nuffnang ads

Thursday 15 November 2012

RAJIN LEBIH BAIK DARI PANDAI.



Rajin adalah orang yang suka bekerja atau belajar, giat, bersungguh-sungguh dan tekun. Merajinkan diri ialah berusaha benar-benar dan mengusahakan diri. Kerajinan ialah perihal rajin, kegiatan dan ketekunan.  Pandai adalah mereka yang cerdik dan pintar. Berpandai-pandai ialah melakukan sesuatu tanpa berunding dahulu dengan orang lain. Memandai atau memandai-mandai membuat sesuka hati dan mengikut fikiran sendiri. Memandaikan ialah membuat, membina dan menjadi pandai. Kepandaian ialah kecerdikan, kemahiran dan kepintaran. Berpandaian ialah mempunyai kepandaian atau kemahiran.

Semua orang ingin menjadi pandai. Kepada sesiapa yang pandai akan mendapat pekerjaan yang baik. Kerap kali kepandaian akan dikaitkan dengan kesenangan. Ibubapa kerap berpesan kepada anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh supaya menjadi pandai. Ini akan membolehkan apabila dewasa mendapat pekerjaan yang baik supaya hidup menjadi senang, Tidak hairanlah semua orang ingin menjadi pandai. Untuk menjadi pandai sudah tentu memerlukan setiap dari kita belajar bersungguh supaya mendapat pekerjaan yang baik dan berpendapatan lumayan. Proses pembelajaran untuk menjadi pandai mempunyai empat kemahiran yang dipanggil kemahiran belajar iaitu mendengar, menyiasat, berfikir dan bercakap atau berkomuniksi. Ini adalah kemahiran asas yang perlu menjadi amalan.

Kepandaian juga hanya didapati jika kita belajar mengikut kaedah yang betul. Belajar adalah sesaorang yang ingin mnehgetahui perkara yang tidak diketahui dari sesaorang yang mengetahui supaya menjadi mengetahui. Dalam bahasa mudah ialah sesaorang yang  ingin tahu dari sesaorang yang tahu supaya menjadi tahu. Empat kemahiran mudah ini patut diamalkan olehh setiap orang yang ingin menjadi pandai. Membaca buku juga tidak semestinya belajar jika mereka hanya mengambil tahu perkara yang telah mereka ketahui. Ini adalah mengulangkaji namanya. Untuk itu perlu difahami, sesaorang bakan belajar jika dia mengetahui perkara baru. Sebenarnya belajar bukanlah sesuatu yang susah kalau kita melakukan amalan yang betul. 

Kepandaian sesaorang akan diukur dari kejayaan dalam peperiksaan. Sudah tentu mereka yang mendapat kelulusan yang terbaik dalam peperiksaan dan mereka yang mendapat sijil yang paling tinggi dalam pembelahjaran dikatakan pandai atau sangat pandai. Ibubapa sangat gembira jika anak-anak mereka mendapat kelulusan yang baik. Mereka yang mendapat kelulusan cemerlang akan dikatakan pandai. Untuk itu kepandaian amat mudah diukur atau ditentukan. Lagi banyak sijil dan cemerlang dicatitkan. Ini bermaksa sesaorang itu pandai.

Sekarang ini kepandaian juga diukur dari pencapaian tertinggi dalam pembelajaran. Sesaorang yang mempunyai ijazah kedoktoran atau PhD atau mempunyai ijazah sarjana atau master akan dikatakan pandai. Kita dapat lihat ibubapa dan keluarga amat bangga kalau anak-anak mereka mempunyai master atau PhD. Sekarang ini sudah menjadi trend perbualan. Ibubapa sangat bangga kalau anak-anak sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Belum lagi mendapat ijazah sarjana diperkatakan pula ingin membuat ijazah kedoktoran. Itu sebab dikatakan jika mempunyai sijil yang banyak dan tertinggi dikatakan sesaorang itu pandai.

Dalam kehidupan kepandaian penting tetapi kerajinan atau rajin juga sangat penting. Rajin tidak semestinya datang dari orang yang pandai tetapi rajin juga boleh datang dari orang yang berkemahiran atau tidak pandai. Memandangkan prestasi yang akhir nanti akan menjadi sebutan. Banyak mereka yang tidak pandai iaitu yang tidak cemerlang dalam akademik tetapi sangat berjaya dalam kehidupan. Bermakna mereka ini menjadi kaya raya, jutawan dan 'beruang'. Rajin adalah tabiat yang sangat baik. Ini diperkatakan dalam peribahasa 'ringan tangan berat perut'. Ini bermaksud setiap yang rajin akan mendapat balasan yang baik.

