nuffnang ads

Thursday 11 October 2012

ANAK-ANAK SEKARANG LEBIH PANDAI.



Mempunyai pelajaran tinggi adalah suatu yang amat membanggakan. Ibubapa dahulu kerap mengaitkan pandai adalah dengan mendapat kelulusan yang tinggi, terbaik dan mampu mendapat pekerjaan yang baik seterusnya dapat hidup lebih senang. Kalau dulu ibubapa kerap berpesan yang pelajaran adalah harta untuk masa hadapan. Mereka kerap menyatakan tidak dapat meninggalkan harta yang banyak tetapi memberi pelajaran itu adalah harta yang diberikan kepada anak-anak supaya hidup senang. Pendapat itu masih lagi dipegang sampai sekarang. Kita akan mendapati ibubapa sanggup membelanjakan wang yang banyak supaya anak-anak mendapat kejayaan yang cemerlang supaya mendapat pekerjaan yang baik.

Anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan kerap sangat diberi lebih perhatian oleh ibubapa. Ibubapa juga telah merancang itu dan ini untuk anak-anak yang akan menghadapi pepe riksaan. Sekolah juga mempunyai perancangan yang rapi dengan kursus motivasi, khemah ibadah, majlis solat hajat, lawatan sambil belajar dan majlis  bacaan Yassin serta berbagai-bagai program pecutan pembelajaran dan pemahaman. Anak-anak juga sibuk dengan aturan pembelajaran. Balik dari sekolah perlu mengaji dan lepas itu mesti hadir kelas tusyen dan jika dianjurkan oleh pihak sekolah perlu hadir kekelas tambahan. Aktiviti ini tidak kira petang, malam atau hujung minggu. Anak-anak tiada berkuasa untuk menolak kecuali merungut keletihan sahaja. Ini jarang dipeduli oleh ibubapa. “untuk berjaya perlu ada pengorbanan” kata ibubapa. Untuk jadi pandai anak-anak perlu belajar. Tanpa pembelajaran atau kelulusan yang baik, gelap masa hadapan. Ibubapa pun tidak dapat menumpang kesenangan pada masa hadapan nanti. Begitulah anak-anak apabila ingin menghadapi peperiksaan supaya menjadi pandai.

Guru-guru terpaksa kerja kuat untuk membolehkan anak-anak murid mereka mendapat kelulusan yang cemerlang. Sekolah yang mendapat keputusan yang cemerlang akan mendapat pujian masyarakat dan juga pihak kementerian. Guru-guru merasa sangat gembira dengan apa yang dicapai dan merasa susah hati jika kelulusan tidak sebagaimana yang diharapkan. Ibubapa akan tersenyum riang gembira jika anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang. Setelah keputusan peperiksaan diumumkan, ibubapa pun tidak mengetahui samaada anak-anak mereka berjaya disebabkan pengajaran disekolah atau disebabkan anak-anak pergi ke kelas tusyen atau kelas tambahan. Sebenarnya itu semua tidak penting kepada guru-guru atau ibubapa, kelulusan cemerlang yang mereka idamkan, dari siapa atau sumbangan siapa, ini semua tidak penting. Ini adalah kebolehan anak-anak mereka dengan persediaan yang rapi. Ini adalah hasil usaha anak-anak mereka. Guru-guru akan menerima ucapan terima kasih. Tidak cukup lagi dengan bantuan pengajaran. Guru-guru akan memberi hadiah kepada yang berjaya. Banyak hadiah bukan dari pihak sekolah, kementerian atau PIBG tetapi pemberian peribadi guru. Ini adalah untuk menzahir kegembiraan guru terhadap usaha anak-anak murid sehingga mendapat keputusan yang sangat cemerlang. Sangat besar jasa guru  kepada anak-anak kita untuk pengetahuan ibubapa sekelian.

