nuffnang ads

Saturday 13 October 2012

BERHARI RAYA DI LONDON, SCOTLAND DAN PANTAI KUNDUR.



Semasa kecil, bapa kerap memberi galakan belajar bersungguh-sungguh supaya berjaya belajar sehingga ke 'England Tanduk'. Tidak tahu kenapa abah berkata perkataan 'England Tanduk'. Mungkin belajar sampai ke satu tempat yang sangat jauh hingga tidak mampu dicapai. Ini kerana ada peribahasa Melayu yang berbunyi 'Kuching Bertanduk'. Peribahasa ini membawa makna sesuatu yang tidak akan terjadi atau amat sukar terjadi. Memanglah kucing tidak akan bertanduk, kalau rusa sememangnya bertanduk dan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk rusa bertanduk. Begitulah jauhnya England kepada seorang yang berasal dari Pantai Kundur Tanjung Keling Melaka ketika itu. Tidak diketahui ada ke tidak anak Pantai Kundur belajar sampai ke England ketika itu?. Kalau ada pun sudah tentu satu kampung mengetahuinya. Maklumlah suasana kampung, jika masuk universiti ketika itu sudah menjadi bahan cerita seluruh kampung. Rasanya pada tahun 60an tidak ramai anak Pantai Kundur yang berjaya belajar sehingga ke England. Kalau ada pun seorang yang belajar sehingga ke New Zealand, seluruh kampung amat mengkaguminya dan kerap menjadi kebanggaan seisi kampung, malangnya beliau telah dibunuh semasa kes BMF di Hong Kong sekitar tahun 80an..

Berkat doa ibu bapa dan peluang yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia, London tidak jauh sebenarnya. Bukan sahaja ditawar belajar ke England di United Kingdom tetapi dapat menyambung pengajian peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran di University of Dundee Scotland United Kingdom. Agak jauh Dundee dari London. Kalau menggunakan penerbangan perlu terbang selama 1 jam ke Aberdeen dahulu dan ambil kapal terbang kecil lagi 30 minit. Dundee mempunyai lapangan terbang kecil sahaja seperti Batu Berendam dahulu. Sekarang Lapangan Terbang Batu Berendam sudah besar dan pesawat besar telah boleh mendarat. Jika menaiki keretapi, satu penggangkutan popular di United Kingdom selama 6 jam menggunakan keretapi laju kelajuan 225 km/j dan kalau menggunakan perkhidmatan bas express selama 10 jam dengan beberapa perkhidmatan yang perlu singgah di Glassgow. Bandar-bandar seperti Dundee, Aberdeen, Glassgow dan Edinburg adalah bandar-bandar besar di Scotland. Kesemua bandar-bandar ini pernah didengari dari kawan-kawan yang menyambung pelajaran selepas diploma dahulu. Hanya beberapa tahun selepas itu sahaja kesemua bandar-bandar ini telah dapat dikunjungi bukan sahaja berjalan-jalan bersama keluarga tetapi tempat membeli belah apa bila menyambut hari raya semasa berada di Scotland satu ketika dahulu.

Menyambut hari raya jauh diperantauan bukan sesuatu yang menyeronokan tetapi perlu dihadapi dengan penuh ketabahan kerana tidak ada pilihan lain. Kepada yang mempunyai wang dan berkeluarga kecil atau masih single, ramai  yang akan balik ke kampung halaman walaupun sekejap di hari raya. Kepada yang berkeluarga besar dan yang membuat penyelidikan di universiti, tidak boleh balik berhari raya  kerana hari raya aidil fitri  bukanlah hari bercuti seperti di Malaysia kecuali jika hari raya jatuh pada hari Sabtu dan Ahad. Setiap kali persediaan hari raya hanya kecil-kecilan sahaja. Masyarakat orang kulit putih di Scotand tidak berapa faham berkenaan hari raya, walaupun banyak orang Muslim disana tetapi mereka tidak ambil peduli. Kerap kali selepas sembahyang hari raya di masjid orang Pakistan, majlis kunjung mengunjung juga berlaku seperti di Malaysia. Banyak keluarga akan menyediakan kueh mueh, ketupat dan rendang. Jika diambil kira dari masakan sama sahaja seperti menyambut hari raya di Malaysia. Kadang-kadang kunjungan banyak kawan-kawan lebih meriah dari di Malaysia. Sangat meriah dengan bermacam-macam majlis di adakan. Walaupun begitu tidaklah semeriah berhari raya di Pantai Kundur. Walaupun rumah tidak sebesar mana dengan persiapan yang juga tidak sebesar mana tetapi kemeriahan dari kunjungan sanak saudara dan juga adik beradik sangat rasai. Apa yang sangat kurang adalah kehadiran adik beradik dan berada disisi emak dan ayah di hari raya. Walaupun semasa berhari raya di Pantai Kundur ini tidak sangat dirasai kerana sudah lama berada dalam situasi ini kerap kali ini jarang diberi perhatian tetapi apabila berhari raya di luar negara, keadaan ini sangat dirasai. Kehadiran ramai saudara mara dan tradisi balik kampung dan berkumpul dihujung Ramadhan dan di pagi syawal adalah sangat dirasai. Untuk mengubat kerinduan ini kawan-kawanlah dianggap seperti adik beradik. Walaupun banyak yang dilihat tidak berapa sentimental dan agak ada kekuatan ketika berada diluar negara, akan menitis air mata juga apabila sampai di pagi raya. Lagu-lagu hari raya yang dikirim dari Malaysia dan juga laungan takbir hari raya adalah yang menyebabkan Malaysia adalah negara yang tercantik dan perlu berada di negara ini setiap menyambut hari raya. Besar sungguh tarikan berhari raya di kampung halaman. Ramai juga kawan-kawan yang telah biasa berhari raya di peratauan dan juga diluar negara yang menyatakan kesedihan tetapi tidak banyak pilihan. Hidup perlu menghadapi keadaan ini semua. Bukan senang untuk mencapai cita-cita besar. Inilah yang dikatakan pengorbanan.