Kita dapat melihat banyak mereka yang bekerja kampong yang tidak berpeluang menjadi pandai iaitu mendapat pendidikan yang tinggi pada masa mereka dahulu. Mereka juga berjaya mempunyai rumah besar dan yang paling bagus ialah berjaya mendidik anak-anak. Mereka juga mempunyai harta yang boleh ditinggalkan kepada anak-anak. Mereka juga dapat menunaikan haji dan dapat juga mempunyai peralatan rumah yang mahal-mahal. Mereka dapat kerana mereka berusaha. Ini adalah kerana mereka sangat rajin. Kerajinan juga telah membuktikan ramai yang berjaya dalam kehidupan. Banyak mereka yang berjaya dalam perniagaan sekarang adalah mereka yang tidak mempunyai kelulusan yang tinggi. Mereka memulakan perniagaan dengan modal yang kecil tetapi berbekalkan kerajinan. Lihat sekarang mereka juga berjaya malahan lebih berjaya dalam ekonomi keluarga.

Kerisauan adalah mereka yang belajar bersunguh-sungguh hanya untuk menjadi pandai dan menjawat jawatan tinggi atau ingin makan gaji sahaja. Banyak juga yang belajar hanya untuk mendapat sijil sahaja bukan untuk mendapat pengetahuan. Mereka tidak hairankan pengetahuan tetapi sijil perlu ada. Itu sebabnya semua pihak akan menghantar anak-anak mereka belajar ke institusi pembelajaran yang mengeluarkan sijil yang diiktiraf sahaja. Jika sijil diiktiraf senang mendapat kerja. Kalau tidak diiktiraf, macam mana hendak dapatkan pekerjaan. Itulah yang dilakukan oleh anak-anak muda kita yang sedang belajar. Sijil dan kepandaian adalah segala-galanya.

Pembelajaran adalah untuk mendapat pengetahuan. Hanya pengetahuan dapat digunakan untuk memajukan negara dan juga keluarga. Setiap dari kita perlu mengejar pengetahuan bukan mengejar sijil. Inilah kesilapan yang telah kita lakukan dan ibubapa juga hilang folus dalam mendidik anak-anak. Anak-anak perlu mendapat pengetahuan. Sepatutnya setiap pembelajaran tidak perlu diberi sijil cukup hanya mendapat pengetahuan. Hanya untuk kursus profesional sahaja perlu diberi sijil. Kalau sijil tidak diberi, pengetahuan akan diukur kepada kerajinan atau kecekapan membuat kerja. Pengetahuan boleh digunakan untuk berniaga. Berniaga memerlukan kreativiti diri sendiri dan tidak semestinya pandai. Harap ada pihak yang mempertimbangkan untuk setengah kursus tidak perlu diberi sijil. Itu sebab banyak institusi amat mementingkan pengetahuan bukan hanya mementingkan majlis konvokesyen sahaja. Ini dapat diperhatikan apa yang dipraktikan oleh pihak swasta. Mereka bukan sangat mementingkan kepandaian. Kalau mereka memilih pekerja mereka akan mengambil mereka yang berkelulusan.minima. Mereka tidak mementingkan calon yang berkelulusan kelas pertama, mempunyai ijazah sarjana atau mempunyai ijazah kedoktoran. Mereka mementingkan ketokohan, kebolehan dan kerajinan. Banyak juga jabatan yang merungut banyak yang mempunyai ijazah kelas pertama tetapi tidak boleh bekerja dengan baik. Mungkin juga mereka ini ini semasa diuniversiti hanya belajar sahaja dan tidak terlibat dengan aktiviti kampus. Akhirnya mendapat kelulusan yang baik tetapi tidak mengetahui apa yang berlaku akibatnya tidak tahu bekerja. Ini dikatakan pandai tetapi tidak rajin.

