nuffnang ads

Wednesday 17 October 2012

DENGAR, SIASAT, FIKIR DAN CAKAP BARU HIDUP CEMERLANG.



Bercakap perlu dengan fakta dan tidak hanya berdasarkan kepada pemerhatian yang cetek sahaja. Banyak orang bercakap hanya berdasarkan kepada apa yang didengari sahaja tanpa berfikir dengan sempurna (dalam mahkamah amalan dengar dan cakap tidak boleh menjadi bukti). Bercakap sahaja sehingga orang memikirkan kita sangat pakar dalam sesuatu bidang dan akhirnya kita tidak dapat melakukan apa yang kita cakapkan adalah merupakan tabiat yang tidak baik (profesional). Cara yang terbaik dalam kehidupan adalah kita perlu menjadi pendengar yang sangat baik. Jangan terlalu banyak bercakap jika kita tidak mempunyai maklumat yang lengkap. Menjadi pendengar yang baik sangat memberi faedah dalam setiap aspek kehidupan tanpa batasan umur. Tanpa menjadi pendengar yang baik kita tidak mendapat maklumat yang lengkap dan tidak mendapat pengetahuan yang baru. Setiap kali aktiviti yang kita hadiri tidak mendapat menfaat jika kita tidak mendengar apa yang diperkatakan. Kita juga tidak memberi perhatian kepada ucapan pemimpin dan tidak memberi perhatian kepada ucapan penganjur atau ucapan perasmian. Akhirnya kita menghadiri sesuatu majlis hanya dapat makan sahaja menfaat lain hilang begitu sahaja. Mungkin kita juga mendapat bahan seminar tetapi tidak membawa banyak makna kepada kehidupan..

Setiap kali keputuan peperiksaan keluar, akhbar akan melaporkan kejayaan cemerlang pelajar dengan diikuti temubual dengan pelajar yang mendapat kejayaan luar biasa. Setiap kali temubual akan berakhir dengan pertanyaan yang sangat perlu “Bagaimana anda mendapat kejayaan yang begitu cemerlang?”. Ini akan dijawap oleh pelajar dengan mengatakan “Saya mendengar setiap patah perkataan yang dikatakan oleh cikgu saya”. Jarang yang kita mendengar mereka berkata menghadiri kelas tambahan, tusyen atau lain-lain yang telah mereka hadiri. Setiap yang berjaya akan berkata mereka mendengar setiap patah perkataan yang dicakap oleh cikgu mereka. Ini bermakna mendengar sangat penting.

Kemahiran mendengar bukan sahaja penting dalam dunia pembelajaran tetapi juga penting dalam kehidupan. Kita tidak akan berubah jika tidak mendengar sesuatu yang baru. Kita juga tidak ada kelainan dari masyarakat jika kita tidak mendengar dan akhirnya tidak berubah. Kemahiran mendengar perlu dijadikan kemahiran hidup dan amalan seharian. Kerap kita dapat melihat tidak dapat menfaat dari kehadiran dalam sesuatu majlis, keramaian, ceramah atau seminar jika kita tidak  mendengar dan datang untuk tidur lepas itu makan dan balik. Anak anak yang berjaya akan cuba sedaya upaya untuk memahami apa yang dipelajari didalam kelas. Mereka akan mendengar dengan tekun. Jika mereka gagal untuk memahami sesuatu fakta atau maklumat. Mereka akan segera bertanya. Kerap kali kita mendapati anak-anak tidak mahu bertanya setiap sessi pembelajaran berakhir. Ini kerana mereka tidak tahu apa yang ingin di tanya. Ini kerana mereka belum faham apa yang diajarkan. Itu sebab mereka tidak bertanya. Banyak alasan yang diberikan tidak faham kerana ingin memahaminya dirumah atau semasa sessi ulang kaji dirumah. Ini bukan tidak boleh tetapi adalah lebih baik proses pemahaman berlaku ketika sessi pembelajaran berlansung. Apa yang kurang boleh terus difahami segera atau ditokok tambah. Ini adalah proses pembelajaran yang terbaik bermula dari kemahiran mendengar yang baik. Adalah perlu kita melatih diri kita menjadikan kita mempunyai tingkah laku untuk mendengar apa yang diperkatakan.

