nuffnang ads

Saturday 13 October 2012

BIARKAN ORANG LAIN SENANG.



Senang bermakna mudah, tidak ada kesulitan, tidak ada perkara yang susah-susah dan tidak ada yang menyusahkan, suka bermesra, berasa puas (enak,nyaman dan gembira), rehat, bahagia hidupnya dan tidak melarat, bersahaja. Bersenang-senang bermakna berbuat sesuatu dengan senang hati, berehat-rehat dan bersuka-suka. Menyenangi pula berasa senang (gembira) akan, suka akan dan menyukai. Menyenangkan bermakna menjadikan mudah, melicinkan (perjalanan). Kesenangkan pula perihal senang, kebahagian, kegembiraan, keenakan, kepuasan. Ini adalah makna senang yang sering diperkatakan dan difahami oleh masyarakat umum. Semua orang bercita-cita untuk hidup senang. Kalau ketika kecil mungkin senang bukan sangat apa yang dicita-citakan kerana cita-cita ketika itu lebih terpengaruh kepada persekitaran dan juga apa yang dilihat dari kaca television. Kerapa kali apabila dewasa minat sahaja tidak sangat mempengaruhi cita-cita tetapi lebih kepada untuk menjadi senang.

Cita-cita ingin menjadi senang adalah untuk membolehkan mudah menghadapai kehidupan. Satu ketika dahulu ada orang berkata hidup bukan kerana wang tetapi kalau tidak ada wang, banyak juga kerja yang tidak boleh dilakukan termasuk ingin meneruskan kehidupan. Ada juga bukan nak kaya sangat tapi senang, dengan kata lain bukan untuk bermewah-mewah, tetapi apa yang ingin dibeli, dimakan dan dipakai mampu dimiliki. Itu sebabnya pada satu ketika dahulu, ibubapa tidak mahu jadi terlalu senang maksudnya kaya kerana perkataan kaya kerap kali dihubung dengan perkataan sombong. Selalunya dalam filem atau kehidupan akan dikatakan apabila menjadi kaya akan menjadi sombong. Itu sebab banyak orang tidak mahu menjadi kaya tapi senang pun cukuplah agar tidak digelar sombong.

Penilaian kejayaan hidup mungkin dapat diberi kepada tiga peringkat iaitu senang, kaya dan jutawan.Satu ketika dahulu apabila negara mencapai kemerdekaan, dasar negara bagaimana untuk membolehkan rakyat dapat makan sahaja. Ini sudah mencukupi. Ini kerana jika tidak ada makanan, rakyat akan kelaparan. Jika kelaparan rakyat akan bersikap ganas. Kita lihat sahaja semua binatang apabila kelaparan akan menjadi ganas. Itulah yang akan terjadi kepada manusia jika dibiarkan kelaparan. Kerajaan bekerja kuat untuk membolehkan rakyat mendapat apa sahaja pekerjaan supaya mereka boleh makan dan menyara keluarga untuk makan. Pada masa yang sama mampu memberi pendidikan kepada anak-anak mereka. Kerajaan telah menjadi sangat berjaya. Rakyat Malaysia bukan mati tidak makan tetapi mati terlalu banyak makan. Rata-rata kita lihat, penyakit kencing manis telah menjadi bahan perbualan biasa dan ada yang berkata penyakit kencing manis dapat diselesaikan dengan memakan berbagai-bagai ubat termasuk ubat tradisional. Kalaulah rakyat tidak cukup makan sudah tentu rakyat akan mendapat penyakit kencing tawar. Kajian yang telah dijalankan menunjukan sampah yang dibuang ditempat pembuangan sampah, 40% dari sampah-sampah tersebut adalah sampah yang boleh dimakan seperti roti canai tidak habis, nasi lemak dan bermacam-macam lagi makan yang tidak dapat dihabiskan yang terpaksa dibuang. Kerajaan telah berjaya melakukan yang terbaik untuk rakyatnya.

