nuffnang ads

Saturday, 3 November 2012

MENGKOMERSILKAN PRODUK INOVASI: BANYAK SANGAT PANTANG LARANG.



Kita kerap mendengar produk inovasi yang membawa makna sesuatu produk yang baru diperkenalkan seperti sistem, adat yang baru. Inovasi juga perihal mengadakan, memulakan sesuatu yang baru. Menginovasi pula bermakna membuat inovasi, penginovasi membawa makna orang yang membuat inovasi manakala penginovasi memberi makna orang yang membuat inovasi. Inovator bermakna orang yang melakukan inovasi. Inovasi boleh dihasilkan melalui salah satu kaedah atau ketiga-tiganya sekali, 1) melalui penyelidikan seperti mana yang dilakukan di institusi penyelidikan dan pembelajaran 2) melalui penambahbaikan sistem atau produk yang ada, ini kerap dilakukan di institusi penyelidikan atau pusat pengkomersilan produk atau dikilang penghasilan atau pembuatan  produk dan 3) tiba-tiba terfikir produk baru melalui pengalaman, mimpi, terfikir atau melihat masaalah sesuatu produk. Setiap produk yang dihasilkan melalaui kaedah yang telah dinyatakan adalah diiktiraf sebagai ionovasi.

Produk inovasi kerap akan memudahkan kehidupan atau memudahkan sesuatu proses kerja. Selalunya produk ini dikatakan baru diperkenalkan dan mampu untuk memudahkan urusan kehidupan seharian.  Adala menjadi kebanggaan setiap pereka atau inovataor jika produk ciptaan mereka dapat digunakan untuk kemudahan orang ramai. Adalah lebih baik jika produk yang dihasilkan amat menarik dilihat moden dan sangat mudah digunakan. Adalah amat sukar untuk sesuatu produk mendapat penerimaan ramai. Selalunya pengguna amat cerewet untuk menggunakan produk yang baru tambahan pula jika belum luas penggunaanya. Inilah yang menjadi cabaran untuk produk inovasi dikomersilkan.

Budaya inovasi rakyat Malaysia sangat tinggi dari segenap peringkat dan berkembang dengan baik. Budaya ini sangat subur sejak dari bangku sekolah hingga keperingkat universiti mahupun masyarakat umum. Kejayaan menghasilkan produk inovasi telah dilaporkan dengan baik oleh akhbar harian mahu pun dilaporkan dalam majalah ilmiah. Kerap juga publisiti di beri kepada produk inovasi baru dengan memberi pengiktirafan berupa sijil dan pingat dalam pertandingan yang diadakan samaada diperingkat sekolah, universiti, negeri, negara dan juga peringkat antarabangsa. Pencapaian ini sangat baik dan kerap dilaporkan didalam akhbar harian. Kita merasa sangat bangga dengan pencapaian rakyat negara ini dalam penghasilan inovasi baru. Pencapaian diperingkat antarabangsa kerap menjadi sebutan dan menjadi kayu pengukur kejayaan sesuatu institusi penyelidikan. Kerap juga dipersoalkan apa yang terjadi terhadap produk inovasi yang telah mendapat pengiktirafan diperingkat negara atau antarabangsa.

Kebanyakan produk inovasi negara kita hanya berakhir diperingkat pengiktirafan sahaja. Pujian hanya diperingkat surat khabar atau pengiktirafan institusi dengan memberi kenaikan pangkat atau sedikit ganjaran kewangan . Produk inovasi hanya berakhir setakat itu sahaja. Sebenarnya masyarakat kita tidak sangat memikirkan menafaat dari produk inovasi. Tidak banyak produk inovasi rakyat negara ini yang telah mendapat pengiktirafan dapat atau dikomersilkan atau telah dijual dipasaran. Usahawan di negara kita tidak berminat untuk mengkomersilkan produk inovasi negara sendiri. Memang disedari mengkomersilkan produk inovasi tidak akan mendapat pulangan dalam tempoh terdekat seperti menjadi pemaju perumahan, kontraktor atau jualan barangan runcit harian. Pulangan mengkomersilkan produk inovasi agak lewat kerana produk baru, kerap memerlukan modal permulaan yang sangat tinggi untuk membolehkan produk berada dipasaran. Produk baru perlu diperkenalkan dan memerlukan promosi yang hebat. Ini tidak disukai oleh usahawan atau ahli perniagaan. Adalah lebih baik mereka mendapatkan produk yang telah diterima ramai atau telah berada dipasaran dalam tempoh yang lama dan mempunyai pelangan yang tetap. Adalah lebih baik jika juga para usahawan mengimport produk dari negara China yang sudah tentu murah dan telah dikenali ramai.