Kejayaan dalam kehidupan bukan sahaja dipandang dari segi kepandaian tetapi kerap yang menjadi ukuran adalah mencapaian dari segi kewangan. Mungkin tidak semua orang setuju tetapi jika tidak mempunyai wang banyak kerja yang tidak dapat disempurnakan walaupun wang bukan segala-galanya. Kejayaan dalam hidup akan diukur pada akhirnya nanti. Kalau semasa tua telah menjadi jutawan, kaya raya dan banyak harta sudah tentu dipanggil orang yang berjaya. Ini dapat diperolehi jika sesaorang kerja kuat dan tidak semestinya mempunyai sijil yang tebal tetapi diukur dari mereka yang mempunyai berapa banyak harta.

Sudah sampai masanya kita sentiasa memberi motivasi kepada anak-anak kita supaya sentiasa rajin. Kepada mereka yang tidak mendapat kecemerlangan dalam pembelajaran atau tidak pandai sepatutnya perlu dikatakan supaya rajin dalam melaksankan sesuatu pekerjaan. Kita harus mengatakan bukan kepandaian yang menentukan segala-ganya tetapi kerajinanlah yang amat penting. Kita lihat sahaja dalam organisasi kerajaan. Banyak mereka yang tidak mendapat kelulusan yang cemerlang semasa belajar tetapi memberi perkhidmatan yang cemerlang. Begitu juga dalam kehidupan seharian. Sesaorang kerap dipuji kerana kerajinan. Kira kerap mendengar sesaorang itu tidak pandai tetapi rajin yang akhirnya dapat melaksanakan sesuatu tugas dengan cemerlang.

Begitu juga semasa belajar, ramai pelajar yang dikatakan tidak pandai tetapi apabila keluar keputusan peperiksaan mereka juga dalam kategori cemerlang. Ini kerana kerajinan dalam belajar, mengulangkaji dan kerajinan melaksanakan sesuatu yang penting sebagai seorang pelajar. Kerajinan juga akan menjurus kepada kreativiti. Mereka yang mencipta kreativiti adalah mereka yang rajin berfikir sesuatu perkara yang baru atau mereka yang sentiasa berfikir untuk memudahkan sesuatu kaedah kerja. Seperti kerja mengacau dodol, ini bukan satu kerja yang mudah dan mengambil masa yang sangat lama. Kueh traditional Melayu ini sangat sedap tetapi banyak tenaga yang dicurahkan untuk mendapat dodol. Bukan sahaja camporan yang menentukan keenakan dodol tetapi kawalan api dan juga kaedah masakan juga memerlukan kepakaran. Untuk memudahkan kerja mengacau dodol ini, alat mengacau dodol automatik telah dicipta. Alat ini amat kreatif yang memudahkan kerja mengacau dodol. Mesin ini dapat dihasilkan adalah hasil pemerhatian mereka yang kreatif dan rajin berfikir untuk menyelesaikan masaalah ini. Mereka juga agaknya pernah mengalami sukarnya mengacau dodol, untuk itu satu penyelesaian perlu dicari. Itulah sebabnya mesin pengacau dodol automatik dapat dihasilkan Jika tidak ada orang yang rajin berfikir, sudah tentu kaedah membuat dodol tidak akan berubah selamanya.

Rajin dan pandai sangat dikehendaki oleh bakal majikan.. Pandai sahaja tidak mencukupi.Untuk itu kita harus menasihatkan anak-anak kita untuk mencapai kedua-duanya. Rajin bukan sahaja bagus untuk diri sendiri tetapi bagus juga untuk masyarakat. Mereka yang pandai dan rajin akan menjadi contoh masyarakat. Masyarakat sangat memerlukan orang pandai dan rajin untuk membangunkan kawasan mereka dan memberi sumbangan kepada aktiviti masyarakat. Masyarakat tidak mahu mereka yang pandai hanya menumpukan masa untuk menaikan profesion tetapi mengabaikan masyrakat. Kepandaian boleh disumbangkan kepada aktiviti belia dan juga aktiviti akademik. Mereka yang pandai juga mesti menyumbang kepada masyarakat kerana banyak mereka yang pandai mendapat pembiayaan kerajaan semasa belajar dahulu. Segala budi baik kerajaan mesti dibalas dengan kerajinan. Orang rajin tidak mengira hujung minggu atau tidak. Setiap kali dimana sahaja tenaga mereka dikehendaki mereka tidak segan silu untuk menyumbang. Mereka juga tidak banyak kerenah dengan memberi alasan banyak kerja atau masa banyak perlu digunakan untuk keluarga atau aktiviti tidak dibayar. Berilah kerajinan kita kepada masyarakat dan kepandaian untuk membina negara jika berkemampuan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...