nuffnang ads

Sunday 21 October 2012

KOSONG..KOSONG..KOSONG


Kosong bermakna tidak berisi apa-apa seperti cawan kosong dan tin kosong. Kosong juga bermakna tidak padat, berongga di dalamnya berkenaan batu dan kayu seperti buloh kosong dalamnya. Kosong juga bermakna sifar berkenaan nambor seperti yang selalu diperkatakan “untuk memanggil operator telefon pusinglah nombor kosong”.Kosong juga kata kiasan yang tidak ada yang mendiaminya , mengisinya atau memenuhinya, tidak bertulis apa-apa berkenaan kertas, tidak mengandungi perkataan penting berkenan percakapan atau tulisan. Jawatan kerja kosong ialah jawatan kerja yang tidak dipenuhi atau dijawat lagi. Omong atau cakap kosong ialah percakapan yang bukan-bukan atau tidak ada butiran penting. Kosong juga kiasan tidak dapat merasa sesuatu perasaan seperti keseronokan atau kebahagian.

Kosong melopong ialah kosong sama sekali. Air kosong ialah air minuman sahaja tidak disertai kuih-kuih. Teh kosong ialah teh tidak bergula atau bersusu. Mengosongkan ialah menjadikan kosong, tidak ada yang mendudukinya, memegangnya, mengisinya. Seperti ayat “Malaysia telah dilantik menjadi anggota Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil tempat yang dikosongkan oleh Czechoslovakia.” atau “Puan Curie telah ditawarkan jawatan profesor yang telah dikosongkan oleh suaminya itu”.

Kekosongan ialah perihal kosong, ketiadaan sesuatu apa atau sesuatu yang tertentu, keadaan tidak ada yang menjawatnya atau mengisinya seperti ayat “pengambilan pekerja-pekerja baru untuk memenuhi kekosongan beberapa jawatan” atau “dia terasa kekosongan sekarang di dalam jiwanya kerana kehilangan orang yang sangat dikasihinya”.Pengosongan ialah perihal atau perbuatan mengosongkan.

Sekarang ini banyak sangat orang yang membuat janji-janji kosong dengan harapan akan dipercayai samaada  untuk mencari pengaruh atau mencari sokongan.Inilah yang menjadi masaalah.Kalau dahulu orang bercinta sahaja dituduh memberi janji-janji kosong tetapi sekarang ini lagi bertambah teruk, banyak sangat janji-janji kosong yang dilemparkan dengan harapan mendapat pulangan nyang besar. Sebenarnya setiap janji yang dibuat perlu diteliti dahulu samaada boleh ditepati atau hanya berjanji sesuatu yang tidak logik. Adalah merisaukan juga setiap janji kosong yang tidak dapat dipenuhi akan menjadi pembohongan pula.

Bohong membawa makna berlainan daripada yang sebenarnya yang melibatkan cerita atau keadaan, bohong juga bermakna dusta, karut atau palsu. Bohong juga melibatkan pengaduan bohong atau cakap bohong. Berbohong atau membohong bermakna bercakap bohong atau berdusta. Membohongi ialah bercakap bohong kepada sesaorang atau mendustai.Membohongkan ialah menganggap bohong atau mengatakan bohong, menyangkal atau mengingkari. Kebohongan ialah perihal bohong atau sesuatu yang bohong. Pembohongan ialah perbuatan membohongi atau membohongkan atau pendustaan. Pembohong ialah orang yang suka membohong atau suka berbohong.