Selepas makan mencukupi dengan mempunyai pekerjaan yang baik sehingga negara kita kekurangan pekerja pula. Ini dapat diselesaikan dengan bantuan negara jiran. Walaupun ada rungutan dan masaalah sana sini, sumbangan pekerja asing telah dapat membantu negara. Boleh dikatakan banyak negara didunia berjaya dari segi ekonomi dengan bantuan pekerja asing walaupun tidak dapat dinafikan ada beberapa negara dunia berjaya tanpa mengambil pekerja asing. Semua rakyat sepatutnya mempunyai pekerjaan kecuali jika terlalu memilih. Dasar kerajaan sekarang untuk memberi rakyat hidup senang. Rata-rata rakyat Malaysia telah senang kalau pun tidak kaya. Kalau mengikut definasi kekayaan dari filem arahan P.Ramlee satu ketika dahulu, kaya bermakna mempunyai kereta dan rumah. Kalau itulah definasi kekayaan, kebanyakan rakyat Malaysia telah mencapai status kaya.
Kesenangan dalam kehidupan seharian bermakna mempunyai kemudahan kehidupan yang baik dan mampu menyara keluarga tanpa bantuan., Kalau ada pun perlu bantuan  sikit-sikit sahaja. Berbagai-bagai rancangan dijalankan oleh kerajaan untuk membolehkan rakyat hidup senang. Kerajaan membelanjakan wang yang banyak dalam bidang pendidikan. Ini kerana kerajaan percaya dengan memberi pelajaran atau pendidikan kepada anak-anak kebanyakan rakyat mampu keluar dari kemiskinan dan mampu mencapai kesenangan. Tidak cukup dengan itu kerjaaan juga menyediakan berbagai-bagai program untuk rakyat mendapat kesenangan, walaupun kerajaan dilihat sangat jujur untuk memberi kesenangan kepada rakyat tetapi ada pihak yang dilihat sangat sukar untuk membantu kearah itu. Banyak sangat masaalah dan kerenah yang akan ditimbulkan. Kadang-kadang usaha membantu ini tidaklah memakan masa yang sangat lama dan laluan sangat mudah tetapi tidak juga menunjukan ada penyelesaian untuk hidup senang.

Perasaan ingin membantu orang lain perlu ada didalam diri setiap orang. Kalau bantuan tidak yang besar yang kecil pun sudah cukup. Pada setengah orang apa yang diberi sangat kecil tetapi kepada yang menerima sangat besar. Kepada mereka yang memegang jawatan besar dan agak berpengaruh mesti mempunyai niat untuk membantu atau memudahkan urusan orang lain. Luangkan masa untuk bertemu mereka yang berhajat untuk memohon sesuatu untuk menambahbaikan kehidupan. Kalau sudah dibuat temujanji perlu dipenuhi dengan baik. Maklumlah orang yang buat temu janji datang dari jauh, kalau orang kampong amat sukar untuk sampai ke bandar. Mereka telah membelanjakan wang untuk sampai kepejabat, malangnya pegawai yang patut ditemui tidak hadir dan diganti dengan pegawai yang lebih juniour. Mereka faham orang besar-besar sememangnya sibuk tetapi rakyat perlu diberi keutamaan selarasnya slogan Perdana Menteri kita “Pencapaian Diutamakan dan Rakyat Didahulukan”. Memang banyak function yang perlu diikuti tetapi rakyat perlu juga ditemui lebih-lebih lagi kalau sudah dibuat temujanji.

Setiap dari kita yang dikatakan berpengaruh harus menyimpan niat untuk membantu orang lain. Apabila orang datang menemui kita perlu berniat untuk membantu. Jika tidak dapat dibantu paling tidak apabila mereka balik atau keluar dari pejabat penuh dengan senyuman dan amat memahami mengapa permohonan mereka tidak dapat diluluskan. Malang betul, banyak keluhan sekarang ini, Ketua Menteri Melaka amat mudah ditemui tetapi mereka yang terlibat dengan itu ini tidak dapat dijumpai dengan alasan sangat sibok. Perlu disimpan didalam hati, setiap dari kita bekerja untuk menyenangkan rakyat. Kalau rakyat ingin menemui tetapi amat sukar bagaimana pula dikatakan kita berkhidmat untuk rakyat.

Satu lagi yang perlu disimpan dalam hati adalah hidup kita perlu menyenangkan orang lain. Mungkin ini dikatakan berkorban. Setiap tugasan yang diberi jika ada hubungan dengan manusia perlu ikhlas. Kalau kita berkerja dengan ikhlas pasti akan menemui kejayaan. Sesaorang peniaga atau usahawan yang datang kepejabat samaada ingin memohon bantuan atau apa-apa sokongan perlulah diberi dengan segera tanpa ragu-ragu. Kalau boleh lebih cepat lebih bagus. Kalau mahu surat sokongan kalau boleh beri pada masa itu juga. Jika bantuan lain-lain yang melibatkan pihak ketiga juga perlu dihubungi pada masa yang sama. Ini dapat dilihat kita memberi kerjasama. Selalunya banyak orang ambil mudah setiap permohonan atau bantuan yang ingin dipohon. Kerapkali apa bantuan yang dipohon tidak dilayan dengan alasan nanti kalau dilayan jika permohonan berjaya, pemohon akan beroleh keuntungan yang banyak. Alasan ini diberi kerana ada perasaan tidak puas hati dan inginkan orang lain lebih susah dari mereka. Mereka kalau boleh tidak mahu orang lain senang. Niat begini tidak ikhlas. Dalam setiap pekerjaan, kita menjadi sangat puas jika pelanggan kita beroleh kejayaan dan dalam kehidupan pula kita merasa sangat bangga jika orang yang kita bantu menjadi senang atau kaya. Adalah amat membanggakan setiap yang dapat dibantu dapat berjaya dalam permohonan mereka.

