nuffnang ads

Friday 19 October 2012

KALAU SENANG KATALAH SENANG TIDAK PERLU BERBOHONG



Senang adalah mudah, tidak ada kesulitan (perkara yang susah-susah), tidak ada yang menyusahkan. Senang juga membawa makna suka, mesra, berasa puas (enak, nyaman, gembira), rehat, bahagian hidupnya, tidak susah atau melarat. Senang cakap mudah memperkatakan sesuatu tetapi mengerjakanya (mengusahakanya) belum tentu. Senang hati adalah berasa puas (gembira). Senang lenang adalah berbahagia sekali hidupnya, sentiasa senang. Senang sentosa pula sentiasa dalam aman bahagia. Bersenang atau bersenang-senang adalah berbuat sesuatu dengan senang hati (supaya senang) atau berehat-rehat atau bersuka-suka. Bersenangkan, bersenang-senangkan ialah melepaskan lelah atau berehat. Menyenangi pula berasa senang (gembira) akan, suka akan dan menyukai. Menyenangkan adalah menjadikan mudah (tidak susah), memudahkan, melicinkan (perjalanan), menggembirakan, menyukakan hati, mendatangkan rasa senang, menyamankan, mententeramkan perasaan atau fikiran, memuaskan. Kesenangan adalah perihal senang, kegembiraan, keenakan dan kepuasan.

Senang dalam kehidupan bermakna mudah berbelanja dan tidak susah dalam kehidupan. Pendapatan atau duit yang ada mencukupi untuk kehidupan dan tidak menyusahkan orang lain. Kesenangan adalah apa yang dicari dalam kehidupan. Semua orang berkerja kuat untuk mencari kesenangan diri dan keluarga. Sejak kecil lagi setiap ibubapa akan menasihati anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh supaya apabila besar nanti akan hidup senang. Itu pasal ibubapa hantar anak-anak belajar setinggi yang boleh supaya anak-anak hidup senang. Ada ibubapa yang berpesan kepada anak-anak, mereka tidak meninggalkan kesenangan harta. Pendidikan atau pelajaran yang mereka terima adalah harta untuk kesenangan untuk masa hadapan. Bolehlah dibuat kesimpulan semua dari kita mengejar kesenangan masa hadapan. Inilah yang telah dibisikan oleh ibubapa dan juga keadaan persekitaran. Kejayaan ibubapa adalah mengira samaada anak-anak memperolehi kesenangan atau tidak. Jika anak-anak senang dan tidak lagi bergantung harap kepada keluarga adalah dikira sangat baik. Ibubapa akan mula bercerita kebanggaan mereka dalam perbualan seharian.

Apakah yang boleh kita lihat jika sesaorang itu senang?. Sama juga seperti maju atau kaya. Tidak ada sijil yang memberi pengiktirafan kepada pencapaian maju, kaya atau senang. Kesenangan akan dilihat dari pencapaian kehidupan dan apa yang dimiliki. Kesenangan juga bergantung kepada persekitaran, masa atau kehendak. Kalau dahulu setiap seorang dikatakan senang jika mempunyai cukup makan, cukup pakai dan mempunyai tempat berteduh atau rumah yang mencukupi. Apabila zaman beredar kesenangan memerlukan makan yang mencukupi, sebuah rumah dan kenderaan untuk ketempat kerja dan memudahkan keluarga bergerak. Kalau dahulu memiliki kenderaan kerana keperluan tetapi sekarang memiliki kenderaan untu keselesaan dan sedap di pandang. Sekarang ini dikatakan senang kalau memiliki rumah yang selesa, kereta yang selesa, boleh berbelanja dengan selesa dan boleh makan juga dengan selesa. Pada masa akan datang besar kemungkinan sesaorang dikatakan senang jika memiliki sebuah rumah atau kapal terbang. Itu bergantung kepada masa dan kedaaan.

