nuffnang ads

Saturday 3 November 2012

PEKAN TANGGA BATU SAYA YANG DIKENALI.



Pekan Tangga Batu yang juga dikenali sebagai Pekan Batu Sembilan satu ketika dahulu oleh orang Pantai Kundur terletak 9 batu atau 14 km dari bandaraya Melaka. Pekan ini terletak dalam Dewan Undangan Negeri Pantai Kundur yang diketuai oleh YB Datuk Hj. Ab. Rahaman bin Karim dan dalam Parlimen Tangga Batu yang di wakili oleh YB Datuk Ir. Idris bin Harun. Nama Tangga Batu yang indah ini telah digunakan namanya sebagai nama parlimen kawasan. Ini kerana nama ini sangat indah dan sangat di kenali kerana perkataan 'tangga' yang diperbuat dari 'batu' Satu ketika dahulu adalah menjadi bahan usikan. Kata mereka orang Melaka, tangga mesti diperbuat dari batu walaupun rumah kecil atau buruk''. Usikan itu ada kebenaran, sudah tentu sekarang rumah orang Tangga Batu sudah besar-besar dan seharusnya bertangga batu kecuali rumah yang tidak bertangga.

Menurut Kamus Dewan, tangga ialah tempat tumpuan kaki yang bertingkat-tingkat untuk naik turun rumah. Selalunya dikenali sebagai tangga rumah atau naik tangga. Tangga juga adalah alat untuk tumpuan memanjat atau takuk pada pokok atau sigai, injak-injak, bahagian daripada sesuatu yang bertingkat-tinghkat, peringkat, skala atau tingkatan. Tangga bongsu ialah anak tangga yang bawah sekali. Tangga gaji ialah tingkatan gaji. Tangga nada adalah sususan nada yang meningkat naik bunyinya. Tangga pilin atau tangga sulur batang ialah tangga yang berpusing. Tangga senigai atau sigai ialah tangga daripada sebatang kayu yang diberi bersigai. Tangga sulung ialah anak tangga yang diatas sekali. Tolak tangga berayun kaki ialah berpeluk tubuh mengajar diri dari perbuatan baik-baik dalam kesenangan dan pekerjaan yang berfaedah atau tiba-tiba dilepaskan dengan sia-sia. Setangga bermakna orang yang tinggal  berdekatan, jiran atau tetangga. Bertangga bermakna ada tangganya, memakai tangga, berperingkat dan bertingkat-tingkat atau menurut darjat dan kedudukan masing-masing. Bertanggakan maksudnya menggunakan sesuatu sebagai tangga.

Pekan Tangga Batu yang terletak perjalanan dari Bandaraya Melaka ke Masjid Tanah, Kuala Sg. Baru adalah laluan utama ke Port Dickson Negeri Sembilan. Laluan ini juga merupakan laluan alternatif untuk ke Kuala Lumpur untuk menikmati pemandangan kampong yang tidak berapa sibok melalui pekan-pekan kecil sepanjang pantai. Perkhidmatan Bas Patt Hup tidak ada laluan khusus menuju ke pekan ini tetapi perkhidmatan bas tidak ada masaalah dari dahulu sehingga sekarang. Bas yang ke arah Masjid Tanah, Kuala Sg. Baru dan laluan ke Pengkalan Kempas  Negeri Sembilan akan melalui pekan ini. Pekan ini tidak banyak berubah sejak tahun 60an dengan kemudahan yang baik sejak dari dahulu lagi. Pekan ini mempunyai kemudahan masjid yang sangat cantik, Masjid Kampong Tangga Batu namanya, sebuah balai raya dan sebuah Pejabat Pos yang sangat cantik ketika itu tetapi sudah digunakan untuk kegunaan lain sekarang ini. Pekan ini mempunyai sebuah sekolah kebangsaan cina dan dua deretan kedai papan sebelah menyebelah. Pekan ini menjadi tumpuan mereka dari Bukit Tempayan, Paya Lubuh, Kg. Gelam, Pantai Kundur, Pantai Rombang dan Bukit Darat Solok. Lain-lain kawasan banyak bertumpu di Tg. Keling, Sg. Udang dan Bukit Rambai. Pekan Tangga Batu mula menjadi tumpuan sejak terbinanya Sekolah Menengah Tanjong Keling  (SMTK) yang telah ditukar nama kepada Sekolah Menengah Seri Tanjong  (SMST) dan Kampong Ghafar Baba yang dibuka pada tahun 60an. Terbinanya Rumah Mara ini atau Kg. Ghafar Baba telah membawa orang-orang luar yang tinggal atau berhijrah ke kawasan Tangga Batu dan menjadikan Pekan Tangga Batu mula menjadi tumpuan dan agak sibok dengan aktiviti harian.

