nuffnang ads

Thursday, 15 November 2012

SAYANG.....SAYANG....SAYANG



Melaku Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau. Ini lah ungkapan terbaharu rakyat negeri Melaka setelah Melaka menjadi negeri maju pada tahun 2010. Sayang yang bermakna mengasihi dan mencintai. Kepada ibubapa sayang bermakna kasihan dan terasa belas. Sayang juga membawa makna kasih, cinta, kekasih dan jantung hati. Sayang akan bererti suka akan, gemar akan seperti anak yang dimanjakan dan isteri yang diuliti. Bersayangan atau bersayang-sayangan bermakna berkasih-kasihan, saling mencurah kasih sayang. Menyayangi bermakna berasa sayang akan, mengasihi. Menyayangkan membawa makna sayang (kasih, cinta) akan. Tersayang terasa amat sayang sekali, yang amat disayangi. Tersayang-sayang bermakna terrasa kesal (rugi). Kesayangan adalah perasaan kasih sayang (cinta), cinta kasih, yang disukai, kesukaan, yang dikasihi, kekasih. Penyayangan adalah perbuatan menyayangi. Penyayang adalah orang yang kasih akan yang lain, pengasih, pencinta.

Begitulah luas makna perkataan sayang sehingga kalau tiga dari perkataan sayang ini diungkapan...sayang....sayang...sayang akan juga dapat membuat ayat dan difahami. Ia itu sesaorang yang membahasakan dirinya sayang menyatakan ungkapan sayang kepada sesaorang yang disayangi. Itulah kelebihan perkataan sayang yang kerap diperkatakan. Ungkapan ini sekarang telah digabongkan kepada Melaka Maju Negeriku Sayang bermakna negeri ini disayangi oleh rakyatnya. Ungkapan itu bukan sahaja perlu disampaikan sebelum ucapan seperti memberi salam tetapi perlu diterjemahkan oleh setiap rakyat negeri Melaka. Sayang hanya akan memberi manfaat jika sesuatu dilakukan untuk sesaorang. Untuk itu, bagi rakyat negeri Melaka yang telah menjadi penduduk negeri maju, perkatan sayang perlu dijadikan sebahagian dari kehidupan seharian dan perlu dicurahkan ke negeri Melaka supaya negeri ini terus maju dan gembira untuk didiami. Apa yang penting bagaimana kita melaksanakan sesuatu kepada negeri Melaka yang kita sayangi. Kita tidak boleh asyik bertanya apa yang telah negeri Melaka berikan kepada kita?. Kita juga harus bertanya apakah yang telah kita berikan kepada negeri Melaka?.

Kerajaan negeri Melaka berhasrat untuk menjadikan rakyat negeri ini sehat dan yang paling penting boleh hidup lebih lama dalam keadaan yang sehat. Tidak ada gunanya hidup lama tetapi tidak sehat. Untuk itu, seperti negeri maju yang lain di dalam dunia, kerajaan negeri Melaka telah melarang merokok dibeberapa tempat tertentu di negeri Melaka seperti di Komplek Pentadbiran Kerajaan Hang Tuah Jaya, Kawasan Warisan Dunia di Banda Hilir dan juga kawasan Melaka International Trade Centre. Banyak yang merugut dengan kewujudan larangan ini. Mungkin ini adalah benda baru, lambat laun rakyat akan memahami hasrat murni kerajaaan. Bukan semua tempat yang tidak boleh merokok, ada tempat-tempat tertentu khasnya untuk kawasan tumpuan ramai dan juga pelancong sahaja. Kalau dilihat dari kaca mata bukan perokok, ini adalah satu pendekatan yang baik tetapi jika dilihat dari sudut perokok, pendekatan ini bukanlah penerimaan yang popular. Walau bagaimana pun sesuatu yang baik akan diterima juga pada satu masa nanti. Kita perlu mengucapkan tahniah kepada pendekatan kerajaan negeri Melaka.
Bukan semua sifat menyayangi harus ditunjukan setelah peraturan dikenakan. Sepatutnya kalau sayang kita buat secara sukarela. Inilah sebenarnya sayang. Sayang bukan kerana keterpaksaan tetapi kerana sifat sayang itu sendiri. Setiap rakyat negeri Melaka perlu menjadi sesaorang yang pembersih. Membuang sampah merata-rata tempat atau di dalam longkang atau semak bukan sifat rakyat yang menyayangi negeri Melaka. Kebersihan harus dijaga sesuai dengan slogan 'Melaka Negeri Yang Bersih'. Setiap dari rakyat Melaka harus bertanggup jawap dengan kebersihan dari sifat diri sendiri dan menjaga persekitaran tempat tinggal atau bekerja. Kebersihan adalah tanggung jawap bersama. Kerajaan telah menyediakan tong sampah yang mencukupi dengan berbagai rekabentuk. Seharusnya setiap rakyat negeri Melaka berbangga dengan kemudahan yang telah disediakan dan marilah kita menggunakannya. Kerajaan juga telah menyediakan operator pengangkut sampah yang cekap. Untuk itu kerja sudah menjadi mudah. Jadual pengutipan sampah sudah pun disediakan Setiap jalan juga telah disediakan tong sampah, kemudahan ini perlu digunakan dengan baik.

