nuffnang ads

Wednesday 17 October 2012

FIKIR SEBELUM CAKAP.



Fikir membawa makna ingatan, angan-angan atau akal. Berfikir pula bermakna menggunakan akal fikiran (untuk menyelesaikan sesuatu), mempertimbangkan (dalam ingatan). Berfikiran membawa makna berfikir mengenai. Memikir bermakna berfikir mengenai sesuatu, mengingati, merenung sesuatu. Pemikiran bermakna perihal berfikir (memikir). Semua makna ini diambil terus dari Kamus Dewan terbaru yang telah menerangkan dengan jelas makna pemikiran tanpa perlu ditokok tambah.

Kita sentiasa memikirkan untuk hidup seribu tahun lagi dengan sesuatu yang mengembirakan. Dalam perjalanan untuk menghadapi hidup yang lama ini, kita memerlukan kehidupan yang membahagikan. Kehidupan perlu menerima kebahagian atau kita memberi kebahagiaan kepada orang lain. Barulah timbul keseronokan. Walaupun hidup dengan keseronokan tetapi perlu atas batasan keugamaan atau ketatasusilaan kenegaraan. Hidup perlu mengikut undang-undang dan peraturan juga sentiasa menghormati orang lain disamping kita juga perlu dihormati.

Menghadapi kehidupan yang penuh dengan cabaran memerlukan ketabahan. Satu cara untuk menghadapi hidup memikirkan sesuatu fakta atau cerita sebelum mengambil tindakan atau menyampaikan kepada sesaorang. Kaedah terbaik sentiasa berfikir untuk membantu orang lain. Jika kita seorang yang berpengaruh atau mempunyai kuasa, kita perlu sentiasa berfikir untuk membantu orang lain jika kita diminta memberi bantuan. Setiap yang datang berjumpa kita perlu didengari masaalah mereka. Sebaik sahaja sesaorang menjengok kita dipejabat atau terjumpa dimana-mana sahaja, pertama kali kita mesti berfikir untuk membantu. Jangan sekali-kali berfikiran tidak mahu membantu langsung. Jangan juga sekali-kali berfikiran kedatangan mereka untuk menyusahkan kita. Niat dan pemikiran ingin membantu mereka adalah sangat perlu. Kita perlu mencuba sedaya-upaya yang kadang-kadang kita telah mengetahui amat sukar untuk membantu. Kita perlu melupakan ini semua dan perlu membuat sesuatu untuk membantu juga. Biarlah kegagalan kita membantu bukan disebabkan oleh kita atau diluar kawalan kita. Biarkan sesiapa yang inginkan bantuan meninggalkan kita dengan senyuman walaupun gagal mendapat bantuan dari kita. Sikap ini sangat baik jauh dari sikap yang sentiasa negatif dan tidak ingin membantu langsung. Masyarakat dapat merasakan kita tidak berusaha untuk membantu  mereka dan jika kita adalah pemimpin ini akan mengecewakan masyarakat. Pemimpin yang baik kerap mempunyai pemikiran untuk sentiasa membantu walau dalam apa keadaan sekali pun.

Kepada pelajar perlu menggunakan pemikiran sebelum membuat, berkata-kata atau menyampai sesuatu. Sikap mengunakan fikiran mengambarkan tindakan yang akan diambil lebih baik dan berjaya. Jika ini ada dalam pemikiran pelajar, mereka akan mengikuti pelajaran dengan penuh semangat dan sentiasa ingin belajar dan mengulangkaji. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh untuk menghadapi ujian dan peperiksaan. Mereka akan mempunyai kemahiran belajar mendengar, menyiasat, berfikir dan bercakap yang baik. Perancangan untuk menghadapi peperiksaan kerap kali menjadi keutamaan. Kecemerlangan perlu difikirkan terlebih dahulu, bukan datang secara tiba-tiba. Sikap memberi keutamaan kepada pembelajaran akan membawa mereka bercampur dengan rakan-rakan yang sealiran. Gaya hidup yang sentiasa menggunakan pemikiran jika dibawa dalam proses pembalajaran akan menghasilkan sesuatu yang sangat berfaedah.