Pada tahun akhir 60an atau awal tahun 70an di Pekan Tangga Batu telah mempunyai sebuah kedai jahit yang popular, beberapa kedai kopi popular sampai sekarang, kedai runcit dan sebuah kedai baiki basikal dan pada masa yang sama menjalankan perniagaan perabot secara jualan ansuran.  Pengusaha kedai tersebut yang berbangsa Cina masih lagi menjalankan perniagaan baiki basikal tetapi sekarang mungkin sudah mampu memperbaiki motosikal. Adalah tidak diketahui samaada dia masih lagi menjalankan perniagaan penjualan perabot secara bayaran ansuran atau tidak. Peniaga yang agak berumur masih lagi menjalankan perniagaan sampai sekarang dan masih lagi berseluar pendek dengan baju tangan pendek yang tidak dibutangkan habis. Mungkin dia menjalankan perniagaan sebagai hobi sahaja  sekarang ini tidak pula diketahui.

Balairaya Pekan Tangga Batu telah menjadi pusat aktiviti masyarakat sejak tahun 60an. Dihadapan balairaya telah dibina gelanggang badminton terbuka yang menjadi tumpuan ramai. Gelanggang tersebut digunakan setiap pagi dan petang oleh penduduk Pekan Tangga Batu. Sekali sekala akan diadakan pertandingan badminton antara sekolah atau antara kampong. Gelanggang ini kerap menjadi tumpuan diwaktu hujung minggu. Pada masa itu gelanggang tertutup hanya ada di bandar Melaka atau Klebang sahaja. Walaupun berangin semasa bermain,  rakyat  tetap menggunakan sepenuhnya apa yang telah disediakan oleh kerajaan. Pada waktu itu demam Piala Thomas melanda negara. Penduduk Tangga Batu tidak kurang dilanda deman Piala Thomas, banyak juara tempatan dilahirkan. Pekan Tangga Batu sangat hidup dan anak-anak muda juga penuh dengan semangat kesukanan.

Penduduk Tangga Batu akan menghantar anak-anak bersekolah rendah di Sek. Keb. Tangga Batu  (SKTB) yang terletak keatas sedikit, mungkin di Batu 10 atau Sekoloah Kebangsaan Kg Gelam (SKKG).  Banyak keluarga di Pekan Tangga Batu lebih suka menghantar anak-anak mereka di SKKG, Ini mungkin jarak yang dekat dan juga pengangkutan yang mudah. Sekolah menengah amat dekat dengan Pekan Tangga Batu. Sekolah Menengah Tanjong Keling menjadi tumpuan pelajar dari Sg. Udang, Terendak Kem, Paya Rumput Sg. Udang, Paya Lubuh, Pantai Kundur, Pantai Rombang, Pengkalan Perigi, Balik Bukit, Kg Gelam, Bukut Rambai, Tanjong Minyak, Bertam, Tg. Keling, Bukit Darat, Balik Bukit, Pengkalan Lanjut, Lereh, Batang Tiga, Klebang Kecil dan Besar, Limbongan, Kg Pinang A dan B serta Pulau Gadong. Ramai sungguh pelajar di Sekolah Menengah Tanjong Keling. Setiap pagi dan petang kawasan sekolah sangat sibok. Pada masa itu sekolah terpaksa diadakan 2 sesi. Ramai mereka yang hebat dapat dilahirkan dari sekolah ini.

