nuffnang ads

Thursday 18 October 2012

HIDUP BUKAN HITAM DAN PUTIH.



Mendengar ucapan perasmian  majlis Juara Rakyat Parlimen Tangga Batu pada 8hb Februari  2011 di Sekolah Menengah  Kebangsaan  Klebang Besar oleh YB Datuk Hj. Ir. Idris bin Haron dimana beliau telah mengupas erti kehidupan yang tidak sahaja berwarna hitam dan putih sahaja. Menurut beliau kehidupan perlu diwarnai, barulah kehidupan bertambah ceria dan negara akan bertambah maju serta rakyat sentiasa hidup dalam kecemerlangan. Menurut Yb Datuk Idris, hidup adalah sesuatu yang indah kalau kita pandai meronakanya. Hidup bukanlah satu laluan yang lurus walaupun kita menuju ketempat yang sama. Kita perlu kreatif dalam kehidupan, perjalanan hidup perlukan warna-warni kehidupan bukan hanya berwarna hitam dan putih sahaja. Kita juga dapat melihat jika semuanya hitan putih sudah tentu kita tidak ceria. Kalau dahulu siaran televisyen dalam warna hitam dan putih tetapi kerajaan dengan teknologi yang diperkenalkan telah merubah kepada televisyen berwarna. Kalau ini diceritakan kepada anak-anak, sudah pasti mereka tersenyum lebar seakan-akan tidak mempercayaainya.

Satu ketika dahulu gambar hitam putih adalah sesuatu yang biasa. Gambar berwarna-warni akan menimbulkan kehairanan  dan menjadi daya tarikan. Sekarang semuanya telah terbalik. Gambar semuanya telah dalam bentuk warna-warni dan gambar hitam putih pula menimbulkan kehairanan. Sesiapa yang melihat gambar hitam putih seakan-akan melihat sesuatu barangan kuno pula. Begitulah teknologi telah menukarkan kehidupan. Untuk itu kita perlu mewarnai kehidupan dengan keceriaan dan gembira serta mengembirakan orang lain. Selain kita hidup untuk diri sendiri atau membesarkan keluarga, kita juga membantu orang lain dan harus berbakti kepada negara.

Setiap yang hidup perlu berniat untuk hidup yang lebih selesa dan berharap juga orang lain akan selesa. Tiada gunanya kita sekeluarga hidup senang tetapi jiran-jiran sekeliling hidup susah. Bagaimana jika kita sekeluarga dapat makan sedap pada masa yang sama jiran dan rakan terdekat tidak mendapat menjamah makanan. Hidup ini perlu membantu orang lain untuk membolehkan hidup kita lebih bermakna dan berwarna. Kalau kita hidup dalam masyarakat kita perlu memberi sumbangan supaya kehadiran hidup kita dalam masyarakat disedari. Hidup dalam masyarakat tidak boleh menyendiri. Walaupun kita tidak mengharapkan orang lain membantu kita dari segi kewangan tetapi ini tidak bermakna hidup dalam masyarakat perlu menyendiri. Kalau kita tidak perlukan bantuan orang lain tetapi kita boleh menyumbang apa yang kita ada untuk masyarakat.

Kehidupan dalam masyarakat tidak semestinya kita menyumbang sesuatu yang besar atau wang ringgit dalam jumlah yang banyak. Kalau tidak menyumbang wang ringgit sudah mencukupi jika kita menyertai aktiviti masyarakat seperti pesatuan penduduk, majlis keagamaan atau majlis gotong royong yang dianjurkan. Kalau boleh kita memberi tenaga semasa majlis kenduri atau pun majlis yang bercorak kemasyarakatan.  Penglibatan ini sudah sangat baik dari segi sumbangan kepada masyarakat dan sangat diperlukan.