Menghadapi kehidupan yang penuh dengan cabaran memerlukan ketabahan. Satu cara untuk menghadapi hidup supaya sentiasa memberi makna hanyalah dengan sentiasa berfikiran positif dan kurangkan kenegatifan. Kaedah terbaik adalah dengan mempunyai niat untuk sentiasa membantu orang lain. Jika kita seorang yang berpengaruh atau mempunyai kuasa, kita perlu sentiasa ingin membantu orang lain jika kita diminta memberi bantuan. Setiap yang datang berjumpa kita perlu didengari masaalah mereka. Sebaik sahaja sesaorang menjengok kita dipejabat atau terjumpa dimana-mana sahaja, pertama kali kita mesti mempunyai niat untuk membantu. Jangan sekali-kali berfikiran negatif dan tidak mahu membantu lansung. Jangan juga sekali-kali berfikiran kedatangan mereka untuk menyusahkan kita. Niat dan pemikiran ingin membantu mereka adalah sangat perlu. Kita perlu mencuba sedaya-upaya yang kadang-kadang kita telah mengetahui amat sukar untuk membantu. Kita perlu melupakan ini semua dan perlu membuat sesuatu untuk membantu juga. Biarlah kegagalan kita membantu bukan disebabkan oleh kita atau diluar kawalan kita. Biarkan sesiapa yang inginkan bantuan meninggalkan kita dengan senyuman walaupun gagal mendapat bantuan dari kita. Sikap ini sangat baik jauh dari sikap yang agak negatif dan tidak ingin membantu. Masyarakat dapat merasakan kita tidak berusaha untuk membantu dan jika kita adalah pemimpin ini akan mengecewakan masyarakat. Pemimpin yang baik kerap mempunyai pemikiran untuk sentiasa membantu walau dalam apa keadaan sekali pun.Setiap dari kita perlu menghindari mereka yang ingin menjadi pemimpin tetapi kerapamemberi janji-janji kosong yang tidak logik.

Sikap positif juga amat perlu dalam kehidupan. Kita perlu memandang apa yang telah diberikan oleh kerajaan sesuatu yang amat baik untuk kita dan sangat memberi menfaat kepada rakyat. Kehidupan yang kita miliki  jauh lebih baik dari rakyat negara lain. Negara kita hampir tidak ada pengganguran dari segi pekerjaan (pekerjaan mencari kita). Kita boleh memilih apa sahaja jenis pekerjaan dan sangat bergantung apa yang kita cari (kepuasan hati atau pendapatan). Ini jauh lebih baik dari beberapa rakyat negara jiran yang terpaksa berkorban nyawa untuk mencari pekerjaan. Ada sebilangan yang terpaksa merentas lautan hanya untuk mendapatkan pekerjaan yang tidak diminati oleh rakyat negara ini.

Sikap mengatakan orang lain sahaja yang mempunyai sesuatu yang lebih baik dari kita perlu ditinggalkan. Kita tidak boleh setiap kali mengatakan “the other side greener than us” (orang lain selalu lebih baik dari kita). Kita sebenarnya “greener than the other side”. Kita juga tidak boleh mengatakan kemudahan orang lain lebih baik malahan apa yang kita miliki lebih baik dari orang lain. Negara ini ada segala-galanya dengan rakyat berbilang kaum, ekonomi berkembang baik, banyak pelancong yang datang untuk menikmati keindahan tempat kita, makanan tempatan yang amat disukai, kadar jenayah yang rendah, cuaca yang menarik dan mala petaka besar hampir tidak berlaku. Ini menunjukan negara ini sangat indah dan selamat untuk diduduki dengan kemudahan kesihatan yang baik serta mempunyai pakar kesihatan bertaraf dunia. Ini akan dapat terus dinikmati jika setiap rakyat negara ini berfikiran positif dan memelihara keamanan yang ada. Keadaan hidup yang harmoni yang kadang-kadang ada sedikit gangguan untuk kes terpencil yang perlu segera diselesaikan dan dimaafkan. Ada juga merungut tentang sedikit kenaikan harga barang. Ini sebenarnya perkara biasa dalam kehidupan. Mana ada negara dalam dunia harga barangan turun?. Kita mahu gaji naik sudah tentu harga barang naik kerana perkhidmatan yang disediakan memerlukan tenaga kerja yang juga memerlukan makanan untuk hidup. Sudah tentu sara hidup akan naik dan mengakibatkan semua menjadi mahal. Zaman “sedap, banyak, besar, bersih dan murah” sudah berkahir. Jika kita ingin makanan yang “sedap, banyak, bersih, besar” sudah tentu mahal harganya. Apa yang paling penting semua barangan yang kita perlukan mudah dimiliki dengan harga yang berpatutan dan mampu dibeli.Memberi janji-janji manis untuk menurunkan harga barangan pada masa hadapan merupak\an janji-janji kosong yang tidak logik untuk dipercayai.Tidak ada satu pun negara dalam dunia ini mempu menurukan harga barangan dengan kenaikan taraf hidup. Menaikan taraf hidup adalah mempertingkatkan kemampuan ekonomi yang sudah tentu akan memberi kesan kepada kenaikan harga barangan. Setiap dari kita perlu menolak janji-janji kosong ini. Setiap yang diperkatakan perlu disiasat dahulu dan jangan dipercayai bulat-bulat.