Berada diluar negara, keseronokan membeli belah adalah sesuatu yang sangat diminati. Seperti juga di Malaysia membeli belah pakaian ada sesuatu yang sangat penting untuk meraikan hari besar. Walaupun suasana tidak sesibuk Jalan Bunga Raya jika di Melaka pada satu ketika dahulu dan Jalan Tuanku Ab.Rahman jika di Kuala Lumpur sehingga kini atau kemeriahan Pekan Rabu di Kedah tetapi masyarakat Islam di Dundee juga membeli belah. Masyarakat Pakistan juga seperti rakyat Malaysia menyambut hari raya dengan kueh mueh dan pakaian baru. Memandangkan jumlah masyarakat Islam tidak ramai ketika di Dundee kemeriahan semasa persiapan hari raya tidaklah dirasai sangat. Keseronokan hanya dapat dirasai apabila berjumpa rakan-rakan dari Malaysia. Kerap kali bercerita keseronokan berhari raya di kampung halaman dan ketika berada di Malaysia. Ramai juga yang tidak tahan dengan panggilan syawal dan ramai yang akan terbang balik menjelang beberapa hari menyambut hari raya. Ramai yang tidak ada perancangan untuk balik tetapi akan balik juga apabila hari raya semakin hampir. Panggilan kampung sangat kuat. Sesungguhnya sambuatan hari raya di rantau orang bukanlah sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu tetapi tidak ada banyak pilihan kerana perlu berada disitu pada ketika itu.

Menerima kad raya bukanlah sesuatu yang penting ketika berada di tanah air. Kerap kali apabila menerima kad, hanya perlu melihat sedikit kata-kata dan siapa pengirimnya. Kalau rajin akan membalas setiap kad. Kalau tidak rajin biarkan sahaja dan akan di balas ditahun hadapan. Begitulah setiap tahun. Kehadiran kad dan ingatan kawan-kawan sangat dihargai ketika berada di luar negara. Setiap pagi menjelang hari raya dan akhir bulan Ramadhan sudah tertunggu tunggu kad ucapan hari raya. Kehadiran kad raya ke dalam peti surat rumah amat dihargai setiap pagi. Kad akan dibaca berkali-kali dan digantung disudut ruang tamu rumah. Walaupun bukanlah mudah untuk mendapatkan kad hari raya ketika berada di Dundee. Balasan kad akan dibuat dengan kad 'seeson greting' sahaja. Sememangnya kad ucapan raya sangat dinanti-nantikan setiap isi keluarga. Kalau boleh semua keluarga di kampung diminta untuki menghantar kad ucapan hari raya. Kalau boleh biarlah kad yang ada gambar dan kalau yang berbunyi lagi mengembirakan. Begitulah pentingnya ingatan melalui kad jika berada diluar negara.