Memang amat menyeronokan apabila telah dapat apa yang kita cita-citakan (cita-cita tercapai). Ada juga leka dengan kesenangan yang telah dicapai dan sentiasa memikirkan hal diri sendiri dan keluarga mereka sahaja. Mungkin ini yang mereka ingini tetapi “apakah ini sikap yang baik?”. Banyak yang telah berjaya hanya menumpukan kepada diri sendiri. sahaja Apabila balik sahaja dari pejabat, mereka hanya duduk dirumah melayan keluarga (memang ini sesuatu yang baik). Pada hujung minggu duduk dirumah, pergi membeli belah bersama keluarga atau balik kampung atau berhibur disana sini. Tidaklah diketahui samaada sikap ini baik atau tidak. Kalau kita bertanya kepada sesaorang, mungkin jawapan mereka akan berbeza. Paling tidak kita boleh memikirkan “apakah mencukupi setelah kita menikmati sesuatu yang kita cita-citakan dengan kemudahan yang ada atau telah disediakan ? dan kita menyatakan ini pencapaian kita dan lain-lain tidak penting.

Kenikmatan dan kejayaan yang kita nikmati perlu dipulangkan balik kepada masyarakat dengan berbagai cara. Jika kita tidak mampu dengan wang ringgit atau harta benda kita boleh menyumbang dari segi tenaga dan daya usaha. Sumbangan wang ringgit amat besar kepada masyarakat. Kita lihat berbagai program atau badan yang memerlukan sumbangan untuk sesuatu tujuan. Kita tidak boleh berharap kepada ahli-ahli politik, syarikat swasta, ushawan dan badan bukan kerajaan (NGO) sahaja. Sumbangan dari mereka yang berjaya sebagai individu juga penting. Sumbangan tidaklah perlu banyak tetapi kalau dikumpul dari ramai yang ingin menyumbang sumbangan akan menjadi banyak. Ini akan lebih menjayakan sesuatu program tanpa menunggu sumbangan/bayaran dari kerajaan sahaja.

Sikap baik pemandu kenderaan negara maju patut kita contohi. Amat jarang kita mendengar kemalangan yang melibatkan nyawa yang banyak dilaporkan. Ini amat bertentangan dengan tabiat pemandu negara membangun atau negara kurang maju. Hampir setiap hari akhabr akan melaporkan kemalangan yang melibatkan banyak nyawa. Amat jarang juga kita mendengar kemalangan yang melibatkan pejalan kaki di negara maju atau kemalangan yang melibatkan mereka yang melintas jalan. Pemandu negara maju amat berhemah dan berbudi bahasa. Kita dapat melihat pemandu negara maju lebih menghargai nyawa dan perihatin. Kita dapat memerhatikan pemandu kereta akan memperlahankan kenderaan yang dipandu apabila melihat ada orang yang ingin melintas jalan atau ada pejalan kaki berhampiran kenderaan. Malahan kita dapat melihat kereta akan diberhentikan untuk memberi laluan kepada mereka yang ingin melintas jalan. Pemandu kereta akan memberhentikan kenderaan di setiap persimpangan untuk memberi peluang kepada kereta lain untuk berlalu terlebih dahulu. Sikap pemandu menghormati sesama mereka atau pejalan kaki amat ketara di semua bandar besar diseluruh dunia termasuk di Kota London, New York, Paris, Sydney, Brisbane, Amsterdam, Brussels, Los Angeles dan banyak lagi. Adalah perlu satu kajian sikap dijalankan untuk melihat kenapa sikap ini ada pada pemandu di negara maju. Kalau difikirkan kerana banyaknya kereta yang terdapat dibandar besar yang telah disebutkan. Bandar-bandar besar di negara sedang membangun juga banyak. Malangnya sikap pemandu negara-negara ini sangat kasar, tidak mahu bertolak ansur, tergesa-gesa, tidak menghargai nyawa dan yang paling ketara tidak ada perasaan untuk menghormati antara satu sama lain. Sikap pemandu negara kurang maju yang tidak menghormati pejalan kaki dan tidak memberi peluang kepada mereka yang ingin melintas jalan adalah sikap yang sangat tidak boleh diterima. Akibatnya banyak yang terkorban dijalan raya atau tercedera kerana sikap kasar ini. Sikap pemandu negara maju patut dicontohi.