Siasat bermakna pemeriksaan yang teliti atau penyelidikan dan cakap pula membawa makna bicara, kata, kecek atau tutur. Dari makna perkataan kita dapat memahami sebelum sesuatu diperkatakan haruslah sesuatu isi atau perkara dijalanka pemeriksaan terlebih dahulu. Kalau dalam bidang yang terperinci kita perlu jalankan penyelidikan barulah sesuatu kebenaran dapat dibuktikan atau sesuatu dakwaan dapat di sahihkan untuk dimenafaatkan. Sikap menjalankan penyiasatan terlebih dahulu sebelum bercakap adalah satu amalan yang perlu diamalkan oleh setiap manusia yang berada didunia ini. Ini bukan sahaja sikap zaman moden tetapi sikap yang telah diamalkan sejak zaman dahulu. Melalui sikap ini sahajalah sesuatu yang baik akan dapat menjadi amalan. Tujuan menyiasat adalah untuk benar-benar memahami apa yang berlaku atau apa yang telah terjadi. Sikap menyiasat ini bukan sahaja amalan pihak polis untuk membuktikan sesuatu kes tetapi merupakan kehendak mahkamah setiap sesuatu yang diperkatakan perlukan bukti yang kukuh. Mahkamah tidak menerima bukti dengar dan cakap. Mahkamah perlukan bukti yang sangat lengkap. Tanpa bukti kebenaran tidak dapat ditegakan.

Kesan tidak mendapat maklumat sebenar dan terus mengatakan sesuatu yang tidak benar amat merbahaya. Mereka ini selalunya berlagak pandai dan akan juga dipercayai oleh setengah gulongan. Kita kerap dipesan supaya belajar kepada orang yang memahami sesuatu maklumat atau satu bidang kepakaran. Jika ini tidak berlaku, orang ramai akan belajar dari mereka yang tidak faham. Akibatnya semua orang juga akan tidak faham dan satu kampong akan tidak mendapat penjelasan yang sebenar. Proses pembelajaran telah tidak berlaku dengan betul. Akibatnya negara akan terkebelakang dan  pembanggunan akan menjadi sia-sia. Masyarakat tidak mempunyai kerja lain selain mencela apa yang telah disediakan. Terdapat juga gulongan yang akan mempergunakan isu yang tidak difahami untuk mengejar sesuatu tujuan.

Sejak akhir-akhir ini adalah didapati banyak cerita bohong yang terus dipercayai. Seolah-olah dilihat cerita bohong menjadi popular dan amat diperlukan. Setiap kebenaran yang dinyatakan tidak dipercayaai lagi. Satu ketika perkara begini sukar untuk dipercayaai tetapi terbukti sekarang ini cerita bohong amat diminati. Cerita yang tidak diketahui asal usul juga kerap dipercayaai. Perkataan yang popular kerap yang kita dengar adalah mereka berkata “cerita ini kawan rapat ayah aku yang beritahu” atau ada pula yang bercerita ” kawan baik aku dapat tahu dari orang politik yang rapat dengan sipolan”. Banyak lagi yang akan memberitahu ”sebenaranya begini cerita yang dia orang beritahu”. Cerita ini akan terus disampaikan tanpa usul periksa. Akibatnya sangat besar yang mungkin akan menjadi tohmahan dan buruk sangka terhadap sesuatu. Jika perkara ini melibatkan orang besar atau sesaorang yang menjadi pemerhatian umum ini akan menimbulkan aib yang sangat besar.Berhati-hatilah dengan cakap-cakap kosong ini. Sebenarnya memang benar lagu yang kerap berkumandang sekarang ini, orang yang bercakap bohong sebenaranya kosong..kosong..kosong.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...