Kerajaan tidak mengenakan peraturan untuk meletakan penanda arah majlis perkahwinan. Penanda arah ini akan diletakan di tiang lampu isyarat, tiang penanda jalan, apa sahaja yang bertiang di persimpangan jalan dan juga batu-batu yang terletak ditepi jalan. Ini adalah sesuatu yang baik supaya tetamu senang mencari rumah disamping pelan tataletak yang telah disediakan. Amat malang penanda arah jalan ini tidak diturunkan selepas majlis. Penanda akan diturunkan oleh angin yang bertiup kencang atau pengguna yang ingin menggunakan tempat yang sama. Apa salahnya setelah majlis selesai, penanda jalan ini perlu dikutip balik. Inilah sifat sayang yang dikehendaki. Bukan membiarkan penanda jalan diturunkan oleh orang lain atau reput dengan sendirinya.

Imej tandas adalah sesuatu yang penting. Setiap tandas dinegeri Melaka perlu digunakan dengan baik. Setelah digunakan, lakukan tanggung jawap kita untuk keselesaan orang selepas itu. Ini tanggung jawap bersama walaupun tidak ramai orang yang mengetahui apa yang kita lakukan didalam tandas. Untuk tandas awam, keraaan negeri Melaka telah menyediakan penjaga untuk mencuci tandas selain membersihkan tandas. Tidak boleh duit sahaja yang dikutip tetapi tandas tidak dibersihkan. Kebersihan tandas bukan letak pada langsir yang disediakan. Tandas tidak perlu nampak cantik jika berlansir tetapi kebersihan dan bau tidak dijaga. Pencucian tandas perlu menggunakan bahan kimia pencuci, bukan hanya cucian dengan laluan air biasa sahaja. Pencucian tandas juga perlu profesional dan mengikut kaedah pencucian yang betul. Setiap dari kita perlu menjaga tandas awam seperti menjaga tandas rumah kita.

Kita menyayangi negeri Melaka perlu ditunjukan dengan perkhidmatan dengan senyuman. Senyuman perlu diberikan setiap masa tidak kira kita berkhidmat dimana-mana sahaja. Senyuman perlu diberikan kepada pelanggan di hospital, pasar raya, hotel, jabatan kerajaan, muzium, kaunter jualan tiket dan juga pemandu teksi dan bas. Semua perkhidmatan yang baik tidak akan dihargai jika tidak diiringi dengan senyuman. Mereka yang berkhidmat di jabatan kerajaan juga perlu memberi senyuman kepada rakan-rakan dan mereka yang memerlukan perkhidmatan. Senyuman yang lebih manis perlu diberikan kepada rakyat yang datang untuk mendapat bantuan seperti di Jabatan Kebajikan Masyarakat, PEMBELA, Majlis Ugama Islam atau Pusat Khidmat DUN dan Parlimen. Walaupun mereka datang untuk mendapat bantuan tetapi sebagai rakyat yang menyayangi negeri ini dan dibayar gaji untuk memberi perkhidmatan senyuman perlu terus diberikan. Berkhidmatlah dengan penuh senyuman.

