nuffnang ads

Thursday 18 October 2012

HOTEL DI MELAKA PENUH DENGAN SENYUMAN.



Melaka mendapat pujian kerana mampu menarik ramai pelancong samada dalam dan luar negara. Ini kerap dilaporkan di dalam akhbar. Banyak yang datang ke negeri Melaka tidak merungut kerana tidak seperti kata-kata dahulu ’indah khabar dari rupa’. Tiada masa yang terluang kalau berada di Melaka baik siang atau malam. Ada sahaja yang perlu dilakukan. Banyak juga yang merungut kekurangan masa jika berada di Melaka 2 malam 3 hari kerana tidak sempat melawat semua tempat dan tidak sempat untuk merasai makanan yang sedap yang dijual di negeri Melaka. Selepas balik banyak pelancong akan datang lagi ke negeri Melaka untuk menikmati ’Melawat Melaka Bermakna Melawat Malaysia’.

Negeri Melaka sememangnya merancang untuk menarik 9 juta pelancong melawat ke negeri Melaka pada tahun 2010 yang lepas. Kerajaan telah menyediakan banyak produk pelancongan yang perlu dilawati oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Jumlah produk pelancongan bertambah setiap masa disamping kerajaan juga menyediakan promosi tempat-tempat baru yang perlu dilawati. Pada tahun 2009 sahaja seramai 8,905,273 pelancong telah datang ke negeri Melaka yang mana kenaikan 23.59% % kenaikan dari tahun 2008. Dari jumlah ini,  7,293,762 terdiri pelancong domestik dan 1,611,511 pelancong luar negara. Bermacam-macam produk dan kemudahan pelancong telah disediakan untuk memastikan pelancong bergembira dan  mendapat keselesaan sepenuhnya apabila berada di Negeri Melaka. Pada hujung minggu Negeri Melaka penuh sesak dengan pelancong dalam dan juga luar negara terutama di kawasan tapak warisan dunia di Banda Hilir.

Pada masa tertentu tempat penginapan juga tidak mencukupi walapun pada masa ini Melaka mempunyai 99 buah hotel berbagai bintang yang mempunyai 5,702 bilangan bilik, 21 buah resort dengan 3,798 bilangan bilik, 6 buah homestay dengan 174 buah bilik, 48 buah chalet dengan 496 buah bilek dan 12 buah apartmen/asrama/rumah tumpangan yang mempunyai 488 buah bilek. Jumlah pelancong yang ramai akan membolehkan banyak barangan buatan Melaka terjual dan juga memberi peluang pekerjaan kepada penduduk Melaka. Perniagaan juga bertambah maju yang membolehkan penduduk Melaka menjual berbagai jenis makan dan cenderahati. Ini telah memberi banyak keselesaan kehidupan kepada penduduk negeri Melaka. Kedatangan pelancong sebanyak ini telah membanggakan rakyat Melaka seterusnya telah menyumbang sebanyak RM 11,200 juta  kepada ekonomi negeri Melaka dengan sumbangan 70.10% dalam sektor perkhidmatan.

Berbagai pihak telah memberi sumbangan yang besar kepada industri pelancongan di negeri Melaka. Negeri Melaka sangat terkenal dengan kebersihanya. Kebersihan bandaraya Melaka sangat mengkagumkan.“Sememangnya Melaka negeri yang bersih dan terbersih di Malaysia”. Kata-kata ini kerap didengar. “Bukan bandar sahaja yang bersih, kampung juga bersih”. Ini kata-kata mereka yang balik kampung setiap hujung minggu. Tahniah kepada rakyat negeri Melaka. Pujian ini sangat bertepatan dengan status negara maju dan akan menuju negeri bandar (city state) selepas ini. Sistem angkat sampah berjadual dan tindakan pihak majlis perbandaran  yang lain melantik kontraktor kecil menjaga setiap kawasan dan jalan adalah gerak kerja/pendekatan yang  sangat baik. Rakyat ingin melihat perkhidmatan ‘value for money’. Rakyat tidak lokek/berat untuk membayar kalau perkhidmatan yang setimpal akan dapat diberikan. Ini telah dibuktikan di negeri Melaka. Perkhidmatan yang didapati sangat ‘value for money’. Setiap persimpangan telah dihias indah samaada siang atau malam. Sepanjang jalan telah ditanam dengan pokok-pokok yang cantik dan dijaga dengan baik. Sampah berlonggok  atau bersepah yang tidak diurus dengan baik amat jarang kelihatan sepanjang jalan dan tepi jalan juga tidak semak samun lagi seperti yang terdapat disetengah-setengah negeri. Slogan “Melaka Bersih Dan Indah” yang tercatit apabila menghampiri  persimpangan Seri Negeri amat bertepatan dengan kebersihan yang kita lihat, diamalkan dan disediakan. Melaka mengamalkan “cakap serupa bikin”. Apa yang dicakap dilaksanakan dan dapat dilihat dengan mata. Inilah yang dikehendaki oleh pelancong apabila datang ke negeri Melaka.