Seperti yang kita telah ketahui, sememangnya mereka yang pandai sahaja yang berjaya memasuki universiti. Universiti sememangnya tempat orang pandai belajar. Jika tidak pandai, tidak dipilih memasuki universiti. Pihak universiti juga selalu berkata “mereka memilih mereka yang pandai sahaja memasuki universiti mereka”, walaupun mengikut kamus dewan, universiti atau pusat pengajian tinggi bertindak memberikan ilmu dalam pelbagai bidang, menjalankan penyelidikan ilmiah dan menganugerahkan pelbagai peringkat ijazah. Universiti sepatutnya tempat memberi/mendapatkan ilmu dan tidak terhad kepada mereka yang pandai sahaja. Ini bermakna tapisan perlu dibuat semasa ingin memasuki universiti. Apabila berjaya memasuki universiti, kepandaian mereka telah mula diiktiraf. Universiti hanya merangka corak latihan yang menjurus kepada pekerjaan yang akan diceburi pada masa akan datang. Kebolehan pelajar dinilai dari segi menerimaan pembelajaran dan kemahiran serba serbi termasuk komunikasi. Ini adalah untuk mempastikan universiti mengeluarkan mereka yang terlatih dan taraf kebolehan sama sahaja. Ini kerana sememangnya mereka ini pandai.
Memiliki sekeping atau segulung ijazah adalah merupakan kebanggaan setiap individu. Sesaorang dikatakan pandai jika memiliki ijazah. Setiap keluarga amat mengidamkan semua anak-anak mereka mempunyai ijazah. Kalau boleh untuk memilih menantu juga memiliki ijazah supaya cerah masa hadapan. Kerajaan juga mengadakaan kempen untuk memperbaiki taraf hidup sesuatu keluarga dengan setiap satu keluarga mesti ada seorang yang memiliki ijazah. Kempen ‘satu keluarga satu graduan’ atau ‘satu keluarga satu profesional’ adalah usaha kerajaan untuk menggalakan setiap pelajar dibangku sekolah untuk belajar bersunguh-sungguh supaya berjaya memasuki universiti dan akhirnya mampu mempunyai ijazah.

Amat membanggakan jika ahli keluarga dapat menjejak kaki ke universiti. Keluarga yang anaknya berada diuniversiti tidak pernah berhenti bercerita yang anak mereka telah memasuki universiti.  Setiap keluarga percaya jika anak dapat memasuki universiti dan lulus akan mencerahkan kehidupan pada masa hadapan. Pada masyarakat pula mereka yang mempunyai ijazah patut dicontohi kerana kepandaian dan darjat akan diukur jika sesaorang berjaya memasuki universiti.

Memiliki ijazah sahaja tidak mencukupi jika tidak mempunyai kemahiran tertentu. Tujuan ke univeriti bukan sahaja untuk memiliki ijazah semata-mata tetapi perlu mempunyai pengetahuan. Setiap dari mereka yang layak memasuki universiti mesti berniat berada di universiti bukan setakat untuk mendapat sijil  sahaja tetapi untuk mendapat pengetahuan. Ini bermakna semasa berada diuniversiti perlu menggunakan masa sepenuhnya untuk menimba ilmu pengetahuan. Setiap kelas dan tutorial perlu dihadiri dan mendengar apa yang diperkatakan dengan tekun. Setiap pelajar harus menggunakan perpustakaan dengan sebaik mungkin. Perpustakaan ada sumber ilmu. Kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak untuk melengkapkan perpustakaan dengan berbagai kemudahan dan menyediakan buku yang mencukupi untuk setiap bidang yang ditawarkan.