Kemahiran kedua yang perlu ada adalah kemahiran menyiasat. Menyiasat ini bermakna kita perlu membaca buku, pergi perpustakaan, melawat sambil belajar, tanya kawan-kawan atau cikgu atau ibubapa dan melayari internet. Melawat sambil belajar adalah aktiviti yang sangat penting diamalkan. Semasa lawatan kita dapat melihat apa yang kita pelajari didalam kelas. Negeri Melaka adalah negeri yang kaya dengan sejarah. Apa yang dipelajari dalam fakta sejarah ada di Negeri Melaka. Melawat Melaka Bermakna Melawat Malaysia, Ini kerap diperkatakan. Apakah makna ungkapan ini. Ini bermakna apa yang ada di seluruh Malaysia boleh didapati di Melaka. Banyak fakta sejarah ada dalam negara kita yang perlu kita lawati dan ini lebih membolehkan kita memahami sejarah dengan lebih mudah. Semuanya telah kita lihat dan pernah berada didepan mata kita

Mempelajari sains dan teknologi lebih membuatkan proses penyiasatan menjadi sangat penting. Makmal adalah tempat menjalankan kerja penyiasatan yang sangat penting jika kita ingin memahami sains. Memahami sains juga sangat penting dalam zaman moden ini kerana setaip aspek kehidupan moden berasaskan sains. Ini kerana dari pengetahuan sains dikembangkan kepada keperluan kehidupan dan kadang-kadang dapat melahirkan inovasi. Ini yang dinamakan teknologi. Kerja penyelidikan sangat penting untuk membuktikan teknologi boleh digunakan untuk memudahkan kehidupan. Semua kerja-kerja penyelidikan memerlukan kerja ujian dalam makmal atau luar makmal. Sebelum sesuatu jumpaan dapat diterjemahkan untuk kegunaan kehidupan, ujikaji yang lengkap perlu dijalankan. Setiap ubatan sebelum digunakan untuk menyemboh penyakit perlu menjalani ujian dalam tempoh yang lama. Setelah itu barulah ubat dibenarkan berada di farmasi untuk dijual dan boleh digunakan untuk menyembohkan sesuatu penyakit. Setiap ujian, ujikaji makmal dan kerja lapangan adalah proses penyiasatan yang perlu dilakukan.

Kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk menyediakan kemudahan perpustakaan di peringkat kampong, daerah, negeri dan negara. Kemudahan perpustakaan juga perlu disediakan bermula di Tadika, Sekolah Rendah dan Menengah, Kolej Komuniti, Politeknik, Giat Mara dan Universiti. Kemudahan ini sangat perlu untuk menjadi pusat rujukan pelajar atau pelatih. Kita dapat melihat kemudahan perpustakaan yang sangat hebat dan canggih. Perpustakaan bukan sahaja mempunyai buku yang banyak tetapi mempunyai kemudahan berasaskan elektronik yang hebat. Jika pelajar atau masyarakat tidak menggunakan kemudahan yang tersedia ini adalah amat merugikan. Anak-anak sejak kecil lagi perlu dididik menggunakan kemudahan perpustakaan tidak kira perpustakaan masyarakat atau dipanggil perpustakaan komuniti. Mengggunakan kemudahan perpustakaan ada amalan yang baik dan satu kaedah penyiasatan untuk lebih memahami apa yang kita pelajari. Kerja penyiasatan akan membuatkan kita lebih memahami apa yang dipelajari. Bukan itu sahaja, kita dapat terus mengembangkan apa yang kita telah pelajari.

Berfikir adalah merupakan satu kemestian dan diperlu diamalkan. Setaip tindakan perlu difikirkan terlebih dahulu. Kita tidak boleh bertindak mengikut perasaan sahaja. Ada setengah gulongan membuat tindakan tanpa berfikir. Bukan semua tindakan tanpa berfikir tidak menghasilkan kebaikan tetapi adalah menjadi lebih tepat setiap tindakan perlu difikirkan. Orang yang berjaya akan memikirkan setiap tindakan secara mendalam. Ada juga yang memikirkan “Apakah tindakan mempunyai kebaikan dan Apa pula keburukanya?. Segala tindakan akan menjadi tepat jika telah difikirkan masak-masak lebih-lebih lagi jika keputusan yang diambil jika berlaku kesilapan akan menyebabkan kesan yang sangat buruk. Kadang-kadang kita tidak menyedari kepentingan berfikir. Kita akan menyesal setiap tindakan diambil dalam masa terburu-buru apabila keputusan tidak memihak kepada kita. Banyak proses membuat keputusan akan mengajak kita kerap berfikir  terlebih dahulu.

