nuffnang ads

Tuesday 23 October 2012

MAJULAH PASAR MALAM.



Pasar yang bermakna bangunan atau kelompok gerai atau tempat menjual yang biasanya barang-barang makanan keperluan sehari-hari, pasar juga membawa makna tempat lapang untuk orang berjual beli. Kerap juga perkataan pasar digabongkan dengan perkataan lain yang membawa makna khusus seperti pasar ria atau pasar amal yang bermakna pasar yang diadakan oleh badan amal untuk mengutip derma, pasar besar adalah pasar tempat menjual ikan, sayur dan lain-lain yang terbesar disesuatu tempat. Pasar borong pula adalah pasar tempat menjual barang-barang dagangan secara borong atau banyak-banyak kepada peruncit. Pasar gelap tempat berjual beli yang tidak dibenarkan menurut undang-undang iaitu barang-barang yang diharamkan. Pasar lambak tempat menjual barang-barang murah yang dilambakan seperti ditepi jalan. Pasar malam adalah pasar yang dibuka  pada waktu malam, tempat diadakan bermacam-macam pertunjukan seperti tempat makan yang dibuka untuk beberapa hari pada waktu malam. Pasar mini bermakna kedai moden yang tidak berapa besar yang menjual barang-barang makanan yang biasanya barangan dalam tin dan bungkusan serta barang-barang keperluan sehari-harian secara layan diri.

Pasar malam atau pasar sehari atau pasar petang atau pekan nat dalam bahasa utara bermakna jualan yang dibuat pada hari-hari tertentu yang selalunya tidak mempunyai bangunan yang tetap. Selalunya selesai sahaja pada hari-hari yang ditetapkan, semua barangan akan dikemaskan untuk dijual ditempat lain. Kemudahan pasar malam telah menjadi popular sejak lama dahulu. Pada waktu dahulu tidak banyak pasar malam dibuka. Pada masa itu rakyat lebih berminat beli dikedai runcit di kampung sahaja. Ini dekat dengan rumah dan selalunya dikatakan murah. Sekarang ini pasar malam adalah sebahagian kemudahan yang sangat penting dan telah diadakan hampir setiap malam ditempat yanmg berbeza. Pengguna pula sentiasa mengetahui dimana-mana pasar malam diadakan kerana selalunya pasar malam akan menjual berbagai-bagai jenis barangan keperluan dari barangan makanan sehingga barangan hardware. Ini lah kemudahan pasar malam yang menarik minat ramai pengunjung. Pasar malam boleh dipanggil 'supermarket bergerak'. Pasar malam kerap dihubungkan dengan harga yang murah dan berpatutan yang mampu dibeli oleh segenap masyarakat.

Pada satu masa dahulu, kalau barangan berjenama murah kerap dikatakan barang pasar malam. Pengguna juga kalau dipuji apa sahaja produk yang dipakai kalau berharga murah akan dikatakan dibeli dari pasar malam. Produk pasar malam adalah produk mampu milik, itu sebab pasar malam menjadi popular. Pada satu ketika dahulu juga pasar malam juga dihubungkan dengan mereka yang berpendapatan rendah berbelanja atau dalam bahasa mudah tempat orang kampung atau luar bandar berbelanja. Sekarang ini semua presepsi itu telah berubah. Pasar malam dikunjungi oleh segenap lapisan masyarakat tidak kira yang berpendapatan tinggi atau rendah. Pasar malam menyediakan kemudahan 'one stop shopping centre' untuk segenap lapisan masyarakat. Pasar malam adalah sebahagian dari kehidupan rakyat Malaysia. Lagi maju sesuatu negeri, lebih banyak pasar malam diadakan dan lebih besar lagi pasar malam disedia  atau dianjurkan dan terus melambakan berbagai-bagai lagi produk.