Sikap yang baik dalam proses pembelajaran bermula dari minat untuk belajar. Minat dengan mata pelajaran, kegiatan pembelajaran, kegiatan luar persekolahan, mempunyai hobi yang amat baik dan minat dengan guru-guru yang mengajar. Setiap pelajar perlu belajar meminati guru-guru yang mengajar apa juga mata pelajaran. Sikap membenci guru perlu dibuang jauh-jauh. Sikap menyukai murid juga sangat penting kepada guru-guru. Latihan yang telah diterima sebagai guru adalah latihan untuk kita menyukai anak didik kita. Guru-guru jangan sekali-kali membenci murid-murid dalam apa keadaan sekali pun. Sikap menyukai mereka yang pandai dan anak orang berada sahaja adalah sikap yang tidak baik. Guru juga jangan sekali-kali membenci pelajar yang kurang pandai dan anak-anak orang yang tidak berada. Kita tidak boleh meramal masa depan sesaorang murid dari pencapaian semasa kecil atau semasa alam persekolahan sahaja. Kata perpatah mengatakan “yang akhir nanti akan diperkatakan orang”. Kejayaan pelajar sekolah memerlukan perjalanan yang panjang. Mereka kadang-kadang kurang menyerlah semasa kecil tetapi akan berubah apabila mereka meningkat dewasa. Biarlah guru-guru melayani setiap murid sama rata agar mereka dapat belajar dalam keadaan kegembiraan. Berbagai kerenah anak murid perlu dilayan dengan baik jika kita mengharapkan setiap mereka mendapat kejayaan pada masa hadapan.

Sudah menjadi amalan sekarang setiap dari kita ingin berjaya dalam karier. Kejayaan dalam pekerjaan akan menambah sedikit pendapatan yang akan membawa sedikit kesenangan kepada seisi keluarga. Kita kerap mendengar rungutan kawan-kawan tentang masalah dalam pekerjaan. pergaduhan, bermasam muka, kecil hati dan tidak mahu bekerjasama dalam pekerjaan dan ambil hati seolah-olah inilah alam/suasana pekerjaan di persekitaran/tempat kita. Ada sahaja masaalah dan tidak kena ditempat kerja setiap hari. Masaalah ini akan mengakibatkan pengurangan produktiviti, ketidakseronokan bekerja, tidak menghormati antara satu sama lain, malas, kasar dan mengujudkan suasana kerja yang tidak kondusif. Ini adalah persekitaran kerja yang tidak baik untuk mendapat sesuatu yang berfaedah. Ini dapat diselesaikan dengan amalan “ kita tidak dapat segala-galanya dalam kehidupan”. Untuk itu kita perlu berfikiran untuk mengambil hati dan berkorban. Banyak perkara yang perlu ditelan sahaja untuk kita berada dalam keadaan yang lebih selesa. Setiap yang berlaku ditempat kerja perlu diterima dengan hati terbuka. Kita perlu kerap berfikir betapa kecilnya/kerdil kita ditempat kerja dan ini patut kita terima sahaja. Ini adalah pemikiran merendah diri yang membawa kejayaan setiap masa. Kita perlukan kegembiraan apabila berada dipejabat supaya apa yang kita dapat diakhir bulan akan membawa kebahagian kepada keluarga. Apalah guna kita mendapat imbuhan tetapi hati kita tidak seronok dan hasil yang kita perolehi tidak membawa kegembiraan (not worse to the family). Pendapatan yang kita terima untuk membesarkan anak-anak atau membiayai keluarga tidak setimbal dengan apa yang telah kita korbankan. Kepada mereka yang menjadi ketua, sentiasalah memberi penghormatan kepada rakan-rakan dan juga orang bawahan kita supaya apa yang kita dapat untuk dibawa balik adalah setimpal dengan tenaga yang telah diberi oleh pekerja kita. Biarlah setiap hari bekerja balik dengan penuh kegembiraan. Balik sahaja dari kerja dan menemuni keluarga dalam kegembiraan.