Kerap kali juga dapat dibaca dalam surat kabar, ada badan tertentu membuat kenyataan yang banyak bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan tidak dimanfaatkan oleh rakyat. Lebih-lebih lagi bantuan pinjaman untuk perniagaan. Kalau dibaca sekali lalu seolah-olah ada logiknya. Apabila disemak sehingga ke akar umbi sebenarnya bukan tidak digunakan tetapi amat sukar untuk dipohon dan ada sahaja alasan yang diberikan. Semua permohonan akan ditolak setelah itu dan ini diminta. Badan ini amat gemar menyimpan duit dan mendakwa mereka mempunyai banyak wang tetapi tidak ada pemohon. Sebenarnya banyak yang memohon tetapi ditolak dengan berbagai alasan. Sebenarnya polisi kerajaan sangat jelas tetapi pelaksanaan sahaja yang menimbulkan masaalah. Badan ini lebih gemar mempunyai wang dan disimpan tanpa dibelanjakan. Sebenarnya duit perlu dibelanjakan untuk rakyat.

Setiap duit yang kerajaan belanjakan adalah untuk rakyat. Setiap sen yang kerajaan belanjakan secara berhemah adalah untuk manfaat rakyat. Duit yang kerajaan belanjakan tidak dibuang ke sungai sahaja tetapi untuk rakyat. Setiap program atau projek yang melibatkan makan minum juga untuk rakyat. Setiap jamuan atau makanan yang tersedia memberi manfaat kepada rakyat. Setiap makanan yang tersedia sudah tentu datangnya dari rakyat juga secara lansung. Kalau program dibuat dihotel atau dimana-mana sudah tentu melibatkan penyewaan atau pembelian. Ini sudah tentu akan memberi peluang perniagaan kepada rakyat. Hotel perlu disewa, kertas perlu dibeli dan layanan lain juga perlukan pembelian. Inilah yang disedari oleh kerajaan dan kerajaan berbelanja untuk rakyat.

Dasar kerajaan sangat baik. Ini telah dinyatakan dengan jelas. Apa yang menimbulkan masaalah adalah gulongan perlaksana yang tidak melaksanakan yang terbaik untuk rakyat. Akhirnya kerajaan yang dipersalahkan. Setiap dasar yang telah dipersetuji perlu dilaksanakan tanpa banyak kerenah. Kerajaan mahu rakyat hidup senang dan kepada setengah gulongan sudah bergerak dari senang kepada kaya. Pada setengah gulongan pula sudah berubah dari kaya kepada menjadi jutawan. Memang pada masa akan datang anak-anak kita perlu jadi jutawan dengan memiliki kapal terbang atau helikopter sendiri. Mungkin pada masa itu kepada yang memiliki kapal terbang atau helikopter sahaja digelar orang kaya. Rakyat Malaysia perlu bersedia kearah itu.

Hidup perlu banyak membantu orang lain dan menyenangkan orang lain. Kalau pun kita tidak mampu berkorban paling tidak kita perlu memudahkan kerja untuk menyenangkan orang lain. Ini perlu dilakukan dengan ikhlas. Jangan ada perasaan “kalau orang lain senang, macam mana pula dengan aku, kalau aku tidak boleh senang, lebih baik jangan bantu mereka” Kalau ada perasaan begini, adalah lebih baik kita jangan bertugas dalam agensi yang berkeinginan membantu kehidupan rakyat. Kepada mereka yang berkuasa selalulah beri masa kepada rakyat, jika rakyat ingin memohon sesuatu luluslah dengan segera tanpa banyak kerenah. Kalau ada SMS atau panggilan jawaplah seikhlas mungkin.Hidup perlu membantu orang lain barulah ada keikhlasan. Biar orang lain senang dahulu dan kita akan menyusul kemudian. Ini akan dapat dicapai jika kita bekerja kuat. Amalkan hidup atau budaya syok sendiri dan sentiasa berkeingin membantu orang lain untuk hidup senang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...