Sebenarnya pasar malam adalah kemudahan yang sangat baik untuk segenap lapisan masyarakat. Paling tidak untuk peniaga kecil tidak perlu modal yang besar untuk memulakan perniagaan. Mereka tidak perlu menyewa sesuatu premis dengan harga yang mahal. Inilah sebenarnya falsafah kerajaan membenarkan pasar malam seperti cendawan tumbuh. Pasar malam telah menggalakan rakyat berniaga kecil. Selalunya pasar malam akan dikelolakan oleh persatuan penduduk yang mana sebahagian dari pendapatan setelah ditolak bayaran pembersihan dan pentadbiran akan digunakan untuk aktiviti sosial masyarakat setempat. Keuntungan aktiviti masyarakat adalah untuk masyarakat tempatan. Kerajaan tidak pernah berhajat untuk menjadikan kutipan aktiviti pasar malam sebahagian dari pendapatan kerajaan. Ini adalah sangat baik, tambahan pula sewa yang dikenakan kepada setiap peniaga adalah sangat rendah dan mampu dibayar oleh setiap peniaga. Bayaran setiap aktiviti perniagaan dari RM 1.00 ke RM 5.00 sahaja. Ini amat berpatutan. Peniaga tidak merungut dengan pembayaran ini lebih-lebih lagi untuk kawasan yang popular dan tempat tumpuan ramai orang.

Kadar sewan yang rendah telah membolehkan kadar harga jualan barangan di pasar malam agak rendah kalau dibandingkan dengan barangan yang dijual melalui premis kenderaan bersewa atau premis tetap. Produk jualan pasar malam sebenarnya sama seperti yang dijual di kedai tertentu. Harga murah bukan disebabkab kualiti tetapi presmis jualan yang disewa agak murah, itu sebab harga yang dijual juga murah. Kalau dilihat kadar sewa premis tertentu atau kedai tetap, kadar sewa sangat mahal dan tidak mampu untuk mereka yang ingin memulakan perniagaan atau mereka yang bermodal kecil. Kadar sewa yang agak mahal tidak menggalakan mereka yang bermodal rendah untuk berniaga.Mereka yang juga pengeluar produk dan bermodal kecil tiada banyak pilihan selain dari memulakan perniagaan di pasar malam. Ada juga yang agak sudah mempunyai modal yang mencukupi mencuba berniaga di kedai-kedai tetap dan akhirnya menjadi seorang peniaga atau usahawan yang berjaya.

Pasar malam sebenarnya tempat yang amat sesuai untuk mencuba sesuatu produk kreativiti atau produk inovasi. Tidak kiralah produk tersebut berteknologi rendah, tinggi atau tiada berteknologi lansung. Ini kerana tempat ini menjadi tempat tumpuan ramai pengguna dan setiap produk akan menjadi tumpuan dan maklumat produk akan sempat sampai kepada pengguna melalui penyampaian dari mulut ke mulut. Itu sebabnya di pasar malam tertentu, aktiviti penjualan ubat amat popular. Kerap kali orang ramai akan berhenti mendengar apa yang diperkatakan oleh penjual ubat dan kerap kali penjualan ubat dipasar malam tidak menghampakan. Walaupun setiap ubat yang dijual tidak mempunyai bukti saintifik tetapi melalui contoh-contoh yang diberi dan publisiti yang diberi dari pengguna yang terdahulu, orang ramai akan mempercayai dan ubat yang dijual menjadi popular. Kerap kali ubat yang dijual tidak membahayakan pengguna dan akan menjadi terkenal.

Kepada mereka yang mencipta produk makanan tidak kira dari mana-mana institusi penyelidikan, patut mempertimbangkan untuk mencuba mengkomersilkan produk mereka melalui penjualan pasar malam. Kepada mereka yang mencipta mesin-mesin mudah untuk kegunaan masyarakat tempatan, pasar malam patut dijadikan 'testing ground'. Kalau sesuatu produk diterima di pasar malam ini bermakna produk ini akan diterima oleh masyarakat. Ini disebabkan jika produk dapat diterima di mana-mana peringkat sekalipun akan digunakan untuk masyarakat. Jika produk telah diterima dipasar malam ini bermakna produk telah tersedia untuk dikomersilkan. Pasar malam adalah segalanya bermula. Jika popular di pasar malam bermakna popularlah untuk setiap lapisan masyarakat.