Selang beberapa tahun setelah balik ke tanah air, rezeki agak murah. Mungkin setelah bekerja kuat, rezeki agak bertambah. Agak terasa pula untuk beraya diluar negara. Ketika itu keluarga  telah bertambah besar dengan kehadiran 2 anak, 1 cucu dan 1 menantu. Keluarga telah merancang untuk menyambut hari raya di Kota London pula. London bukanlah kota yang agak asing. Kerap kali juga berhari raya di London semasa berada di Dundee dahulu. Setelah puas dengan beraya di Dundee, ada beberapa tahun menyambut hari raya di London. Suasana hanya meriah setelah menunaikan sembahyang hari raya di Malaysian Hall sahaja. Selepas itu suasana agak sunyi. Mungkin kerana tidak banyak kawan ketika berada di London ketika itu. Kali ini agak berlainan. Sambutan hari raya di Kota London dengan kehadiran semua ahli keluarga. Sampai sahaja di London seperti biasa mesti membeli belah dahulu. Setiap ahli keluarga mempunyai minat dan barangan yang tertentu yang perlu dibeli. Seperti orang lain Oxford Street akan menjadi tumpuan dan kerap kali berkunjung ke London memang sengaja akan menempah hotel sekitar Oxford  Street dan Hyde Park sahaja. Ini kerana kawasan ini mempunyai semua kemudahan dari segi makanan dan juga pusat membeli belah. Seisi keluarga amat gembira berada disekitar daerah ini setiap kali berkunjung ke London. Semuanya merasa gembira kerana semua ahli keluarga berada disisi. Awal pagi semua ahli keluarga telah menaiki teksi London berwarna hitam untuk ke Malaysia Hall untuk bersembahyang hari raya. Seperti tahun-tahun yang lepas, Malaysian Hall memang telah menjadi tumpuan. Ramai kenalan yang masih belajar dan beberapa kenalan yang juga ke London untuk menyambut hari raya bersama keluarga di temui selepas sembahyang hari raya. Masing-masing hanya melepaskan kerinduan dengan kawan kawan. Dapat didengari jeritan dan tangisan kegembiraan antara mereka. Itulah hakikatnya berkawan dan merekalah yang menjadi penawar ketika kesedihan dan merekalah juga tempat menzahirkan kegembiraan. Setiap dari mereka pasti ingin menyambut hari raya di kampung halaman di tahun-tahun mendatang. Pihak Malaysian Hall ada menyediakan juadah hari raya dan persiapan yang rapi untuk kunjungan rakyat Malaysia ke London. Walaupun banyak juadah yang sama seperti di Malaysia tetapi tidaklah seenak berada ditempat sendiri. Hujan emas di rantau orang tidak sama seperti hujan biasa ditempat sendiri. Tidak banyak dapat dilakukan selain melawat tempat menarik sekitar London pada hari raya. Ada niat hati nak berkunjung rumah kawan-kawan disekitar London, tetapi terasa agak berat takut-takut mereka susah balik ke Malaysia atau tidak diterima dengan hati terbuka walaupun di hari raya. Lebih baik bergembira bersama anak-anak, cucu dan menantu dengan melihat Kota London walaupun telah datang berkali-kali. London sememangnya sebuah kotaraya yang tidak jemu dikunjungi. Walaupun London tidak banyak berubah dari segi pembangunan tetapi isi kotaraya London berubah setiap saat. London adalah kota yang tidak jemu dikunjungi tetapi tidak untuk berhari raya.

Pantai Kundur semangnya ada kepuasan untuk berhari raya kepada anak kampungnya. Kunjung mengunjung sudah bermula dari selepas subuh lagi. Kemeriahan sudah dirasai sejak petang hari raya lagi. Anak-anak Pantai Kundur tidak akan melepaskan peluang untuk bersama keluarga di pagi hari raya. Suasana kampung di hari raya sangat dirasai di Pantai Kundur. Suasana mereka  yang berdedai-dedai berjalan kaki untuk mengunjungi sanak saudara  yang lebih tua dapat dilihat sehingga sekarang dan tidak pernah berubah sejak awal tahun 60an lagi. Anak-anak berpakaian Baju Melayu lengkap bersongkok dapat dilihat datang kesetiap rumah adalah tradisi anak-anak Pantai Kundur. Semangat ini tidak pernah berubah walaupun taraf hidup penduduk Pantai Kundur telah jauh berubah. Sekarang ini setiap rumah di Pantai Kundur telah mempunyai kereta sendiri dengan keadaan rumah yang jauh lebih cantik tetapi semangat Pantai Kundur tidak pernah berubah. Kalau dahulu mereka balik kampung dengan menaiki bas atau teksi, sekarang ini hampir semua pulang ke kampung berbangga dengan kereta buatan Malaysia. Banyak anak Pantai Kundur telah berjaya dalam karier masing-masing. Pantai Kundurlah tempat hati kerap terpaut walaupun dimana berada.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...