalau di Kuala Lumpur ada Menara Kuala Lumpur di Melaka pula ada Menara Taming Sari. Sangat menarik Menara Taming Sari, rekabentuk menara seperti Keris Taming Sari. Inilah uniknya menara kebanggaan anak negeri Melaka. Melaka memang memerlukan menara sebegini. 

Negeri Melaka sangat bersih termasuk kemudahan tandas yang sangat baik dengan operator tandas yang sentiasa ingin membersihkan tandas. Kemudahan tandas sangat penting kepada pelancong. Kita tidak mahu orang mengata negeri Melaka mempunyai berbagai kemudahan bertaraf dunia tetapi tandas tidak berbela. Strategi kerajaan mengswastakan perkhidmatan tandas sangat baik dan bijak. Kebanyakan tandas di negeri Melaka adalah berbayar. Pengunjung atau pelawat tidak kisah membayar jika tandas dijaga dengan baik dan tidak berbau. Bayar mahal sedikit tidak mengapa tetapi tandas mestilah 'value for money'. Amat jarang kita melihat tandas yang kotor dinegeri Melaka. Ini mungkin rakyat negeri Melaka menyedari, setiap pengunjung ke negeri Melaka sangat memerlukan kemudahan tandas yang baik. Sesuatu yang baik perlu dilakukan untuk menyambut tetamu. Ini memerlukan disiplin yang sangat kuat.

Melaka bukan sahaja negeri bersejarah sahaja tetapi Melaka juga terkenal dengan beberapa kawasan perindustrian yang mengekspot produk keseluruh dunia. Pusat Perdagangan Bebas Tanjong Keling, Batu Berendam, Ayer Keroh, Krubung, Cheng, Tangga Batu dan beberapa lagi adalah nadi ekonomi perindustrian negeri Melaka. Kawasan ini menjadi tumpuan pekerja asing. Sememangnya negeri Melaka amat memerlukan pekerja asing terutama kerja yang memerlukan tulang empat kerat. Kedatangan pekerja asing telah menambah kemeriahan di negeri Melaka. Kalau kita lihat di kawasan Bukit Beruang penuh dengan pelajar antarabangsa dari berbagai-bagai negeri diseluruh dunia. Kalau diwaktu malam kita akan merasakan seolah-olah berada diluar negara kalau singgah dimana-mana restoran di Bukit Beruang.

Melaka telah menjadi sangat maju dari berbagai sudut kehidupan. Anak muda dimana-mana sahaja membimbit lap-top dan blackberry. Tidak ada masalah untuk melayar internet. Banyak restoran atau bangunan kerajaan menyediakan kemudahan WiFi percuma. Restoran segera Mc Donold dan Kentucky Fried Chiken terdapat dimerata-rata tempat termasuk Pekan Sg. Udang, Masjid Tanah, Batang Tiga, Alor Gajah, Cheng dan Jasin. Tidak lama lagi restoran KFC akan dibuka di Kuala Sg. Baru. Kemudahan pandu masuk untuk membeli Mc Donold terdapat dibeberapa tempat dan kemudahan pandu masuk untuk KFC sedang dalam pembinaan. Kemudahan 7 Elevan juga sudah terdapat dimerata tempat termasuk pekan kecil seperti di Durian Tunggal, Bukit Katil dan Batang Tiga. Melaka dimajukan dengan pemikiran bukan sepereti air mengalir di sungai yang singgah tanpa perancangan. Melaka sebuah negeri terbaik lagi best untuk diduduki untuk menghabiskan sisa-sisa hidup dengan penuh kedamaian. Anak-anak kerap berkata Melaka memang terbaik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...