Pernah juga sebuah institusi penyelidikan tidak mahu memperkenalkan produk mereka melalui penjualan atau publisiti melalui pasar malam. Pada masa yang sama merungut yang produk kreativiti dan inovasi mereka tidak sampai kemana-mana. Setiap kali pengiktirafan yang diterima tidak kemana-mana selain dari laporan akhbar sahaja. Produk akan digunakan untuk pameran sahaja. Pencipta giat mencipta untuk mendapat hadiah dan akhirnya mendapat kenaikan pangkat. Setelah dinasihatkan supaya produk kreativiti ini diperkenalkan dipasar malam. Pada mulanya mereka menolak tetapi akhirnya bersetuju setelah berbagai-bagai berita kejayaan di pasar malam diceritakan. Seperti yang dijangka, memperkenalkan produk dipasar malam sangat memberangsangkan. Melalui percakapan dari mulut kemulut maklumat produk telah dapat disampaikan dalam tempuh yang sangat singkat. Tidak dalam tempuh yang terlalu lama hampir setiap pasar malam produk tersebut telah digunakan dan telah mula dapat dijual melalui penempahan dikedai hardware. Produk telah dapat dijual dan telah dapat digunakan. Pencipta produk amat bergembira, akhirnya produk yang mendapat pengiktirafan antarabangsa telah dapat dijual melalui pasar malam sahaja.

Satu ketika dahulu, pasar malam kerap dikenali satu tempat jualan yang tidak berapa bersih dan peniaga juga tidak menjaga kesihatan dengan baik. Pihak berkuasa tempatan amat sensitif dengan perkara ini. Pihak PBT telah mewajibkan setiap peniaga pasar malam mempunyai lesen perniagaan dan setiap penjualan produk makanan perlu mendapat suntikan tertentu. Akhirnya dengan penguatkuasaan yang baik, aktiviti pasar malam dapat dikawal dengan baik. Sekarang ini suasana pasar malam sangat bersih dan amat mengembirakan pengguna. Itu sebabnya semua lapisan masyarakat telah menjadikan pasar malam tempat masyarakat berbelanja. Pasar malam telah menjadi sangat popular dan menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat. Masyarakat amat tertungu-tungu kehadiran pasar malam setiap minggu ditempat mereka. Kadang-kadang pelanggan pasar malam akan pergi setiap pasar malam ditempat mereka walaupun tempat yang berubah-ubah. Ini kerana selera sentiasa terbuka dengan penjualan produk makanan pasar malam yang menyelerakan. Semua makanan dari berbagai negeri ada dipasar malam kerana peniaganya berasal dari seluruh Malaysia.


Kejayaan pasar malam sangat membanggakan masyarakat. Akhirnya setiap lapisan masyarakat mampu untuk berniaga. Kepada yang mempunyai modal yang banyak boleh berniaga di premis yang besar dan tetap. Manakala mereka yang tidak mempunyai modal yang besar boleh berniaga kecil-kecilan di tempat perniagaan yang tidak tetap tetapi bergerak. Inilah kejayaan negara yang patut dibanggakan. Rakyat perlu memberi pengiktirafan kepada kerajaaan kerana memberi kebenaran kepada rakyat berniaga dipasar malam. Perkhidmatan pasar malam juga patut dipuji. Sudah terbukti aktiviti pasar malam telah dapat mewujudkan usahawan dan peniaga baru dan pada masa yang sama telah dapat mempertingkatkan ekonomi rakyat Malaysia. Ini telah membolehkan taraf hidup bertambah baik dan rakyat dapat hidup dengan lebih selesa. Tidak hairan juga kepada mereka yang kreatif yang mana dapat mencipta produk baru dapat menjual produk mereka dipasar malam dengan bermodalkan kreativiti sahaja. Ini tidak memerlukan modal yang banyak dan menjual produk mereka sendiri barangan kreatif mereka telah dapat dijual. Ini sangat baik untuk aktiviti ekonomi. Inilah apa yang disarankan oleh Perdana Menyteri kita supaya produk inovasi dapat menjana sumber  baru ekonomi rakyat Malaysia. Berbekalkan geran yang besar, sijil peringkat antarabangsa dan laporan akhbar yang hebat tidak menjanjikan sesuatu yang baik untuk inovasi ciptaan bijak pandai. Mereka yang kreatif selalu lihat bawah dan pasar malamlah segalanya akan bermula. Mahu tidak mahu segalanya perlu bermula dari akar umbi dan dipasar malam kreativiti perlu dicuba. Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara ini dan ingin melihat rakyat terus hidup maju dan selesa, kita terus mesti menyokong aktiviti pasar malam supaya pasar malam terus maju pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...