Pengwujudan banyak institusi pengajian tinggi di negeri Melaka telah melambangkan negeri Melaka serius untuk menjadikan anak-anak Melaka pandai dan menjadi  penyumbang kepada ekonomi Melaka selain menyediakan modal insan untuk negara. Selain menyediakan infrastruktur pendidikan yang baik, kerajaan negeri Melaka juga telah menyediakan pinjaman wang pengajian tinggi untuk membiayai pembelajaran anak-anak negeri Melaka tidak mengira kaum.  Pada tahun 2007 seramai 874 orang Melayu, 89 orang Cina, 14 India dan 1 dari pelbagai bangsa telah menerima sebanyak RM 15,427,683,26 pinjaman pendidikan tinggi. Pada tahun 2008 pula seramai 706 Melayu, 55 Cina, 8 India telah menerima RM 13,675,155.00 pinjaman pendidikan tinggi dan pada tahun 2009 sebanyak RM 6,438,496.00  pinjaman telah dikeluarkan kepada 314 Melayu, 9 Cina, 5 India dan 1 orang dari kaum lain. Jumlah pinjaman yang besar ini telah banyak membantu anak-anak negeri Melaka untuk belajar yang diharapkan dapat menyumbang modal insan kepada negeri Melaka pada masa hadapan.
Pengiktirafan kepada mereka yang pandai tidak sahaja memberi pekerjaan tetapi yang lebih penting adalah mendapat menfaat dari kepandaian yang dimiliki. Apa yang kerap berlaku, mereka yang pandai diambil bekerja tetapi tidak diberi peluang untuk menunjukan kepandaian mereka. Kita perlu memberi peluang mereka ‘menunjuk pandai’. Masyarakat kita suka kepada mereka yang pandai tetapi tidak suka kepada mereka yang ‘menunjuk pandai’. Sebenarnya kita sangat memerlukan mereka yang mampu ‘tunjuk pandai’. Ini adalah kebolehan yang perlu diperhatikan dan beri peluang kepada mereka untuk mengubah kepada sesuatu yang baru dengan “tunjuk pandai’. Jika ada sedikit kesilapan, perlulah buat sedikit ubah suai supaya sesuatu yang lebih sesuai dapat diperolehi. Kita patut beri peluang kepada anak-anak muda yang pandai supaya lebih berkreativiti. Cara lama mungkin tidak sesuai untuk digunakan selamanya. Pada satu ketika perlu diubah suai mengikut kehendak semasa. Ini hanya dapat diperhatikan melalui pemikiran mereka yang pandai.
Negara sangat memerlukan mereka yang pandai untuk membina negara pada masa hadapan. Mereka adalah harapan kepada negara kerana mereka adalah otak kepada negara. Kalau boleh kita mahu di negara kita mempunyai 40% rakyatnya mempunyai ijazah atau kelulusan yang lebih tinggi yang diiktiraf sebagai pandai. Mereka yang bijak pandai akan membawa perubahan tekonologi negara pada masa akan datang. Kemajuan teknologi yang sangat pesat dan berkembang dengan pantas perlu digunakan untuk membangunkan negara. Kemajuan sesuatu negara akan dinilai dari segi penggunaan teknologi terkini. Kita lihat sahaja teknologi yang ditunjukan/digunakan oleh negara barat, teknologi mereka sangat terkehadapan seperti yang sering ditunjukan dalam tv setiap hari. Hakikat sebenarnya teknologi yang dijumpai/direka adalah untuk digunakan bukan bahan tuntunan sahaja. Jika ini tidak diambil kisah, negara tidak akan membangun. Setiap pembangunan/penggunaan teknologi akan memberi impak kepada ekonomi rakyat dan negara. Ini adalah sangat baik untuk sebuah negara untuk terus maju.
Usaha kerajaan yang telah menyediakan kemudahan pendidikan dan telah diberi penekanan oleh keluarga telah menjadikan anak-anak kita lebih pandai. Kalau dulu sesiapa yang memiliki  ijazah sarjana dan kedoktoran sudah rasa cukup pandai dan telah memegang jawatan tinggi. Setiap orang akan memberi penghormatan kepada mereka. Mungkin benar tetapi dengan perkembangan teknologi terkini pandai dengan mempunyai ijazah satu yang benar tetapi apabila berkata berkenaan pemahaman teknologi terkini lebih-lebih lagi dengan dunia siber yang telah menakluki dunia telah kelihatan mereka yang berijazah tinggi juga kelihatan sudah ’tidak pandai’ lagi. Ini perlu kita akui dan sedar jika dalam sesuatu hal yang terkehadapan perlulah anak-anak kita lebih pandai dari kita. Mereka akan hidup dalam cabaran yang begitu tinggi dalam dunia mereka. Mungkin pada masa hadapan mendapat ijazah juga sudah tidak pandai. Masa hadapan mereka yang berpegetahuan sangat diperlukan dan telah terbukti mereka yang berkemahiran dan tidak pandai lebih berjaya dalam kehidupan dari segi ekonomi. Masing-masing mempunyai peranan masing-masing. Apa yang lebih penting adalah kita terus memajukan negara dengan kepandaian, kebijaksaan, berkemahiran, berpengetahuan, berdisiplin, memandang kehadapan dan sedia menghadapi cabaran. Kita perlu sentiasa mempunyai niat untuk anak kita menjadi lebih pandai dari kita daan lebih berjaya dari kita pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...