Rakyat negeri Melaka harus terus memberi kerjasama kepada kerajaan untuk terus menarik pelancong datang ke negeri Melaka. Rakyat harus faham dengan ramainya pelancong datang ke negeri Melaka akan memberi sumbangan ekonomi yang sangat berfaedah dan akan menaikan pendapatan setiap rakyat negeri Melaka. Ini adalah manfaat yang besar untuk rakyat negeri Melaka jika difahami. Setiap sen yang dibelanjakan adalah sumbangan kepada ekonomi samaada secara terus atau tidak. Setiap pelancong yang datang bermalam di negeri Melaka sudah tentu akan membayar harga penginapan, makan, hiburan dan juga membeli belah. Ini adalah antara faktor penting kerajaan negeri membuat sesuatu yang terbaik untuk pelancong. Setiap wang dibelanjakan untuk infrastruktur adalah untuk manfaat rakyat dan pelancong juga.

Sumbangan yang sangat besar selain dari produk pelancongan adalah perkhidmatan yang diberi oleh hotel-hotel seluruh negeri Melaka tidak kira berap bintang yang hotel miliki. Sebenarnya perkhidmatan yang telah diberikan oleh warga hotel di negeri Melaka patut dipuji. Tiada yang merungut berkenaan perkhidmatan di hotel. Ini dapat dilihat dari segi kebersihan dan juga perkhidmatan. Kita dapat melihat kecekapan mereka bertugas dan mutu perkhidmatan sama seperti perkhidmatan hotel lima bintang diluar negara. Lihat sahaja perkhidmatan dari ‘front desk’ dan penjaga parking kereta layanan ditempat makan dan minum semuanya penuh dengan senyuman dan amat menghormati pelancong samaada dalam dan luar negara. Semua mereka berpakaian kemas dan sentiasa ingin memberi bantuan dan sangat berpengetahuan berkenaan produk pelancongan yang di miliki di negeri Melaka. Menurut seorang kawan yang menginap di beberapa hotel di negeri Melaka semasa bercuti bersama keluarga, semuanya berpuas hati dengan perkhidmatan hotel. Menurut mereka, apa sahaja yang ditanya semuanya akan di bantu dengan tepat lebih-lebih lagi kalau bertanya berkenaan tempat pelancongan yang ingin dikunjungi. Tahniah kepada pekerja hotel di negeri Melaka. Negeri Melaka berbangga mempunyai warga hotel yang serba cekap dan sememangnya tahap perkhidmatan sudah menepati kehendak negara maju.

Negeri Melaka sangat berbangga dengan kemampuan perkhidmatan yang telah diberikan. Semua warga hotel di negeri Melaka harus terus memberikan perkhidmatan yang terbaik pada masa akan datang. Pada tahun 2011 adalah dijangkakan seramai 12 juta pelancong akan datang ke negeri Melaka. Jumlah hotel sememangnya tidak mencukupi paling tidak jumlah yang ada ini akan terus menjadi daya penarik untuk ramai lagi pelancong datang ke negeri Melaka. Berikan senyuman yang terbaik kepada mereka supaya mereka akan datang lagi bersama lebih ramai saudara mara dan rakan-arakan untuk melancong ke negeri Melaka pada masa hadapan.