Kita perlu memandang apa yang telah diberikan oleh kerajaan sesuatu yang amat baik untuk kita dan sangat memberi menfaat kepada rakyat. Kehidupan yang  kita miliki  jauh lebih baik dari rakyat negara lain. Negara kita hampir tidak ada pengganguran dari segi pekerjaan (pekerjaan mencari kita). Kita boleh memilih apa sahaja jenis pekerjaan dan sangat bergantung apa yang kita cari (kepuasan hati atau pendapatan). Ini jauh lebih baik dari beberapa rakyat negara jiran yang terpaksa berkorban nyawa untuk mencari pekerjaan. Ada sebilangan yang terpaksa merentas lautan hanya untuk mendapatkan pekerjaan yang tidak diminati oleh rakyat negara ini. Lihat sahaja sampah yang dibuang oleh rakyat negara ini. Menurut kajian dari Universiti Putra Malaysia, 40% dari sampah yang dibuang dinegara ini adalah sampah yang boleh dimakan seperti rojak, roti, nasi lemak, nasi, mee goreng dan apa sahaja makanan yang tidak habis. Makanan ini sepatutnya boleh dimakan lagi tetapi telah dibuang sebagai sampah. Berapa mewahnya rakyat negara ini?.

Sikap mengatakan orang lain sahaja yang mempunyai sesuatu yang lebih baik dari kita perlu ditiadakan atau ditinggalkan. Kita tidak boleh setiap kali mengatakan “the other side greener than us” (orang lain selalu lebih baik dari kita). Kita sebenarnya “”greener than the other side”. Kita juga tidak boleh mengatakan kemudahan orang lain lebih baik malahan apa yang kita miliki lebih baik dari orang lain. Negara ini ada segala-galanya dengan rakyat berbilang kaum, ekonomi berkembang baik, banyak pelancung yang datang untuk menikmati keindahan tempat kita, makanan tempatan yang amat disukai, kadar jenayah yang rendah, cuaca yang menarik dan mala petaka besar hampir tidak berlaku. Ini menunjukan negara ini sangat indah dan selamat untuk diduduki dengan kemudahan kesihatan yang baik serta mempunyai pakar kesihatan bertaraf dunia. Ini akan dapat terus dinikmati jika setiap rakyat negara ini berfikiran positif dan memelihara keamanan yang ada. Keadaan hidup yang harmoni yang kadang-kadang ada sedikit gangguan untuk kes terpencil yang perlu segera diselesaikan dan dimaafkan. Ada juga merungut tentang sedikit kenaikan harga barang. Ini sebenarnya perkara biasa dalam kehidupan. Mana ada negara dalam dunia harga barangan turun?. Kita mahu gaji naik sudah tentu harga barang naik kerana perkhidmatan yang disediakan memerlukan tenaga kerja yang juga memerlukan makanan untuk hidup. Sudah tentu sara hidup akan naik dan mengakibatkan semua menjadi mahal. Zaman “sedap, banyak, besar, bersih dan murah” sudah berkahir. Jika kita ingin makanan yang “sedap, banyak, bersih, besar” sudah tentu mahal harganya. Apa yang paling penting semua barangan yang kita perlukan mudah dimiliki dengan harga yang berpatutan dan mampu dibeli.


Gaya hidup yang sentiasa berfikir dahulu sebelum mengambil sesuatu tindakan perlu menjadi gaya hidup setiap dari kita. Ini perlu diamalkan setiap masa dalam apa keadaan sekali pun. Apa sahaja kemudahan yang telah disediakan oleh sesiapa sahaja perlu diterima dengan tangan terbuka dan mengharapkan hasil yang baik dan memberi menfaat. Hidup tidak memerlukan banyak masaalah atau kerenah. Terima sahaja apa yang diberikan dengan tangan terbuka. Ada yang mengatakan “”makan free jangan banyak sangat rungutan (komplen)”, makan sahaja dari apa yang telah diberikan. Kalau kita beli dengan duit sendiri baru boleh merungut tapi biarlah kena pada tempatnya. Adalah telah terbukti mereka yang berjaya samaada dalam kerjaya peribadi atau dalam bernegara adalah mereka yang sentiasa menggunakan pemikiran. Perkara negatif ditinggalkan jauh-jauh dan kata-kata yang tidak benar berdasarkan andaian dan fikiran songsang serta memburukan orang jangan disampaikan. Kejayaan negara sangat bergantung kepada rakyat yang sentiasa menggunakan fikiran. Negara akan rosak jika rakyat menjadi penyampai tanpa memikirkanya terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...