Pekan Tangga Batu mempunyai klinik perancang keluarga. Klinik ini adalah klinik kerajaan yang menyalurkan atau menjual pil perancang keluarga setelah mendapat nasihat dari doktor. Ketika itu kerajaan ingin mengawal pertambahan penduduk dan klinik ini menjadi terkenal untuk kawasan setempat. Pekan Tangga Batu menjadi bertambah sibok apabila kilang Papan Lapis Olympia dibina di sempadan Pantai Rombang dan Pantai Tanah Merah atau bersebelahan dengan Bukit Tempayan. Kilang ini menjadi tumpuan penduduk setempat dan kawasan berhampiran Long Beach Hotel  (nama lama) dan ditukarkan Port of Singapore Authority (PSA) setelah Lembaga Pelabohan Singapura membeli hotel tersebut menjadi tempat berehat pekerja Pelabohan Singapura. Hotel ini terletak ditepi pantai dan mempunyai sebuah kolam renang. Sekali sekala ramai juga anak-anak Tangga Batu berenang di hotel tersebut terutama apabila ada majlis. Rata-rata hanya menjadi penuntun dari jauh. Hotel ini hanya untuk orang kaya sahaja pada pandangan penduduk Pantai Kundur atau Tanah Merah.
Kilang papan lapis telah menjadi tempat mencari makan dan menjadi sumber ekonomi penduduk sekitar Pekan Tangga Batu. Kilang ini menjalankan operasinya selama 24 jam dengan perjalanan tiga shif. Pekan Tangga Batu mula menerima laluan lori balak yang besar -besar. Penduduk sekitar juga bukan dapat melihat kayu balak tetapi dapat melihat papan lapis yang tidak pernah dilihat pada ketika itu. Papan lapis ini katanya akan di eksport keluar negara. Ini tidak dipedulikan oleh penduduk Tangga Batu. Apa yang penting taraf hidup mula meningkat. Keseluruhan kawasan persekitan Tangga Batu mendapat tempias ekonomi. Kampong Bukit Tempayan yang satu ketika dahulu hanya dikenali kerana mempunyai Kawasan Perkuburan Cina telah mula membanggun. Rumah besar telah mula terbina dan jalan kecil yang menghubungkan Pekan Tangga Batu ke Pantai Rombang melalui Kg. Bukit Tampayan telah mula sibok. Laluan basikal sahaja pada satu ketika dahulu telah mula sibok dengan laluan kereta, motorsikal dan kereta. Kalau dahulu untuk melalui satu bukit yang agak tinggi dipertengahan jalan menuju ke Kilang Papan Lapis Olympia amat menakutkan dengan laluan yang gelap tiba-tiba kukit telah menjadi rendah dan sangat sibok. Sekarang ini kawasan tersebut telah mempunyai kawasan perumahan dan kampong yang sangat moden. Tahniah pemimpin Tangga Batu khusnya pengerak masyarakat di Bukit Tempayan. Bukit Tempayan sudah menjadi kampong moden yang sangat maju. Rumah-rumah kawasan Bkt Tempayan sangat cantik dengan rekabentuk traditional bercampor moden. Pokok-pokok bunga menyatakan selamat datang kesetiap pengunjung ke Bukit Tempayan. Bukit Tempayan sememangnya sebuah kampong yang sangat cantik. Banyak perubahan telah berlaku di Bukit Tempayan sejak dahulu. Penduduknya sangat bersopan santun jika kita berkunjung kesini.

Pekan Tangga Batu terus berubah tambahan pula dengan laluan baru dari Bukit Rambai terus ke Pekan TanggaBatu. Pekan Tangga Batu telah mempunyai lampu isyarat yang tidak pernah difikirkan pada satu masa dahulu. Sekarang ini Pekan Tangga Batu mempunyai Setesen Minyak Petronas yang besar dan Kawasan Perkuburan Melayu di sebelah Setesen Petronas juga sangat bersih dengan pagar yang terjaga. Sekarang ini terdapat sebuah klinik perubatan swasta yang dibuka oleh anak Pekan Tangga Batu sendiri yang pernah bersekolah di Sekolah Menengah Tanjong Keling Terdapat juga kawasan perumahan sekitar Pekan Tangga Batu dan sebuah bank beroperasi berhampiran pekan. Kg.Ghafar Baba yang satu ketika adalah rumah papan yang mempunyai reka bentuk moden telah berubah kepada rumah batu atau banglo yang cantik. Sudah tidak dikenali lagi itu sebenarnya Rumah Mara satu ketika dahulu. Tahniah kerajaan yang berpandangan jauh. Sebuah sekolah menengah telah dibina di Kg Gelam untuk menampong  pelajar yang banyak di Sekolah Menengah Seri Tanjong. Ini tidak akan mengurangkan kesibokan Pekan Tangga Batu.

Tahniah juga kepada wakil rakyat Pantai Kundur dan ahli Parlimen Tangga Batu. Sekarang ini Tangga Batu mempunyai banyak kemudahan terutama yang bersempadan dgn Kg Gelam dan Kg Seri Tanjong. Semua telah disediakan untuk penduduk Pekan Tangga Batu, Dewan MBMB, Gelanggang MBMB, Perpustakaan Desa, Pusat Kesihatan Besar yang lebih kurang macam hospital juga dengan peralatan yang moden sekarang dalam pembinaan. Penduduk Pekan Tangga Batu tentunya berbangga dengan kemudahan yang mereka terima. Satu lagi penggerak kawasan Pekan Tangga Batu ialah dengan adanya Pejabat Kemas Parlimen Tangga Batu terletak berhampiran Pekan Tangga Batu.

Sudah tentu Pekan Tangga Batu telah berubah seiring dengan pembangunan negara. Anak-anak Pekan Tangga Batu telah banyak menjawat jawatan besar di seluruh negara. Banyak anak-anak Pekan Tangga Batu telah menjadi usahawan terkenal. Ini bersesuaian dengan pendidikan yang telah mereka terima di Tangga Batu. Mungkin banyak lagi yang tersirat dalam Pekan Tangga Batu yang tidak di ketahui tetapi nama Tanggga Batu kerap diperkatakan di Parlimen mahu juga di dalam akhbar kerana ahli Palimen Tangga Batu sangat aktif dan sangat menjiwa kehendak masyarakat Tangga Batu. Nama Tangga Batu akan terus mengharum sebagaimana bijaknya anak-anak dari Tangga Batu. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...