Banyak yang perlu dilakukan untuk menjadi hidup lebih warna-warni. Hubungan persaudaran perlu dipereratkan. Jika keluarga berada berjauhan, apabila ada kesempatan ketika bercuti hendaklah meluangkan masa melawat saudara mara. Gunakankan kesempatan untuk bertanya kabar dan melihat perkembangan ahli keluarga. Paling tidak setiap jemputan kerja kahwin atau majlis kenduri perlu dihadiri jika berkesempatan.  Sejak ekonomi bertambah baik dan kesibukan telah meyebabkan banyak orang yang tidak meluangkan masa melawat saudara mara yang jauh. Kerap kali pertemuan hanya berlaku jika ada majlis perkahwinan atau ada kematian ahli keluarga. Itu pun ada yang tidak mahu meluangkan masa untuk mengenali ahli keluarga dengan lebih dekat. Setiap dari kita harus menyedari ikatan kekeluargaan sangat penting ketika susah dan sedang. Inilah ikatan yang tidak terputus walaupun apa yang terjadi.

Kehidupan juga memerlukan kita mempunyai banyak sahabat. Persahabatan amat penting. Lebih banyak sahabat sudah tentu lebih baik. Ada juga yang merungut dengan banyak sahabat lebih menyusahkan. Banyak orang apabila sudah bersahabat akan cuba mengambil kesempatan itu dan ini terutama meminta bantuan kewangan. Sebenarnya itulah warna-warni hidup bersahabat. Sahabat diperlukan ketika susah dan senang. Itulah hidup bersahabat. Ada juga yang mengatakan sahabat itu seperti kawan sahaja. Sebenarnya sahabat lebih mesra dari kawan. Walaupun dari segi pengertian sahabat itu merupakan kawan tetapi dari segi penghayatan sahabat itu lebih rapat dari berkawan. Kita dapat menikmati persahabatan dari perasaan yang mendalam dari berkawan.

Kita perlu sentiasa memikirkan untuk hidup seribu tahun lagi dengan keadaan yang mengembirakan. Dalam perjalanan untuk menghadapi hidup yang lama ini, kita memerlukan kehidupan yang membahagikan. Kehidupan perlu menerima kebahagian dan kita memberi kebahagiaan kepada orang lain. Barulah timbul keseronokan. Walaupun hidup dengan keseronokan tetapi perlu atas batasan keugamaan atau ketatasusilaan kenegaraan. Hidup perlu mengikut undang-undang dan peraturan juga sentiasa menghormati orang lain disamping kita juga perlu dihormati.

Menghadapi kehidupan yang penuh dengan cabaran memerlukan ketabahan. Satu cara untuk menghadapi hidup supaya sentiasa memberi makna hanyalah dengan sentiasa berfikiran positif. Kaedah terbaik adalah dengan mempunyai niat untuk sentiasa membantu orang lain. Jika kita seorang yang berpengaruh atau mempunyai kuasa, kita perlu sentiasa ingin membantu orang lain jika kita diminta memberi bantuan. Setiap yang datang berjumpa kita perlu didengari masaalah mereka. Sebaik sahaja sesaorang menjengok kita dipejabat atau terjumpa dimana-mana sahaja, pertama kali kita mesti mempunyai niat untuk membantu. Jangan sekali-kali berfikiran negatif dan tidak mahu membantu langsung. Jangan juga sekali-kali berfikiran kedatangan mereka untuk menyusahkan kita. Niat dan pemikiran ingin membantu mereka adalah sangat perlu. Kita perlu mencuba sedaya-upaya yang kadang-kadang kita telah mengetahui amat sukar untuk membantu. Kita perlu melupakan ini semua dan perlu membuat sesuatu untuk membantu juga. Biarlah kegagalan kita membantu bukan disebabkan oleh kita atau diluar kawalan kita. Biarkan sesiapa yang inginkan bantuan meninggalkan kita dengan senyuman walaupun gagal mendapat bantuan dari kita. Sikap ini sangat baik jauh dari sikap yang agak negatif dan tidak ingin membantu. Masyarakat dapat merasakan kita tidak berusaha untuk membantu dan jika kita adalah pemimpin ini akan mengecewakan masyarakat. Pemimpin yang baik kerap mempunyai pemikiran untuk sentiasa membantu walau dalam apa keadaan sekali pun.

Hargailah kehidupan dengan mengembirakan diri sendiri melalui syok sendiri dan sentiasa mengembirakan orang lain dengan memberi sumbang bakti dengan perihatin kepada kehendak masyarakat. Setiap dari yang hidup perlu melihat kehidupan dengan lebih positif dan sentiasa memperjuangkan yang terbaik  untuk bermasyarakat. Masyarakat yang berjaya akan membawa negara dalam kemakmuran. Itulah warna-warni kehidupan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...