Slogan “Melawat Melaka Bermakna Melawat Malaysia” telah benar-benar menarik pelancong ke negeri Melaka. Satu ketika dahulu, kerap kedengaran usikan yang mengatakan “Apa yang ada kalau datang ke negeri Melaka?”. Ada bukit telah diberi pada Cina (Bukit Cina yang dirujuk). Ada pula tanjung diberi pada Keling (Tanjung Keling dirujuk). Ada kampung di beri pada Jawa (Kampung Jawa dirujuk). Bermacam-macam lagi usikan yang kadang-kandang mengelikan hati. “Melaka, apa yang tinggal?”. Durian pun tinggal sebatang kerana mereka mengusik kawasan Durian Tunggal. Ada pun tinggal Batang Melaka dan yang akhir tinggal Tiang Dua. Usikan ini sudah jarang kedengaran. Segalanya bermula di Melaka dan Melawat Melaka Bermakna Melawat Malaysia. Slogan ini serius telah dibuktikan. Melaka mempunyai Hang Tuah Jaya sama seperti Putrajaya. Melaka mempunyai Melaka Sentral (station bus berhawa dingin yang pertama di Malaysia). Melaka mempunyai Melaka International Trade Centre (MITC) sama seperti Putra World Trade Center (PWTC). Melaka mempunyai “River Cruise of Melaka” sama seperti “River Cruise of Paris”. Ini tidak dimiliki oleh negeri lain di Malaysia.  Melaka mempunyai menara berputar Taming Sari yang tidak di miliki oleh negeri lain di Malaysia juga. Produk terbaru untuk memudahkan pelancong menikmati sungai Melaka, kerajaan telah membina ‘monorail’ di tepi Sungai Melaka untuk kemudahan pelancong. Banyak lagi produk pelancongan dalam tahap pembinaan dan yang paling besar adalah Perkampungan Hang Tuah di Duyung. Projek ini sudah mendapat peruntukan dari kerajaan pusat dan dalam proses perangkaan untuk proses pembinaan.

Melaka telah maju dan seterusnya Melaka akan Negeri Bandar Berteknologi Hijau pula. Setiap pengunjung  apabila memasuki sahaja  negeri Melaka melalui Lebuhraya Utara Selatan selepas membayar tol di susur keluar Ayer Keroh akan merasakan seolah-olah berada disebuah kawasan yang baru (ada yang kata “macam berada diluar negara”). Sememang sangat mengkagumkan dengan lanskap yang cantik dihiasi dengan pokok bunga yang sangat segar dan terjaga serta berlatar belakangkan ribuan lampu yang berkilauan. Kacantikan ini seolah-olah mengucapkan selamat datang ke negeri Melaka Ini menyebabkan negeri Melaka menjadi tempat tarikan pelancong. Untuk pelancong dari dalam negara. Mereka bukan datang sekali sahaja tetapi akan datang lagi dalam tempoh yang terdekat.

Tahniah kepada kerajaan negeri Melaka. Semuanya telah tersedia dan terpulang kepada rakyat untuk memainkan peranan kita sendiri. Tidak guna banyak produk jika pelancong tidak datang. Tidak guna ada kemudahan restoran tetapi tidak ada orang datag makan. Tidak guna mempunyai hotel yang sangat membanggakan jika pelancong tidak datang bermalam. Semua produk ini perlu diisi dengan tenaga manusia yang ada. Sudah tentu tenaga manusia ini perlu memberi perkhidmatan yang terbaik. Warga hotel telah memainkan peranan mereka. Perkhidmatan mereka telah sampai kepada tahap yang membanggakan. Hotel juga telah dihias indah dan hanya menunggu pelancong sahaja. Sudah sampai masa warga kerja lain pula memberikan perkhidmatan mereka jika ingin terus menyayangi negeri Melaka. Warga hospital perlu terus memberi senyuman, warga restoran ikan bakar perlulah memberi perkhidmatan dengan senyuman supaya tetamu tertarik disamping kebersihan dan hidangan yang lazat. Warga pemandu teksi dan bas perlu menyediakan perkhidmatan penuh dengan senyuman disamping kebersihan teksi, bas dan beca. Perkhidmatan perlu mengikut jadual dan memberi perkhidmatan dengan cekap. Warga muzium juga perlu memberikan perkhidmatan dengan seuyuman, muzium juga adalah antara daya penarik utama ke negeri Melaka. Perkhidmatan terbaik yang telah diberikan perlu diteruskan. Muzium telah menyebabkan suasana pelancongan negeri Melaka terus meriah. ‘Tanpa muzium, apalah yang ada di negeri Melaka’ kata-kata dari ramai datang khasnya untuk menikmati muzium di negeri Melaka. Warga muzium telah memberi perkhidmatan yang terbaik. Melaka bangga mempunyai warga muzium yang sangat cekap.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...