Masaalah mengkomersilkan produk inovasi tempatan telah pun diketahui ramai. Ini telah mendapat perhatian YAB Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Najib Tun Razak yang telah menjadikan produk inovasi adalah sumber baru ekonomi negara ini dan telah mengumumkan beberapa insentif dan peluang berniagaan yang sangat inovatif kepada inovator. Produk inovasi tempatan diharapkan dapat menjana sumber ekonomi baru untuk negara dalam tempoh terdekat. Ini bermakna produk inovasi perlu boleh dijual dipasaran. Kerajaan telah menawarkan berbagai geran melalui berbagai kementerian untuk membantu para usahawan  mengkomersilkan produk inovasi tempatan. Sehingga kini sangat sedikit produk inovasi negara ini yang dapat dipasarkan. Usahawan negara ini kerap memuji pencapaian penyelidikan negara tetapi bila mereka diperlukan untuk mengkomersilkan produk inovasi tempatan, pihak usahawan dilihat tidak begitu memberangsangkan atau tidak ingin membantu dengan berbagai alasan. Mungkin usahawan tidak begitu yakin dengan produk inovasi negara sendiri.

Masaalah mengkomersilkan produk inovasi adalah sesuatu yang sangat serius dan perlu diberi perhatian. Perbelanjaan penyelidikan sangat tinggi tetapi produk hanya menjadi hiasan ruang pameran sahaja atau menjadi sebutan. Berbagai alasan yang diberi oleh pihak swasta semasa memberi komen apabila diminta untuk membantu usaha pengkomersilan. Alasan yang sangat kerap diberikan, oleh para usahawan produk penyelidikan tidak mengambil kira masaalah semasa (tidak relevan) dengan industri. Produk dihasilkan “out-dated” dan telah dihasilkan dinegara lain (penyelidik sudah terlewat). Ada juga yang berminat tetapi tidak yakin dapat dipasarkan kerana tahap penerimaan rakyat negara ini kepada sesuatu produk baru sangat lambat. Produk perlu dikenali diluar negara terlebih dahulu barulah pengguna ingin menggunakan untuk mereka. Sangat liat usahawan tempatan untuk memberi pengiktirafan kepada produk inovasi rakyat negara ini. Usahawan tempatan sangat berminat kepada keuntungan yang cepat dengan modal yang rendah (risiko rendah).

Sikap usahawan yang telah dinyatakan telah mengakibatkan produk inovasi negara tidak boleh dijual. Lambakan produk penyelidikan atau hasil inovasi yang telah sedia untuk dikomersilkan amat tinggi, Banyak penyelidik melakukan kerja penyelidikan hanya untuk mendapat pengiktirafan kenaikan pangkat sahaja (mereka tidak ada pilihan lain). Mereka berpuas hati produk mendapat pingat dan hasil kreativiti dan inovasi mereka dapat dicatitkan kedalam CV untuk kenaikan pangkat sahaja. Kerja penyelidikan hanya untuk kejayaan individu sahaja. Jika ini berlaku pihak tertentu mesti memikirkan bagaimana untuk membuat perubahan dan tidak membuta tuli membuat penyelidikan yang hanya syok sendiri.