Sebenarnya kehidupan sekarang sudah senang. Kita lihat hampir semuanya telah mampu memiliki kenderaan sendiri dan rumah sendiri. Kesenangan juga dapat dilihat dari jumlah mereka yang mampu menunaikan fardu haji yang berjumlah puluhan ribu setiap tahun. Kesenangan juga dapat dilihat dari jumlah yang mengerjakan umrah sepanjang tahun dan sanggup membayar lebih. Sudah tentu lebih selesa dengan kemudahan yang agak selesa.  Banyak yang menunai umrah setiap tahun dan banyak pula yang berpuasa dan menyambut hari raya di Mekah. Banyak yang menunai umrah sekeluarga buka pergi suami isteri sahaja. Banyak juga yang pergi haji menggunakan perkhidmatan pakej swasta. Mereka ini pergi haji atau umrah untuk keselesaan. Tiada kesalahan kalau mampu Cara berbelanja dan cara hidup ini dapat menilai sesaorang itu sudah senang tetapi kerap kali juga ramai yang tidak mahu mengaku kesenangan yang mereka miliki apabila memohon bantuan terutama pinjaman pendidikan anak-anak.

Banyak dari kita tidak mahu mengaku senang atau tidak mahu berbelanja untuk pendidikan anak-anak. Lihat sahaja apabila anak memasuki universiti. Ramai yang akan merungut tidak mempunyai cukup wang tetapi apabila berbelanja yang lain-lain semua ada duit. Banyak yang kita lihat sangat liat untuk perbelanjaan anak-anak belajar. Kalau ada duit  sanggup digunakan untuk perkara yang lain tetapi apabila anak belajar mereka tidak sanggup membayar. Banyak kita dengar mereka telah berkorban untuk anak-anak tetapi apabila membayar untuk pendidikan ramai yang akan mengelak. Lihat sahaja mereka yang meminjam untuk belajar ke universiti. Sepatutnya kalau mampu jangan meminjam. Nama pun pinjaman dan perlu dibayar balik. Lainlah kalau betul-betul tidak mampu tidak mengapa. Banyak keluarga yang nampak senang, mampu berkereta, memiliki rumah yang besar, mampu pergi bercuti bersama keluarga, mempunyai handphone yang mahal, sudah menunaikan haji beberapa kali termasuk umrah tetapi masih lagi meminjam untuk anak-anak berbelanja diuniversiti. Meminjam untuk belajar bukanlah satu kemestian. Kalau mampu apa salahnya kalau tidak meminjam.

Kerap kali diperkatakan pada masa ini lulus sahaja universiti sudah ada hutang puluhan ribu dari pinjaman.Duit dari pinjaman memang sedap berbelanja tetapi apabila perlu membuat pembayaran akan serba liat. Dahulu pada zaman  pemberian biasiswa oleh kerajaan tidak begitu. Memanglah zaman sudah berubah, penduduk semakin ramai dan orang pandai juga semakin ramai, universiti juga semakin banyak dan kemudahan juga perlu yang lebih canggih. Ini memerlukan perbelanjaan yang besar. Untuk mengelakan anak-anak lulus sahaja dari universiti mempunyai hutang, keluarga perlu berbelanja untuk anak-anak kepada jika sudah senang. Jangan meminjam, kerja kuat sedikit, kurang perbelanjaan itu dan ini dan yang paling baik adalah menyimpan sejumlah wang atau melabor dalam insuran pendidikan. Berbelanja sendiri untuk anak-anak adalah lebih baik dan inilah yang dipanggil pengorbanan.

Ibubapa sepatutnya terus berkorban untuk anak-anak. Kita tidak boleh menyerah tanggungjawap ini kepada kerajaan dan menyalahkan kerajaan semata-mata. Kita sendiri yang sepatutnya berbelanja untuk anak-anak supaya anak-anak tidak menganggung hutang apabila keluar dari universiti nanti. Kita tidak boleh menyalahkan orang lain pada masa yang sama kita sememangnya senang. Kita tidak boleh mengaku tidak senang tetapi cara hidup kita sememangnya sudah senang. Adalah tidak berkat dalam kehidupan jika kita berbohong. Banyak yang berbohong pendapatan apabila memenuhi borang bantuan. Tiba-tiba sahaja pendapatan suami dan isteri sudah jatuh bawah dari RM 1000 apabila memenuhi borang bantuan.  Sebenarnya ini adalah satu pembohongan besar yang akhirnya tidak akan membawa kita kemana-mana. Ada yang berkata apa yang kita dapat dari berbohong tidak berkat. Itulah yang menyebabkan kita susah selama-lamanya.