        
Kemahiran bercakap, berkomunikasi atau kemahiran menulis sesuatu adalah proses terakhir. Dalam peperiksaan, ini adalah satu kemahiran yang penting. Setelah kita mendengar, menyiasat dan berfikir. Kita perlu menjawap dengan tepat dalam peperiksaan. Kita perlu bercakap apa yang perlu kita cakapkan. Penulisan dan percakapan yang tepat adalah sesuatu yang sangat penting. Tidak guna kita memahami setiap yang diajar tetapi kita tidak boleh menjawap dengan baik dalam peperiksaan. Kerap kita mendengar anak-anak kita bercakap setelah balik peperiksaan “Adik tahu tetapi tidak boleh jawap”. Ini selalu kita dengar, tetapi apa guna kalau kita faham tetapi tidak boleh menyampaikan apa yang kita fahami?. Apa guna kita memahami sesuatu fakta tetapi tidak boleh diterangkan kepada mereka yang memerlukan?. Sebenarnya jika kita tidak mampu menyampaikan apa yang kita fahami, ini seolah-olah kita tidak memahami apa yang dikehendaki.

Kemahiran bercakap adalah perlu dengan tujuan meyakinkan sesaorang sesuatu pendapat. Kita perlu dilhat mempunyai kemahiran menyampaikan sesuatu. Kita juga perlu dilihat pandai berhujah. Kita juga perlu dilihat pandai meyakinkan sesaorang. Kita juga perlu dilihat sangat yakin dalam menyampaikan hujah. Kemahiran menulis juga sangat penting. Banyak yang dilakukan perlu ditulis samada melalui buku-buku, kertas kerja, laporan akhbar dan juga melalui persidangan. Adalah didapati banyak jabatan kerajaan telah berjaya dan telah melakukan sesuatu untuk rakyat. Banyak rakyat telah mendapat faedah dari perkhidmatan yang dilakukan tetapi tidak dilaporkan dengan baik. Setiap kejayaan perlu ditulis didalam laporan, web site dan juga didalam akhbar. Mahu tidak mahu, setiap yang dilakukan perlu ditulis supaya dapat diketahui oleh rakyat. Adalah malang setiap ‘succes stories” tidak dilaporkan. Mungkin ini dilihat seolah-olah tabiat masuk bakul dan mengangkatnya sendiri. Dahulu tabiat ini dilihat tidak begitu baik tetapi pada masa ini, jika ini tidak dilakukan, kita tidak akan kemana.Kejayaan perlu diberitahu kepada orang lain dengan kaedah yang betul dan bersesuaian.

Kemahiran dengar, siasat, fikir dan cakap perlu dijadikan amalan kehidupan samaada murid sekolah atau gulongan dewasa. Amalan ini amat baik dan akan membawa kejayaan kepada yang mengamalkannya. Setiap langkah tidak perlu dihafal tetapi perlu diamalkan sahaja. Kepada anak-anak ini merupakan amalan untuk mendapat kejayaan yang baik untuk kejayaan pembelajaran. Kepada meraka yang dewasa yang telah mempunyai karier akan mencapai kedudukan yang lebih baik dengan tindakan yang memberi menfaat yang baik. Kepada organisasi pula, amalan yang baik menjadikan organisasi menjadi sangat cekap dan akan menghasilkan tindakan yang amat baik dan berkesan. Walaupun amalan yang lain juga perlu diamalkan tetapi amalam dengar, siasat, fikir dan cakap adalah amalan yang sangat baik dan telah terbukti menghasikan kejayaan kepada individu dan juga organisasi seterusnya menjadi kejayaan kepada negara.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...