Proses pengkomersilan tidak begitu rumit jika pihak penyelidik dan para usahawan serius dan tidak memikirkan keuntungan sebelah pihak sahaja. Para penyelidik dan inovator juga tidak sangat memikirkan produk mereka mempunyai nilai yang begitu tinggi hingga tiada ruang rundingan Pihak institusi yang mempunyai produk inovasi dan institusi penyelidikan mesti sanggup berlebih kurang jangan banyak sangat kerahsiaan dan pantang larang. Ada institusi penyelidikan mengenakan syarat yang sangat tinggi hingga menakutkan pihak yang ingin mengkomersilkan produk penyelidikan. Kebanyakan institusi penyelidikan mempunyai polisi pengkomersilan yang sangat rumit dan amat sukar untuk dipenuhi/dipersetujui. Polisi yang ada tidak kondusif pada pihak yang ingin mengkomersilkan produk. Syarat yang keterlaluan akan menyukarkan kerja-kerja pengkomersilan dan amat sukar untuk dipersetujui.

Institusi penyelidikan yang mewakili innovator tidak begitu serius untuk membantu inovator mengkomersilkan produk mereka. Banyak sangat pantang larang dan kerenah pentadbiran yang disediakan kepada innovator atau pencipta. Banyak sangat tapisan yang perlu dilakukan sehingga tidak menimbulkan minat pencipta dan usahawan. Ini kerana institusi penyelidikan tidak bergantung kepada hasil pengkomersilan produk. Banyak institusi penyelidikan hanya bergantung kepada dana penyelidikan sahaja. Mereka bangga mendapat geran penyelidikan sahaja. Semua orang faham betapa pentingnya mempunyai wang. Geran penyelidikan juga amat mudah didapati kerana kerajaan merasakan hanya dengan cara ini sahaja inovasi dapat dicapai untuk membantu negara Banyak juga penilai geran yang tidak menilai dari segi pengkomersilan penghasilan produk, mereka hanya memikirkan berapa kertas persidangan yang akan dihasilkan dan berapa artikel dapat diterbitkan kedalam jurnal berwasit diperingkat kebangsaan dan antarabangsa. Nilai pengkomersilan tidak dinilai secara serius. Ada juga penilaian dibuat untuk berapa orang calon ijazah sarjana dan calon ijazah kedoktoran dapat dihasilkan.

Kedua-dua pihak harus berubah. Kepada para usahawan, produk inovasi dalam negara perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Produk inovasi tempatan perlu dikomersilkan dengan serius. Geran yang disediakan perlu dimenafaatkan untuk kemajuan ekonomi negara. Sikap ingin keuntungan segera tanpa memikirkan sumbangan kepada ekonomi negara perlu dihapuskan. Keuntungan jangka panjang yang akan memberi menafaat kepada negara perlu difikirkan. Penyelidik atau inovator juga perlu memberi perhatian serius kepada produk inovasi yang ingin diperkenalkan. Produk inovasi haruslah dapat diterima ramai, moden, menjimatkan dan sangat memberi faedah kepada kehidupan. Tuduhan pihak swasta yang menyatakan penyelidik hanya melakukan penyelidikan syok sendiri perlu dikurangkan atau diberhentikan. Inovasi yang dihasilkan biarlah menepati piawai antarabangsa agar produk dihasikan dapat dimenafaatkan diseluruh dunia. Produk yang dihasikan perlu sentiasa diberi penambahbaikan dan mempunyai ciri teknologi yang tinggi dan mesra pengguna.

 Kemajuan penyelidikan akan dinilai dari kejayaan mengkomersilkan produk inovasi. Produk yang boleh dikomersilkan akan menjana ekonomi kepada negara. Sumbangan dari segi penjualan produk, kerja-kerja pembuatan, pemasaran, publisiti dan promosi adalah sumbangan tidak lansung kepada ekonomi negara. Ini akan menambah peluang pekerjaan pada masa hadapan. Kejayaan produk inovasi yang mampu diekspot juga sangat membantu ekonomi negara. Lebih banyak produk inovasi negara yang dapat diekspot ini adalah lebih baik dari sudut ekonomi. Negara perlu berubah dari negara pengguna teknologi sahaja kepada negara pengeluar teknologi. Ini adalah cita-cita negara pada masa hadapan. Ini hanya dapat dilaksanakan jika ada kerjasama yang erat antara inovator dan pihak swasta.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...