Kemalangan jalan raya samaada serius atau tidak perlu dielakan. Kita tidak mahu negeri maju perlu banyak kemalangan dan banyak yang akan tercedera di jalan raya.Sebagai rakyat yang menyayangi negeri ini, kita perlu pastikan peratusan kemalangan di negara ini terus dikurangkan. Kita tidak mahu berita kemalangan hanya menjadi perbualan biasa dan tidak bercita-cita untuk menguranginya. Ini boleh dilakukan dengan memandu berhati-hati, sentiasa sabar dan ingin membantu, ikut arahan dan lampu isyarat. Peraturan lampu isyarat juga perlu difahami dan dipatuhi. Lampu merah bermakna berhenti, Hijau boleh berjalan atau meneruskan perjalanan manakala lampu kuning bermakna bersedia untuk berhenti bukan bersedia untuk tekan minyak. Banyak kemalangan berlaku di lampu isyarat kerana untuk mengejar lampu kuning. Sebenarnya lampu isyarat adalah satu yang sangat baik disediakan untuk mengawal lalu lintas. Malangnya banyak yang menempuh maut di tepi lampu isyarat.

Kita dapat lihat sesuatu yang aneh berlaku dihadapan kita setiap hari adalah perkhidmatan beca pelancong di Bandaraya Melaka. Adalah tidak dapat dinafikan perkhidmatan beca pelancong telah menjadi daya penarik pelancong yang datang ke negeri Melaka. Khidmat penarik beca amat disanjong kerana tidak banyak negara pelancong di dunia mempunyai perkhidmatan ini.Banyak yang memuji perkhidmatan beca tambahan pula beca dihiasi dengan menarik. Ini adalah inovasi dalam industri beca yang ditambah lagi dengan sajian lagu-lagu merdu. Tahniah kepada penarik beca negeri Melaka, khidmat amat dikagumi tetapi yang pelik banyak pembawa beca yang mengayuh beca mengikut laluan bertentangan dengan lalulintas. Tidak pula dalam undang-undang jalan raya mengatakan beca roda tiga perlu dikayoh bertentangan dengan laluan kenderaan yang lain. Ini sebenarnya amat menghairankan tetapi sudah menjadi pandangan biasa di negeri Melaka. Cara pergerakan ini amat merbahaya. Banyak perkara baik dapat dilakukan dengan mengikut undang-undang. Apa salah kalau membuat sesuatu kebaikan dengan mengikut cara yang betul. Orang pun tidak marah, negeri Melaka bangga dan rezeki juga mencurah-curah. Walaupun pada ketika ini tidak lagi berlaku kemalangan yang serius, tahniah kepada penarik beca negeri Melaka tetapi rekod yang cemerlang ini perlu dijaga dengan baik.

Rakyat negeri Melaka mesti terus bersopan santun dalam setiap aspek kehidupan. Kalau membuka pintu pastikan pintu dipegang setelah semuanya melepasi pintu. Jangan biarkan pintu terlepas setelah digunakan. Apa salahnya memegang pintu lama sedikt supaya pengguna tidak terkena pintu. Sifat baik ini perlu dipuji. Mudah sangat untuk melakukan ini semua tetapi ini tidak diamalkan oleh banyak orang. Ini bukan budaya baru tetapi tidak diamalkan oleh itu apabila ada orang yang mengamalkanya kita terasa pelik. Patutlah ini menjadi amalan.

Biarlah ucapan terima kasih menjadi sebutan rakyat negeri Melaka. Memberi atau menerima perlu dimulakan atau diakhiri dengan ucapan terima kasih. Setiap pembayaran dan juga penerimaan pembayaran atau memulangakan wang lebihan perlu berterima kasih. Ini adalah amalan rakyat negeri maju. Amalan ini sebenarnya amat mudah dan kalau menjadi amalan akan menjadi tabiat yang baik. Jadilahkan terima kasih sebahagian tabiat hidup rakyat negeri Melaka. Biarkanlah kata-kata terima kasih sentiasa berkumandang di negeri Melaka. Negeri Melaka akan dikenali negeri berterima kasih.

Sayang perlu ditunjukan bukan hanya ungkapan dimulut. Jika kita menyayangi negeri Melaka, nyatakan kasih sayang itu melalui perbuatan. Banyak kerja yang boleh dilakukan tanpa pendekatan undang-undang tetapi sangat baik dengan semangat sukarela. Lakukanlah sikap yang menunjukan kita menyayangi negeri Melaka. Melaka perlu disayangi kerana pemimpinnya menyayangi rakyat negeri Melaka.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...