Dalam memohon bantuan dan soal wang ringgit kita tidak boleh berbohong. Kita perlu bercakap benar. Bukan hanya untuk mendapat bantuan kita perlu berbohong. Dalam Ugama Islam telah dinyatakan tangan diatas lebih baik dari tangan dibawah. Mengapa tangan kita selalu berada disebelah bawah. Sepatutnya tangan kita sentiasa berada disebelah atas. Ini adalah lebih baik dan berkat. Malang betul, mata kita kerap menjadi kelabu apabila dengar berita ada orang ingin memberi bantuan. Mereka yang susah sahaja perlu mendapat bantuan. Kepada yang sudah senang katakan terus terang yang kita telah senang dan tidak perlu bantuan lagi. Katakan anak-anak telah memberi untuk makan dan minum serta tempat tinggal dan tidak ada masaalah kewangan lagi. Kita tidak mahu sepanjang hidup kita perlukan bantuan sahaja. Kadang-kadang bantuan perlu diberikan kepada orang lain yang benar-benar susah dan amat memerlukan. Kita perlu buangkan sikap berbangga menerima bantuan dan pada yang sama kita telah memiliki segalanya. Tidak salah kalau benar-benar kita susah dan memerlukan bantuan.

Pokok pangkal setiap dari kita perlu berkerja kuat untuk keluarga. Gunakan sepenuh masa untuk mencari rezeki kalau apa yang kita ada tidak mencukupi. Jangan asyik bersungut tidak mempunyai wang dan pada waktu yang sama kita mempunyai wang. Adalah lebih buruk kalau kita mempunyai wang dan pada masa yang sama kita berkata tidak mempunyai wang untuk mengharapkan bantuan. Biarlah kita bersikap jujur kepada kehidupan. Kepada mereka yang pernah menerima bantuan pembelajaran atau apa-apa bantuan satu ketika dahulu. Ini adalah sesuatu yang sangat baik dan perlu bersyukur. Kita tidak boleh terus menerus menerima bantuan atau pun semua peringkat keluarga kita memerlukan bantuan. Bantuan yang pernah kita terima dahulu perlu digunakan dengan dengan penuh keazaman supaya pada satu masa keturunan kita atau anak cucu kita tidak menerima bantuan lagi. Ini adalah yang terbaik untuk kita dan keluarga. Bukan sepanjang masa kita perlu bantuan.

Untuk tidak menerima bantuan adalah sesuatu yang perlu menjadi cita-cita untuk semua orang. Mungkin bantuan adalah untuk pertama kali. Begitu juga kalau meminjam terutama meminjam untuk perniagaan. Mungkin meminjam untuk memulakan perniagaan. Wang dipinjam perlu digunakan sepenuhnya untuk perniagaan. Seperti meminjam wang dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN). Setelah lulus dengan berjaya dan perlu berkerja kuat untuk membayar pinjaman serta pada masa yuang sama perlu bersyukur atas pinjaman yang diberikan dan terus bercita-cita anak-anak nanti jika dapat belajar ke universiti tidak  perlu meminjam lagi. Pinjaman permulaan adalah modal untuk kehidupan. Setiap dari kita harus berjimat. Semasa mula berkerja tidak memikirkan untuk membeli kereta tetapi memikirkan untuk menyimpan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dan seterusnya untuk menjadi senang atau kaya. Sebagai permulaan kehidupan untuk makan gaji dan mencari modal untuk memulakan perniagaan tidak ada masaalah tetapi harus bercita-cita untuk menjadi usahawan pada masa akan datang.

Ibubapa perlu mendidik anak-anak untuk tidak menerima bantuan lagi. Menerima bantuan bukan sesuatu yang membanggakan. Kata-kata ini perlu disemai kepada anak-anak. Bantuan dari orang lain adalah usaha terakhir kalaulah usaha cara lain menemui jalan buntu. Sikap yang tidak baik adalah tidak mengaku kesenangan yang kita miliki. Bercakap bohong dengan tidak mengaku kesenangan yang kita nikmati adalah satu pembohongan yang perlu dielakan. Kita hidup dizaman serba senang. Ini perlu diakui. Zaman sekarang pekerjaan senang, makan senang, semua kemudahan dihujung jari dan makanan merempah ruah. Ini adalah kesenangan yang kita miliki setelah negara maju dan berkat kerja kuat pemimpin kita setelah 54 tahun merdeka. Banyak sekolah dan berbagai-bagai kemudahan telah kerajaan sediakan. Anak-anak juga telah mendapat pendidikan dan sempurna. Kita perlu bersyukur dengan nikmat yang telah kita kecakapi. Katakan kita sudah senang sekarang ini dan berharap akan bertambah senang pada masa akan datang. Kita perlu kerja kuat kearah itu.,

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...